Pejuang…(5)

Di sebuah kedai kopi di bandaraya Kuala Lumpur, dua orang sahabat sedang sarapan pagi sambil berbual-bual isu-isu semasa. Maklumlah sudah lama mereka tak bertemu kerana kesibukan kerja masing-masing. Mereka bekerja keras di zaman ekonomi meleset ini mencari rezeki membanting tulang lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini dengan kebimbangan harga barangan lain akan turut naik. Ialah hanya peniaga yang takut kepada Allah dan jujur sahaja yang tak akan menaikkan harga barangan mereka secara keterlaluan. Kita ikuti dialog di antara dua orang sahabat ini…

Man: “Abu, apa khabar? Lama tak jumpa…mana kau sekarang? Azman menyapa Abu Bakar sahabat lamanya sejak sekolah rendah lagi.

Abu: “Alhamdulillah…sihat, kau apa khabar Man…aku masih kat KL macam dulu jugak…balas Abu Bakar .

Man: “Aku pun Alhamdulillah sihat walafiat…ehh aku tengok dalam status facebook kau naik pangkat tahun lepas…tahniah Bu bertambah rezeki kau…Azman mengucapkan tahniah kepada sahabatnya di atas kenaikan pangkat sebagai pengurus di syarikat tempat bekerjanya.

Abu: “Syukur Alhamdulillah Man rezeki yang Allah beri kepada aku…aku akan ke tanah suci Mekkah hujung bulan ni utk buat umrah sebagai tanda kesyukuran insyaAllah…

Man: “Alhamdulillah bagus tu Bu dapat rezeki lebih pergi umrah…Bu kau tahu aku rasa sedih dengan segelintir masyarakat Islam kita di Malaysia sekarang ni walaupun mereka sangat committed dengan Islam; solat berjemaah di masjid surau, puasa sunat kuat, hadir majlis ilmu, pergi umrah pergi haji, kuat bersedekah tapi…

Abu: “Tapi apa Man…tanya Abu sangat curious nak tahu apa yang nak diperkatakan oleh Azman…

Man: “Maksud aku, kau jangan salah faham kata-kata aku ni Bu, kita semestinya buat perkara-perkara baik itu semua dan sepatutnya dengan amalan-amalan baik tu kita akan lebih faham dan yakin dengan agama Islam dan menerima segala ajaran Islam tanpa mempersoalkan lagi kebenarannya dan mengikut Rasulullah SAW.

Maksud aku Bu mereka yang dah cantik amalan-amalan baik yang mereka lakukan ni ada yang kurang faham tentang syariat poligami dalam Islam. Mereka amat berat untuk menerima syariat poligami ini kerana dari percakapan dan tulisan mereka kita boleh lihat yang mereka tidak suka syariat ini. Aku berdoa semoga mereka diberi hidayah oleh Allah SWT supaya menerima ajaran Islam secara keseluruhan kerana itulah yang akan kita jawab di dalam kubur nanti bila ditanya apakah agama kamu semasa kamu hidup di atas dunia ini…

Abu mengangguk-angguk kepala tanda setuju dengan kenyataan sahabatnya itu tadi…

Pejuang…(4)

Abu: “Man, aku hairan kenapa kau suka sangat cakap pasal poligami…?” Abu bertanya kepada sahabatnya Man yang sedang makan nasi lemak dengan telur separuh masak.

Man: “Bu, kau tau tak apa yang berlaku sekarang di media sosial seperti TV, newspaper, facebook, twitter, whatsapp malah buku-buku yang diterbitkan di pasaran sekarang, apa berita yang hangat dibincangkan? Man membalas pertanyaan Abu dengan pertanyaan.

Abu: “Entah…” ujar Abu pendek.

Man: “Mereka bercakap tentang poligami, mereka tak bersetuju dengan poligami, mereka menghentam sistem poligami, mereka mengatakan sesuatu yang tidak baik tentang poligami tapi yang hairannya mereka ini solat, mereka pergi masjid mendengar kuliah-kuliah agama, mereka berpuasa, berzakat, mengerjakan haji, banyak bersedekah dan mereka membaca ayat-ayat Al-Quran. Persoalannya Abu adakah mereka memahami Al-Quran yang mereka baca setiap hari? Adakah mereka benar-benar yakin dan beriman dengan Al-Quran yang mereka baca itu? Pensyariatan poligami datangnya dari Allah. Allah yang menciptakan manusia dan alam semesta. Allah Maha Mengetahui apa yang diciptakan olehNya, apa yang terbaik untuk makhluk-makhlukNya. Kita sebagai hamba tidak boleh mempersoalkan kehendak dan ketentuan Allah. Kita hanya menurut apa-apa yang diperintahkan kepada kita oleh Allah. Semoga Allah meredhai kita semua.” Syarah panjang Man kepada Abu yang hanya melopong saja.

