Pejuang…(5)

Di sebuah kedai kopi di bandaraya Kuala Lumpur, dua orang sahabat sedang sarapan pagi sambil berbual-bual isu-isu semasa. Maklumlah sudah lama mereka tak bertemu kerana kesibukan kerja masing-masing. Mereka bekerja keras di zaman ekonomi meleset ini mencari rezeki membanting tulang lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini dengan kebimbangan harga barangan lain akan turut naik. Ialah hanya peniaga yang takut kepada Allah dan jujur sahaja yang tak akan menaikkan harga barangan mereka secara keterlaluan. Kita ikuti dialog di antara dua orang sahabat ini…

Man: “Abu, apa khabar? Lama tak jumpa…mana kau sekarang? Azman menyapa Abu Bakar sahabat lamanya sejak sekolah rendah lagi.

Abu: “Alhamdulillah…sihat, kau apa khabar Man…aku masih kat KL macam dulu jugak…balas Abu Bakar .

Man: “Aku pun Alhamdulillah sihat walafiat…ehh aku tengok dalam status facebook kau naik pangkat tahun lepas…tahniah Bu bertambah rezeki kau…Azman mengucapkan tahniah kepada sahabatnya di atas kenaikan pangkat sebagai pengurus di syarikat tempat bekerjanya.

Abu: “Syukur Alhamdulillah Man rezeki yang Allah beri kepada aku…aku akan ke tanah suci Mekkah hujung bulan ni utk buat umrah sebagai tanda kesyukuran insyaAllah…

Man: “Alhamdulillah bagus tu Bu dapat rezeki lebih pergi umrah…Bu kau tahu aku rasa sedih dengan segelintir masyarakat Islam kita di Malaysia sekarang ni walaupun mereka sangat committed dengan Islam; solat berjemaah di masjid surau, puasa sunat kuat, hadir majlis ilmu, pergi umrah pergi haji, kuat bersedekah tapi…

Abu: “Tapi apa Man…tanya Abu sangat curious nak tahu apa yang nak diperkatakan oleh Azman…

Man: “Maksud aku, kau jangan salah faham kata-kata aku ni Bu, kita semestinya buat perkara-perkara baik itu semua dan sepatutnya dengan amalan-amalan baik tu kita akan lebih faham dan yakin dengan agama Islam dan menerima segala ajaran Islam tanpa mempersoalkan lagi kebenarannya dan mengikut Rasulullah SAW.

Maksud aku Bu mereka yang dah cantik amalan-amalan baik yang mereka lakukan ni ada yang kurang faham tentang syariat poligami dalam Islam. Mereka amat berat untuk menerima syariat poligami ini kerana dari percakapan dan tulisan mereka kita boleh lihat yang mereka tidak suka syariat ini. Aku berdoa semoga mereka diberi hidayah oleh Allah SWT supaya menerima ajaran Islam secara keseluruhan kerana itulah yang akan kita jawab di dalam kubur nanti bila ditanya apakah agama kamu semasa kamu hidup di atas dunia ini…

Abu mengangguk-angguk kepala tanda setuju dengan kenyataan sahabatnya itu tadi…

Nak buat baik ada cubaannya…

Pada satu masa dahulu, Ahmad, (bukan nama sebenar) tinggal di sebuah kawasan luar bandar untuk bekerja sebagai jurutera kilang. Dia tinggal berseorangan di rumah besar yang diberi oleh syarikatnya. Dia adalah seorang yang komited di dalam mengikuti ceramah-ceramah agama sejak di universiti lagi. Oleh kerana tempat tinggalnya agak jauh dari tempat pengajian agama, Ahmad terpaksa berulang-alik setiap minggu untuk mempelajari kuliah agama kerana dia tidak mahu ketinggalan pelajaran yang telah diikutinya selama ini.

