Pejuang…

Abu: “Man, kau bila lagi nak kahwin dua? Aku rasa kau ni macam pejuanglah Man, macam lilin membakar diri untuk kepentingan orang lain. Kau bercakap tentang poligami…tapi kau sendiri pun belum berpoligami lagi.”

Man: “Apa yang kau cakap ni Abu? Aku sebenarnya bukan apa yang kau maksudkan itu…aku hanya menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang Muslim.” ujar Azman ingin menjelaskan sesuatu.

Abu: “Apa tanggungjawab yang kau lakukan Man, aku tak nampak pun? Apa yang aku tahu kau bercakap, menulis di dalam blog tentang poligami tetapi kau sendiri aku nampak macam dulu jugak…sudah bertahun aku dengar lecture kau mengalahkan ustaz lagi…? tanya Abu Bakar ingin tahu pendirian kawan lamanya yang sudah dikenalinya sudah hampir 7 tahun.

Man: “Kau pernah tak baca buku agama yang berorientasikan fikrah atau ideologi…atau pemikiran alim-ulama’ yang muktabar dan yang boleh dipercayai? Mereka meletakkan dakwah itu sebagai suatu kewajipan dan tanggungjawab atau apa yang dipanggil sebagai taklif kepada Muslim yang memahami ajaran agama yang sebenar iaitu yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.” khutbah Azman kepada Abu yang terdiam seketika.

“Dakwah ni Abu tidak mengira samada seseorang Muslim itu seorang ustaz atau seorang engineer atau pun seorang tukang sapu di jalanraya…ianya mesti kita sampaikan setakat apa yang kita ketahui. Bak kata pepatah Melayu, “seperti mengukur baju di badan sendiri.” Aku dengan sedikit pembacaan dan perbincangan dengan kawan-kawan yang lain yang arif bab poligami, merasa terpanggil untuk menyuarakan gerak hati aku untuk menerangkan kepada masyarakat Islam dan Melayu betapa persoalan poligami ini bukannya soal main-main atau remeh-temeh tetapi soal ini merupakan salah satu syariat yang terdapat di dalam Islam. ”

“Allahyarham Ustaz Rashid yang mengajar aku di universiti satu masa dulu, pernah ditanya oleh anak muridnya di dalam kuliah iaitu persoalan bolehkah menolak satu ayat yang terdapat di dalam Al-Quranul Karim. Beliau menjawab, sudah tentulah tidak boleh walaupun satu perkataan atau satu huruf kerana ayat-ayat suci Al-Quran itu adalah kalam Allah yang kita wajib beriman keseluruhannya. Semoga Allah merahmati Ustaz Rashid.” tambah Azman lagi sehingga sahabatnya Abu menjadi seronok.

Abu: “Ehh..Man banyak jugak yang kau belajar semasa di universiti dulu, walaupun kau seorang engineer tapi ilmu agama kau boleh tahan jugak Man…emmm apa ayat dalam Al-Quran berkenaan bab poligami tu..aku pun nak dengar jugak…aku ni sikit-sikit boleh lah baca Quran tapi kalau nak tajwid betul-betul aku tak berapa mahir Man. Maklumlah aku masa sekolah rendah dulu selalu ponteng mengaji Quran sebab takutkan guru Quran yang garang.” Abu membuat pengakuan kepada Azman.

Man: “Surah Al-Nisaa’ ayat ke-3…bacalah terjemahan dan tafsirnya. Abu, apa dah jadi kepada masyarakat Melayu Islam kita di Malaysia? Cuba kau lihat drama, filem, dokumentari semuanya berkisar tentang keburukan poligami. Hatta drama nur kasih pun yang disebut-sebut menampilkan kebaikan poligami pun sebenarnya ingin menunjukkan poligami itu negatif. Siapakah kita yang hendak menyatakan apa yang diturunkan oleh Allah itu tidak baik, tidak bagus. Na’uzubillahimin zalik.” Azman mengemukakan hujahnya kepada Abu supaya Abu sedar tentang realiti masyarakat Melayu Islam sekarang yang semakin jauh memahami ajaran Islam yang sebenar. Abu menggeleng-gelengkan kepalanya tanda kesal dengan suasana yang sedang berlaku sekarang.

Abu: “Teruskan…teruskan.” Abu semakin ingin tahu apa yang selama ini dianggapkan sebagai remeh-temeh saja bila ada orang bercakap pasal poligami di kedai-kedai kopi.

Man: “Abu, aku pernah mendengar di radio, orang yang bergelar cendikiawan, ketika ditemuramah mengatakan risiko kepada isteri-isteri yang bermadu dengan jangkitan penyakit kelamin. Astaghfirullah, Abu, dah berapa ramai lelaki Muslim sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W. lagi yang beramal dengan pensyariatan poligami ini dan mereka tidak menghadapi masalah penyakit kelamin. Adakah kita hendak mengatakan yang dengan berpoligami maka risiko jangkitan penyakit kelamin akan bertambah dan poligami tak sepatutnya dipraktikkan? Abu, aku rasa ini seolah-olah mencabar apa yang telah diturunkan oleh Allah Taala yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui apa yang baik untuk makhluknya yang bernama manusia. Aku juga berharap agar orang yang mengeluarkan kenyataan ini supaya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah sebelum dia dipanggil pulang oleh Allah.” kata Azman lagi yang membuat Abu terpegun.