 

Pejuang…

Abu: “Man, kau bila lagi nak kahwin dua? Aku rasa kau ni macam pejuanglah Man, macam lilin membakar diri untuk kepentingan orang lain. Kau bercakap tentang poligami…tapi kau sendiri pun belum berpoligami lagi.”

Man: “Apa yang kau cakap ni Abu? Aku sebenarnya bukan apa yang kau maksudkan itu…aku hanya menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang Muslim.” ujar Azman ingin menjelaskan sesuatu.

Abu: “Apa tanggungjawab yang kau lakukan Man, aku tak nampak pun? Apa yang aku tahu kau bercakap, menulis di dalam blog tentang poligami tetapi kau sendiri aku nampak macam dulu jugak…sudah bertahun aku dengar lecture kau mengalahkan ustaz lagi…? tanya Abu Bakar ingin tahu pendirian kawan lamanya yang sudah dikenalinya sudah hampir 7 tahun.

Man: “Kau pernah tak baca buku agama yang berorientasikan fikrah atau ideologi…atau pemikiran alim-ulama’ yang muktabar dan yang boleh dipercayai? Mereka meletakkan dakwah itu sebagai suatu kewajipan dan tanggungjawab atau apa yang dipanggil sebagai taklif kepada Muslim yang memahami ajaran agama yang sebenar iaitu yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.” khutbah Azman kepada Abu yang terdiam seketika.

“Dakwah ni Abu tidak mengira samada seseorang Muslim itu seorang ustaz atau seorang engineer atau pun seorang tukang sapu di jalanraya…ianya mesti kita sampaikan setakat apa yang kita ketahui. Bak kata pepatah Melayu, “seperti mengukur baju di badan sendiri.” Aku dengan sedikit pembacaan dan perbincangan dengan kawan-kawan yang lain yang arif bab poligami, merasa terpanggil untuk menyuarakan gerak hati aku untuk menerangkan kepada masyarakat Islam dan Melayu betapa persoalan poligami ini bukannya soal main-main atau remeh-temeh tetapi soal ini merupakan salah satu syariat yang terdapat di dalam Islam. ”

“Allahyarham Ustaz Rashid yang mengajar aku di universiti satu masa dulu, pernah ditanya oleh anak muridnya di dalam kuliah iaitu persoalan bolehkah menolak satu ayat yang terdapat di dalam Al-Quranul Karim. Beliau menjawab, sudah tentulah tidak boleh walaupun satu perkataan atau satu huruf kerana ayat-ayat suci Al-Quran itu adalah kalam Allah yang kita wajib beriman keseluruhannya. Semoga Allah merahmati Ustaz Rashid.” tambah Azman lagi sehingga sahabatnya Abu menjadi seronok.

Abu: “Ehh..Man banyak jugak yang kau belajar semasa di universiti dulu, walaupun kau seorang engineer tapi ilmu agama kau boleh tahan jugak Man…emmm apa ayat dalam Al-Quran berkenaan bab poligami tu..aku pun nak dengar jugak…aku ni sikit-sikit boleh lah baca Quran tapi kalau nak tajwid betul-betul aku tak berapa mahir Man. Maklumlah aku masa sekolah rendah dulu selalu ponteng mengaji Quran sebab takutkan guru Quran yang garang.” Abu membuat pengakuan kepada Azman.

Man: “Surah Al-Nisaa’ ayat ke-3…bacalah terjemahan dan tafsirnya. Abu, apa dah jadi kepada masyarakat Melayu Islam kita di Malaysia? Cuba kau lihat drama, filem, dokumentari semuanya berkisar tentang keburukan poligami. Hatta drama nur kasih pun yang disebut-sebut menampilkan kebaikan poligami pun sebenarnya ingin menunjukkan poligami itu negatif. Siapakah kita yang hendak menyatakan apa yang diturunkan oleh Allah itu tidak baik, tidak bagus. Na’uzubillahimin zalik.” Azman mengemukakan hujahnya kepada Abu supaya Abu sedar tentang realiti masyarakat Melayu Islam sekarang yang semakin jauh memahami ajaran Islam yang sebenar. Abu menggeleng-gelengkan kepalanya tanda kesal dengan suasana yang sedang berlaku sekarang.

Abu: “Teruskan…teruskan.” Abu semakin ingin tahu apa yang selama ini dianggapkan sebagai remeh-temeh saja bila ada orang bercakap pasal poligami di kedai-kedai kopi.