bersambung…iA

2 thoughts on “Pejuang…

  1. hai…saya seorang yang beragama non muslim, dan telah berkenalan serta bercinta dengan seorang lelaki muslim dan dia adalah suami orang dan mereka mempunyai 8 orang anak. masalah yang saya hadapi ialah teman lelaki saya mengajak saya untuk berumahtangga dengannya, tetapi isterinya membantah habis-habisan dan menuntut cerai dengan suaminya serta menhina dan memaki hamun saya dengan mengelar saya sebagai betina sial dan kafir, teman lelaki saya tidak mahu menceraikan isteri tuanya, saya juga tidak terlintas untuk merosakkan rumahtangga mereka dan selalu ingatkan teman lelaki saya supaya jangan bercerai dengan istrinya kerana mahu berkahwin dengan saya. walaubagaimana pun saya tetap sakit hati dan rasa benci dengan hinaan yang d lemparkan terhadap diri saya. teman lelaki saya adalah orang semenanjung manakala saya adalah orang sabah, teman lelaki saya lebih banyak menghabiskan masa berkerjanya di sabah berbanding di tempatnya sendiri, saya juga pernah terbaca bahawa suami di izinkan berkahwin lagi sekiranya suaminya berkerja d luar kawasan dalam tempoh yang lama bagi mengelakkan zina dengan perempuan lain. tapi hati saya sudah berbelah bagi unyuk menerima dia sebagai suami saya bila saya selalu di hina dan di maki oleh istrinya, saya juga merasa kecil hati dengan agama islam kerana saya mahu menganuti agama ini dengan ikhlas dan teringin menjadi istri soleha tetapi orang yang beragama islam inilah yang telah menghina dan mencaci saya sebagai kafir dan x layak berkahwin dengan orang islam. bukankah islam ini sepatutnya mengalu-alukan kedatangan orang baru dalam islam serta membimbingnya supaya tidak terpesong dalam amalannya nanti. adakah saya berdosa besar kerana terima suami orang sebagai suami sendiri sedangkan istrinya sangat2 la membenci saya dan memandang jijik dengan latarbelakang saya? adakah saya tidak layak menjadi madunya dan apakah hukumnya pada istrinya sekiranya terus2an menghina latarbelakang saya dan tidak pernah terima saya sebagai kelurga barunya dalam islam sedangkan bimbingannya juga saya perlukan. saya takut bila saya sudah sah menganuti agama islam mereka tetap menolak saya ketepi dan pinggirkan saya serta suami saya nanti juga berubah hati ini akan menyebabkan saya rasa menyesal lalu teringin kembali ke agama saya yang asal. saya teringin sangat tahu adakah Tuhan dalam islam ini tidak akan membantu kami mencari penyelesaian dalam masalah yang di hadapi, bukankah Tuhan dalam islam boleh melembutkan hati seseorang sekiranya kita meminta kepada-Nya. benarkah saya tidak akan mendapat peluang ini dari istrinya sehingga ke hujung nyawa?? bantulah saya kerana saya juga bencikan zina dalam perhubungan kami dan saya mahu tamatkan nya dengan berkahwin dengannya.

    1. Saya akan cuba menjawab persoalan saudari dengan sebaik mungkin…yang pertama sekali saudari perlu memahami seseorang Islam itu mempunyai perwatakan yang berbeza-beza mengikut pemahaman dan didikan (tarbiyah) yang dilaluinya. Islam adalah agama yang diterima di sisi Allah Taala dan boleh menyelesaikan semua permasalahan hidup manusia di muka bumi dan juga di akhirat nanti. Orang Islam yang memaki-hamun, mengeji, mengutuk orang lain itu adalah peribadi yang dimiliki oleh dia sendiri dan sudah tentu Islam mengajar akhlak (keperibadian) yang baik kepada manusia samada yang beragama Islam ataupun tidak.

      Hasrat saudari untuk memeluk agama Islam adalah satu hasrat yang murni kerana seperti yang saya sebutkan tadi agama Islam adalah agama yang diiktiraf oleh Allah. Agama akan memandu seseorang sehingga ke akhir hayatnya dan agama Islam akan membawa penganutnya menghadap Allah Taala di padang mahsyar nanti dan seterusnya memberi jaminan kepada penganutnya ke syurga, insyaAllah (dengan izin Allah Taala).

      Dalam masalah ini, lelaki yang ingin mengahwini saudari itu mestilah pandai meyakinkan kepada isterinya supaya menerima poligami dengan syarat dia boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya. Terlebih dahulu, saudari hendaklah beragama Islam untuk berkahwin. Salah satu hikmah (kebijaksanaan) diizinkan berpoligami bagi orang lelaki Islam sehingga empat orang isteri ialah untuk mengelakkan zina kerana zina adalah dosa besar tetapi syaratnya suami hendaklah berlaku adil jika suami rasa tidak boleh berlaku adil maka hendaklah dia berkahwin seorang isteri sahaja.

      Nasihat saya kepada saudari, pelajarilah Islam dengan lebih mendalam dan bacalah Al-Quran yang ada terjemahannya sekiranya saudari sedang mencari agama yang sebenar iaitu agama yang akan memberi manfaat dan menolong kita di akhirat nanti. Kita hidup di dunia hanya dalam tempoh yang sekejap saja mungkin 50, 60 atau 70 tahun saja tapi kehidupan di akhirat adalah selama-lamanya.

Tinggalkan komen