Man: “Abu, aku pernah mendengar di radio, orang yang bergelar cendikiawan, ketika ditemuramah mengatakan risiko kepada isteri-isteri yang bermadu dengan jangkitan penyakit kelamin. Astaghfirullah, Abu, dah berapa ramai lelaki Muslim sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W. lagi yang beramal dengan pensyariatan poligami ini dan mereka tidak menghadapi masalah penyakit kelamin. Adakah kita hendak mengatakan yang dengan berpoligami maka risiko jangkitan penyakit kelamin akan bertambah dan poligami tak sepatutnya dipraktikkan? Abu, aku rasa ini seolah-olah mencabar apa yang telah diturunkan oleh Allah Taala yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui apa yang baik untuk makhluknya yang bernama manusia. Aku juga berharap agar orang yang mengeluarkan kenyataan ini supaya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah sebelum dia dipanggil pulang oleh Allah.” kata Azman lagi yang membuat Abu terpegun.

bersambung…iA

3T

Tajuk yang saya pilih pada kali ini ialah 3T. Apakah itu 3T? Adakah ianya minyak pelincir yang digunakan untuk enjin motorsikal? Tidak. 3T adalah singkatan TTT iaitu “Teringin Tapi Takut”. Saya mendapat singkatan (abbreviation) ini semasa mendengar satu khutbah Jumaat di sebuah masjid di tempat saya.

Imam yg membaca khutbah tersebut memberitahu yang ramai kaum Adam yang ingin beristeri lebih dari satu; dua, tiga atau empat, tetapi takut untuk menyuarakan kepada isteri pertama masing-masing.

Pada pendapat saya, kenyataan imam ini ada kebenarannya kerana ramai suami-suami tidak berjaya apabila mereka memberitahu isteri-isteri mereka akan hasrat untuk poligami. Kenapa berlaku demikian? Sehinggakan ada isteri-isteri yang sanggup mengatakan, “pilih antara aku dan dia”.

Komen saya, kuliah-kuliah agama di masjid-masjid, surau-surau, malah di media massa sekalipun perlu memberi kefahaman tentang poligami supaya masyarakat terutama kaum Hawa memahami maksud sebenar pensyariatan poligami di dalam Islam.

Bicara poligami…(15)

Ada seorang ustaz, da’ie, harakiyy, pernah berkata utk memahami syariat poligami di dalam Islam biasanya orang yg berumur 40 tahun ke atas. Saya menambah… umur 37 thn, 38 thn pun boleh memahaminya juga.

Saya bimbang sebenarnya bila mendengar perkataan tidak rela, tidak suka, benci, menyampah, meluat, ttg syariat poligami ini.

Misalan yg ingin saya utarakan di sini spt berikut:

Saya tidak rela ayah saya mengamalkan poligami, sebab saya tidak suka syariat poligami. Kenapa tidak suka syariat poligami sebab ayah saya tidak layak utk berpoligami. Sebab apa ayah saya tidak layak berpoligami sebab dia masih kurang penglibatannya dalam dakwah. Jadi dia masih tidak layak utk berpoligami sehinggalah ayah saya menjadi seorang da’ie yang komited, yang taat beribadah macam ‘alim ulama’. Apa syarat poligami sebagaimana yang Allah Taala nyatakan di dalam Al-Quran? Allah Taala berfirman sekiranya kamu boleh berlaku adil kamu boleh mengahwini wanita-wanita dua, tiga, atau empat. Sekiranya kamu takut tidak boleh berlaku adil kahwini seorang sahaja.

Kenapa kamu tidak rela? Sebab kamu benci kepada syariat poligami. Sebab kamu selalu tonton di dalam TV, filem banyak keburukan ttg poligami. Sebab apa kamu kata syariat poligami buruk sebab kamu tak jumpa contoh yang baik. Mungkin sebab kamu tak baca sirah Islam, bagaimana terdapat banyak contoh2 para sahabat Baginda, tabi’in dan banyak lagi yang menunjukkan contoh yg baik. Kamu tak yakin apa yg Allah Taala turunkan iaitu syariat poligami? Kamu tak baca Al-Quran surah Al-Nisaa’ ayat 3? Atau kamu skip (langkah) saja ayat itu dan baca ayat2 yg lain saja? Bolehkah kamu tinggalkan satu ayat di dalam Al-Quran sebab kamu tidak suka syariat itu? Jawapannya sudah tentu tak boleh sebab kita WAJIB beriman kepada Al-Quran keseluruhannya.

Nasihat saya: Belajarlah daripada guru/ustaz yg ikhlas dan berpengalaman…ilmu bukan semata-mata melalui buku tetapi banyaknya datang dari pengalaman hidup.

Marilah kita sama-sama bertaubat sebelum kita dipanggil pulang oleh Allah Taala dalam keadaan kita membenci syariatnya. Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah…

Bicara Poligami…(14)

Di antara kenapa wanita-wanita Islam di Malaysia tidak menerima suami berpoligami berdasarkan kajiselidik yang kawan saya lakukan adalah seperti berikut:

1.Suami “main kayu tiga” terlebih dahulu dibelakang isteri sehingga akhirnya diketahui oleh isteri.
2. Suami gagal melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anak yang sedia ada sama ada dari sudut fizikal dan mental.
3. Suami berkahwin di Selatan Thailand terlebih dahulu barulah hendak memberitahu kepada isteri sehingga isteri memohon cerai kepada suami.

Katanya lagi apabila isteri membenarkan suaminya berpoligami, ia hanya 30% diskaun untuk pada hakim membenarkan suami berpoligami. Ini adalah berdasarkan kepada aduan ketidakadilan yang berlaku apabila suami berpoligami.

Walaubagimanapun ia masih terbuka untuk dikritik dan sedia menerima kritikan.

Bicara Poligami…(13)

Saya faham akan situasi memilih suami yang baik seperti yang mendapat tarbiyah di dalam ceramah dan kuliah pengajian. Bila masyarakat dilihat secara keseluruhan memanglah terlalu banyak kepincangan di dalam isu poligami dek kerana segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab. Walaubagaimanapun, dari segi prinsipnya poligami adalah satu sistem terbaik yang dibenarkan di dalam Islam dan disebut di dalam Kitab Suci Al-Quran. Sistem poligami sudah cukup baik di dalam menangani social problems tetapi segelintir pelakunya yang tidak menggunakannya dengan cara yang betul. Begitu juga dengan sistem perkahwinan yang pertama di mana matlamat perkahwinan di dalam Islam ialah untuk menundukkan pandangan dan melahirkan zuriat tetapi ada juga yang menyalahgunakan dengan tidak bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak.

Kita memahami hak memilih pasangan adalah di tangan perempuan, dia berhak menerima atau menolak pinangan seseorang lelaki yang boleh dikahwininya. Apa yang ingin saya utarakan di sini ialah bukannya mudah untuk mengahwini seseorang perempuan baik dia seorang anak dara ataupun janda kerana izin si perempuan itu hendaklah diperolehi terlebih dahulu jadi bukanlah bila undang-undang poligami dipraktikkan dengan cara-cara yang dituntut oleh Islam bermakna habislah anak-anak dara atau janda bertempiaran lari kerana dikejar oleh lelaki yang ingin berpoligami. Tidak begitu, tidak, sebabnya ialah prosedur perkahwinan yang kedua, ketiga atau keempat adalah sama dengan prosedur perkahwinan yang pertama; meminang, ijab kabul dan rukun-rukun nikah yang lain. Islam meletakkan adil sebagai syarat untuk poligami dan adil bukannya boleh dibuat oleh semua orang lelaki sebab itu jika takut tidak boleh berlaku adil maka kahwinilah seorang sahaja (maksud Surah Al-Nisaa’:3) .

Apa yang saya bimbangi ialah kita yang mendapat tarbiyah (pendidikan) Islam secara syumul (komprehensif) boleh menerima dan mengimani syariat2 Islam lain yang begitu banyak tetapi hati kita masih menjadi ragu-ragu, na’uzubillahi min zaalik, akan syariat yang satu ini…poligami. Kita juga mengimani bahawa kesemua syariat2 Islam adalah penting dari bab pergi ke tandas kepada bab negara Islam. Pengetahuan dan pemahaman kita terhadap Islam adalah berbeza semasa kita di alam persekolahan atau semasa di alam baru hendak memasuki alam rumahtangga atau yang sudah 10 tahun, 20 tahun mendirikan rumahtangga. Jadi sebagai orang yang memahami tarbiyah Islam yang syumul kita hendaklah berlapang dada dengan syariat poligami ini yang mungkin pada saat ini kita merasakan ianya tidak perlu lagi bagi kita tetapi mungkin, saya kata mungkin, syariat poligami ini kita memerlukannya pada satu masa yang akan datang untuk kita meneruskan kehidupan kita dalam rangka mencari mardhatillah (keredhaan Allah). Janganlah kita memandang remeh kepada syariat poligami ini kerana mungkin kita menganggap orang yang suka bercakap tentang poligami adalah orang yang hanya untuk memuaskan nafsu syahwat semata-mata.

Penggubal undang-undang keluarga Islam adalah manusia yang boleh melakukan kesilapan dan kita tidak mahu mereka terus menerus beranggapan yang mereka hendak membela kaum yang teraniaya dengan mengabaikan mereka yang betul-betul ikhlas dan bertanggungjawab.

Mengikut dialog ataupun pandangan yang saya jumpa di internet, saya menjadi hairan kenapa perempuan-perempuan biasa di luar sana yang tidak mengikuti tarbiyah atau program-program yang bercorak Islam boleh menerima syariat poligami ini dan ada yang mempraktikkannya di dalam kehidupan mereka di dalam keadaan mereka redha dengan syariat poligami ini. Mengapakah terjadi sedemikian?

Bicara Poligami…(12)

Tulisan penulis sekadar satu pandangan berdasarkan pembacaan, kajian dan pengamatan yang penulis lakukan dan bukan untuk menuding jari mencari kesalahan sesiapa…kebebasan memberi pendapat di dalam Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan syarak.

Syarat-syarat berpoligami yang dipraktikkan di Malaysia sekarang ini amatlah ketat sekali sehinggakan sebilangan besar masyarakat tidak boleh mengamalkan poligami walaupun mereka tergolong di dalam kategori mampu. Kenapa timbul perkara sedemikian di dalam masyarakat Malaysia yang berpenduduk 27 juta lebih dan agama rasmi yang termaktub di dalam perlembagaan ialah agama Islam? Tentulah jawapan yang paling tepat untuk dijawab ialah pihak yang bertanggungjawab menggubal undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Sebelum kita menjangkau dengan lebih jauh, mari kita melihat apakah di antara syarat-syarat (syurut) yang telahpun digazetkan di dalam undang-undang keluarga Islam iaitu isteri pertama tidak mandul, tidak gila, tidak berpenyakit kronik, tidak mengingkari suami dalam hal jima’, suami mempunyai kewangan yang cukup untuk menampung tanggungan isteri-isterinya.

Mari kita merujuk tulisan Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi (YAQ) di dalam masalah yang melibatkan autoriti di dalam menentukan sesuatu hukum yang berkaitan dengan poligami. Di dalam bukunya yang bertajuk “The Status of Women in Islam”, YAQ mengatakan bahawa adalah bukan hak pemerintah untuk menyekat seseorang dari mengamalkan poligami dengan apa-apa alasan sekalipun. Walaupun di dalam buku ini YAQ tidak menyebut peraturan-peraturan yang mengetatkan syariat poligami.

Penulis pernah mengemukakan satu persoalan iaitu seperti berikut:

“Seorang suami yang telah mempunyai 3 orang anak daripada isteri pertama dan ketiga-tiga anak tersebut lahir dengan cara “caesarian” dan doktor telah menasihatkan pasangan tersebut supaya tidak lagi melahirkan anak memandangkan risiko yang akan timbul sekiranya si isteri melahirkan anak yang keempat. Si suami bercadang untuk mempunyai anak lagi tetapi dengan cara berkahwin dua. Walaupun dalam kes ini si isteri pertama mengizinkan si suami berkahwin dua tetapi sekiranya mahkamah tidak bersetuju di atas alasan pasangan ini telah mempunyai 3 orang anak, maka perkahwinan itu boleh ditolak oleh pihak mahkamah kerana mengikut syarat-syarat seperti yang disebut di atas iaitu syarat berpoligami isteri pertama mestilah mandul. Ini baru syarat yang pertama, macam mana hendak melepasi syarat-syarat yang lain dan kesemua syarat-syarat ini mestilah dilepasi untuk melayakkan poligami? Adakah perkara ini adil kepada si suami?

Nafkah yang diperuntukkan kepada isteri pertama dan kedua atau seterusnya tidak semestinya membebankan suami. Nafkah yang diberi adalah mengikut kemampuan pendapatan suami. Apa yang penting nafkah zahir dan batin ditunaikan dan bukan jumlahnya yang banyak yang diambilkira. ..ikut kemampuan. Tentulah isteri pertama dan kedua atau seterusnya mengetahui kemampuan pendapatan suami mereka dan mereka redha dengan nafkah yang diberi kerana sekiranya isteri kedua atau seterusnya tahu apa yang akan mereka terima tidak disukai mereka sudah tentulah mereka menolak perkahwinan tersebut dari awal lagi. Apa yang lebih penting adalah perkahwinan bukannya kemewahan dunia yang sementara ini. Pemilihan pasangan untuk menjadi isteri kedua atau seterusnya adalah mustahak supaya harta benda dan kemewahan hidup dunia tidak dijadikan sebagai ukuran.

Penulis berharap pihak yang berwajib iaitu yang menggubal undang-undang keluarga Islam di Malaysia memperbaik undang-undang yang ada dan lebih menghampiri keadilan untuk semua. Apabila sesuatu undang-undang itu dikenakan dengan bertujuan untuk menjaga sesuatu pihak tetapi pihak yang lain yang sepatutnya berhak mendapatnya telah dipinggirkan. Sebab itu sesuatu undang-undang yang digubal perlu lebih berhati-hati supaya lebih bersikap adil kepada semua pihak. Penulis berdoa kepada Allah Taala supaya pihak yang berwajib meneliti semula dengan melihat zuruf (suasana) masyarakat Islam di Malaysia sekarang ini dan “revisit” undang-undang keluarga Islam tentang poligami yang mana dilihat sebagai berpihak kepada pihak wanita sahaja. Semoga segala amalan soleh yang kita lakukan diterima oleh Allah Taala dan menjadikan kita mengikut sepenuhnya akan syariat-syariat yang telah disampaikan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Poligami ini bukannya akan berlaku kepada semua lelaki Islam tetapi ianya dengan bersyarat iaitu boleh berlaku adil dan sekiranya suami takut tidak boleh berlaku adil maka dia berkahwin dengan seorang perempuan sahaja. Wallahu’alam.

Bicara poligami…(11)

Kita sambung topik poligami ini. Adalah sesuatu yang sangat menghairankan penulis bila ada sesetengah orang yang berpendapat isu poligami adalah sesuatu yang kurang penting. Mungkin faktor umur seseorang juga memainkan peranan kenapa sesetengah orang kurang berminat atau menganggap isu poligami ini adalah untuk keseronokan semata-mata. Ada yang berkata seseorang lelaki yang berumur 40 tahun dan ke atas sahaja yang boleh memahami poligami dan boleh dibawa berbincang…saya setuju dengan pandangan ini dan saya sendiri pun sudah berusia lebih dari 40 tahun. Walaubagaimanapun poligami adalah salah satu daripada syariat-syariat Islam yang banyak jadi apa-apa pun ianya adalah sebahagian dari agama Islam. Kita ambil contoh bab munakahat sekiranya kita berbincang bab munakahat dengan kanak-kanak sekolah rendah tentunya tidak memberi kesan apa-apa sebabnya pemikiran mereka belum mencapai tahap boleh memahami apa yang dibincangkan. Begitu contohnya sekiranya subjek kalkulus diajar kepada kanak-kanak darjah satu tentulah mereka tidak memahaminya kerana perkara yang diutarakan  kepada mereka adalah terlalu tinggi dan amat sukar difahami kecuali yang betul-betul genius.

Sebagaimana  yang diperkatakan oleh Syeikh Dr. Yusof Al-Qardawi di dalam kitabnya “The Status of Women in Islam” iaitu Islam adalah satu agama yang memenuhi keperluan setiap anggota masyarakat samada yang tua atau muda, yang tinggal di bandar atau di luar bandar, yang tinggal tetap di sesuatu tempat atau nomad, yang tinggal di negeri sejuk atau di negeri panas pendek-kata di mana-mana sahaja kerana Islam adalah agama yang berbentuk global dan sesuai untuk setiap tempat dan zaman. Islam adalah satu cara hidup yang diatur oleh Allah Taala untuk manusia sejagat tak kira warna kulit, tak kira bangsa, tak kira bahasa, tak kira budaya dan tempat tinggal. Itulah keindahan Islam.

Sebenarnya manusia tidak ada autoriti untuk mengubah apa yang telah ditetapkan oleh Allah Taala. Cuba kita renung sejenak apa yang telah kita pelajari dari tarbiyah guru-guru kita tentang penerimaan Islam yang syumul…tentulah kita meyakini apa-apa yang telah disyariatkan kepada kita adalah untuk kebaikan kita di dunia dan di akhirat. Marilah kita sama-sama redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah Taala mudah-mudahan kita akan mendapat rahmatNya. Janganlah kita mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman misionari dan orientalis yang sentiasa berusaha untuk mengelirukan ummat Islam supaya lari dari landasan syarak. Dan mereka, misionari dan orientalis ini telah menggunakan isu talak dan poligami untuk mencari kelemahan-kelemahan di dalam Islam. Kita berdoa kepada Allah Taala supaya meneguhkan keimanan kita dan sentiasa redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah Taala ke atas kita.

Segala yang baik itu datangnya daripada Allah Taala dan apa yang lemah itu adalah daripada kelemahan dan kesilapan penulis sendiri.

Tujuh Tahun Sudah Aku Hidup Bermadu…

bagaimana harus ku mula ..( emm macam lagu m. nasir tu ye?)..( bercakap pasal lagu tu, memang masa suamiku bercinta kali kedua lagu tu jadi lagu favoritenya… habis kami anak beranak terjerit-jerit nyanyi ikut dia masa dalam kereta.. anak-anak macam bapanya , suka nyanyi.. masa tu tak tahu itu lagu cinta kedua dia..he..he..he).

emm agaknya , boleh mula dari awal la kot.

aku bertemu suamiku masa sama – sama menuntut di ipt. kami berada di jurusan yang berlainan dan fakulti yang berlainan. tahunpun berlainan, suamiku tahun 4, tahun akhir, aku baru tahun satu. namun, apa yang menyatukan kami adalah kawan-kawan. kami berkahwin masa aku di tahun 2.

perkahwinan sebenarnya ok, tapi aku yang kuat merajuk dan selalupun suami pujuk walau bukan salahnya. mmm.. memang banyak bukan salah dia pun..

kalau nak dikaji mengapa suamiku kahwin lagi, rasanya banyak penyebabnya. taqdirnya memang dah ada tapi semua taqdir tukan hasil dari tangan kita, bak kata suamiku, ( banyak kali jugaklah dia cakap macam nih, last rasanya bulan lepas masa kami dalam perjalanan pulang berdua dari KL).. suami tu kalau isteri tu baik. layan dia baik, hormat dia, tak suka cari pasal, susah dia nak cari orang lain, kalau dia pandang perempuan lainpun, mesti dia ingat isteri dia kat rumah, mesti dia fikir, cantik manapun perempuan tuh, ( suami aku hensem orangnya.. sanngat hensem.. dan roman mukanya manis, orangnya tinggi dan kulit putih.. tak susahlah dia nak pikat mana-mana perempuan kalau dia mahu ) belum tentu baik macam isteri aku kat rumah… (bila dia kata macam tu, aku pun merajuk la cakap dengan dia, ye lah .. macam, abang. aisyah tak cukup baik, sebab tu abang kahwin lagi… nanti cepat – cepat dia jawab.. la ke situ pulak, tu la yang malas cakap pasal poligami nih..)

tapi sebenarnya aku akui, masa mula – mula kawin dulu aku memang kuat merajuk dan mudah shot wire… bila dah merajuk, diam membatu, tak cakap apa.. tegurpun tak dijawab… tapi rasanya yang suami aku memendam rasa ( ha …aku rasa nilah punca utama, suami aku nih simpan dalam HATI  rasa kecil hatinya..) banyaklah peristiwa merajuk aku yamg kadang – kadang melampau sampai tertunjuk depan orang sedang suami aku nih orang nya sangat lemah lembut dan bersopan. sebenarnya dah banyak kali dia pesan, jangan merajuk over depan orang, dia rasa malu yang amat.. the exact word yang dia guna .. abang rasa malu kalau hal rumah tangga kita sampai orang luar tahu, rasanya macam sengaja londehkan seluar depan orang sampai nampak kemaluan kita.. macam tulah rasa malunya, rasa macam tak tau nak letak muka kat mana ..

aku pulak dari keluarga yang kalau bergurau , jiran sebelahpun boleh dengar ketawa kami..

emm.. rasanya memang dah taqdir nak dimadukan..

tahun- tahun awal aku bermadu.. ya allah, tak pernah suami tak balik kalau dia tak out station, tapi sekarang tak balik, dah lah tak balik , pergi mengendut perempuan lain, 13 tahun muda dari aku.. memang tak boleh terima, bila dia balik ke rumah masa giliran aku.. ( suamiku sangat mengikut masa).. aku halau-halau dia.. tapi dia diam aje. sibuk mengemas rumah, bila malam dia baring sebelah aku, (sebenarnya aku dah blok tempat dia, letak kaki aku luas-luas, tapi dia lembut tolak kaki aku) peluk aku kemas – kemas dan cakap walau dia dah kawin lagi dia tetap sayang kat aku dan anak-anak.

dia benar – benar tak tahu bagaimana dia boleh sayang pada orang lain walhal kasih dia pada aku tak berkurang sikitpun…kata dialah .. he..he,,.. kalu dia tipu, aku pun tipulah nih..

{kadang-kadang , masa aku merajuk, dia kat depan aku pegi ke dapur, tapi tak lama dia akan datang, buat-buat basuh tangan (aku tahu lah dia buat-buat,.. sinki ada kat depan tuh kalu setakat nak basuh tangan), tangan sebelah bukak paip sebelah lagi dilengkarkan  kat pinggang aku,.. buat-buat tanya aku tengah buat apa (buat-buat tanyalah kan , kalu dah nampak kita tengah jerang air).}

aku jadi batu, badan keras je tapi aku cakap kat dia (ehh… kira okeylah tuh, nak juga aku bercakap, biasanya kalu dah badan jadi batu tu, lidah akupun kelu, buat tak dengar je dia cakap apapun..) aku sikitpun tak percaya pada dia. kata sayang kat aku tapi kawin lagi.  tipu.. mana sayang kat aku. tapi dia degil , dia kata kalau tak sayang dia tak balik pada aku lagi dan dia tak akan berniat nak adil dan masih mahu jaga aku sampai aku mati atau dia mati.

kini, dalam merajuk tak merajuk, akhirnya dah tujuh tahun aku bermadu, suamikupun dah beranak pinak.. baru-baru nih aku beraya bersama, sebenarnya dah tiga kali berturut-turut , agaknya akan jadi tradisi kami.. balik beraya sama – sama dalam satu kereta, yelah .. habis drebarnya satu.. muat semua anak-anak aku dan anak -anak madu, 2 isteri.. okey je.. kami berbual bergelak tawa,.. aku pulak memang suka ketawa.. sejak akhir-akhir ni lagilah (aura bermadu kot)  dulu aku agak serius jugaklah.. (sampai suami aku kata apa yang buat dia terpikat pada madu aku tu sebab dia mudah tersenyum… ha engkau,,… jadi selalu-slalulah tersenyum ye.. yang ikhlas lah… yang tak ikhlas tak payah..)

beraya sakan di kampung suami, semua saudara mara suami dapat menerima kami dengan baik, dan aku yang memang dah berbelas tahun dengan mereka memang mudah di terima sebab aku peramah.. (betul tuh .. bukan perasan). tapi madu aku juga pandai bawa diri.. selalu bual dengan aku dan saudara mara suami yang lain.

tak cemburu? huh cemburu giler… sampai solat hajat mintak dengan allah agar beri aku kebahagiaan sejati dan aku mampu kawal diri aku seikhlasnya. alhamdulillah.. tapi merajuk jugak dengan suami,.. nasib aku lah sebab dapat suami kuat memujuk..hati jadi sejuk balik.

yang aku nampak baik dan istimewanya madu aku tuh.. layanan dia pada suami.. sentiasa tersenyum, bercakap dan bercerita (aku bercerita jugak , lagi kuat bercerita dari dia rasanya) tapi cerita dia kalu tengok.. pada pendapat aku lah.. selalu menarik hati suami aku.. kadang-kadang aku tengok suami aku sampai tergelak besar.. pandailah dia.. emmm.

aku ada jugak kata pada suamiku, wah..kalu dengan orang, ketawa sakan ye.. tapi suamiku kata.. kalau aisyah citer apa-apa kat abang pun, abang ketawa jugak,.. lagilah tersengih macam kerang busuk, dari awal sampai habis citer aisyah tu kan…..

ada ke…. emm.

tapi satu yang aku perasan, tentang madu aku tuh,.. walau dia baik dengan aku, tapi yang penting padanya suami kami.. dia sangat jaga..sangat perihatin terutama hati dan perasaan suami aku.. he .. he,.. suami dia jugaklah.. takdelah aku tengok dia muncung merajuk macam aku.. kalau dia terasa dia akan diam.. ambik masa sendiri,.. pergi buat kerja..mengemas, mandi anak, masak atau berborak dengan ipar duai yang lain.. masa raya semua adik beradik suami balik, penuhlah rumah mak abah tuh..

lepas tu.. dia akan okey balik.. boleh datang balik pada suami dan bercerita serta layan suami kami macam biasa balik. agaknya orang jawa indon macam tu kot, walau dia muda dan tak dapat beraya bersama dengan ibu bapanya di seberang  (aku dapat, lepas beraya kat kampung suami, kami balik ke kl dulu, hantar madu dan tukar pakaian, lepas tu suami aku bawa aku balik ke kampung aku 4 malam), tapi dia tetap okey.. agaknya sebab tulah laki aku sayang dia lebih… aku rasalah.. laki aku marah aku kata macam tuh.. dia kata takde lebih takde kurangnya .. dua-dua dia sayang .. emmm.

tapi kini, walau sesekali , marahku datang, cemburuku bergolak, tapi aku bahagia.. yerlah bahagia cara poligamilah,.. dulu pun .. aku asyik merajuk aje.. tak bahagia mana jugak walau suami aku baik .. kini, aku banyak belajar menghormati suami, tahan merajuk dan marah ku.. sedikit sebanyak aku sebenarnya belajar dari madu aku tu. walau usia baru 20an tapi aku dapat rasa dia isteri yang baik untuk suami sebaik suamiku.

kadang-kadang aku rasa mereka terutama suamiku yang tercinta mampu bahagia walau aku tiada di sisi, emm masa tu mulalah datang akal jahatku minta suamiku lepas kan aku aje ..dari dia asyik nak melayan merajuk aku baik dia menghadap muka madu aku yang sentiasa tersenyum tuh.. tapi suami aku tak mahu. dia kata dia akan sabar dengan aku,.. dia mahu aku jadi isteri dia sehingga ke syurga. dan kalau dia mati dulu dia mahu aku setia pada dia,.. tubuh aku hanya untuk dia seorang.. pandailah kan.. dia tak apa tak setia.. tubuh dia untuk perempuan lain tak apae..mmm.

giliran adil, masa banyak lebih pada aku kerana suamiku sangat bertanggung jawab, anak-anak aku dah besar dan bersekolah menengah , jadi dia banyak dengan kami, menghantar dan mengambil anak-anak..

bermadu pahit? ya.. memang pahit, tapi dengan poligami aku banyak membaiki diri,.. mengenal balik tuhanku, menjaga solatku, mendidik anak-anakku. memahami suamiku..walau kini aku masih bergelut namun, kehidupanku jauh berubah dari dulu.

aku kini menikmati hubungan dengan ipar duai dengan lebih berkeyakinan.. siapa kata orang bermadu akan rasa terhina, aku tidak.. aku istimewa, tuhanku menyayangiku.. sekurang-kurangnya diberi aku ujian untuk menyedarkan ku bahawa dunia ini hanya sementara dan kasih manusia itu untuk kita gunakan bagi mencari redho NYA.

wallahu alam. yang penting pegakhiran kita kan ?…

Komen MilkyWay27:   Satu tulisan yg menarik…

Sumber:   http://blog.dcckmona.com/kehidupan/596/7-tahun-sudah-aku-hidup-bermadu.html