“Aku mesti hadir program ni, walaupun terpaksa menaiki motorsikal keseorangan pada waktu malam.” kata Ahmad di dalam hati. Petang tadi semasa bekerja di kilang, kakak kantin telah memberitahunya yang jalan yang selalu dilalui oleh Ahmad pada waktu malam agak menyeramkan dari maklumat orang ramai.

‘Ini ujian untuk aku, samada aku terus datang kuliah atau duduk di rumah saja tengok TV.” Ahmad bertanya kepada dirinya. “Baik aku attend program dari duduk saja di rumah, nanti masa naik motor, aku baca quran kuat-kuat.” katanya di dalam hati dengan penuh yakin.

Alhamdulillah, dia telah berjaya mengharungi cubaan itu walaupun dalam hatinya merasa sangat berat pada mulanya. Dia tabah menghadapi dugaan yang bergolak di dalam jiwanya kerana dia mahu mempraktikkan apa yang dipelajari dalam setiap program-program keagamaan yang telah diikutinya sejak beberapa tahun yang lalu. Sekiranya dia tidak memecahkan perasaan takutnya pada masa itu mungkin dia sudah tidak berminat saat ini untuk menghadiri program agama di tempatnya. Dia masih ingat pada suatu tengah malam, dia melintasi kawasan itu dengan membaca quran sekuat-kuatnya bagi menghilangkan perasaan takutnya.

“Aku minta pertolongan daripada Allah dari perasaan takut, aku hanya takut kepadaMu saja, ya Allah,” jerit Ahmad di dalam hatinya.

Kini, dia perlu menaiki kereta beberapa minit saja untuk sampai ke tempat-tempat pengajian tanpa rasa ada gangguan, mungkin gangguan yang akan timbul ialah desakan hati supaya malas, duduk di rumah atau pergi membeli-belah pada masa kuliah agama diadakan.

Dia perlu tawadhuk dan merendah dirinya untuk tetap istiqamah di dalam program-program yang bertujuan untuk memperbaik dirinya dan juga keluarganya.

“Ya Allah, Engkau tetapkanlah hatiku ini di atas jalan kebaikan dan Engkau jadikanlah orang-orang yang soleh sebagai teman-temanku,” doa Ahmad ketika selesai solat tahajjud pada malam yang hening itu…

Saya Nak Jadi Isteri Kedua

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Zuhdi tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

“Tak sangka awak sudah beristeri!

Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya.

Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Zuhdi liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… ” Fatimah mula sebak.

“Tak. Maksud saya…” “Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar. “Awak nampak macam ‘alim, tapi sanggup menipu saya.

Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa? Saya rasa terhina tau” suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Zuhdi diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini, seorang yang menjalani tarbiyah Islam sejak dari universiti lagi tapi ini jawapan yang diterima olehnya. Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kelabu. Dalam hatinya, Zuhdi seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. 

Zuhdi muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya. “Ada hikmah,” bisik hati kecil Zuhdi, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Zuhdi sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya.

Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bagi. Itulah yang menjadi pegangannya sejak dia mengenali fikrah Islam semasa di tahun satu universiti kejuruteraan teknologi.

Dia amat bersyukur dan berterimakasih kepada Farhan kerana telah mengajaknya mengikuti program perkhemahan walaupun pada mulanya dia enggan. Matlamatnya pada mulanya ialah untuk menumpukan sepenuh masa dengan pelajaran kerana dia ingin berjaya dengan cemerlang. “Ikut dakwah pun boleh berjaya dengan cemerlang, malah boleh dapat “double“, ujar Farhan kepada Zuhdi. “Double? camne tu? tanya Zuhdi ingin tahu.

“Cemerlang di dunia, cemerlang di akhirat, cemerlang di dunia hanya sementara je, cemerlang di akhirat forever,” kata Farhan dengan penuh keyakinan terpancar di wajahnya yang berseri dek banyak beribadah.

Itulah kata-kata power daripada Farhan kepada Zuhdi sepuluh tahun yang lalu yang membuatkan hatinya tersentuh.

Seni dalam berdakwah.

Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan dakwah yang akan membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari akhirat nanti.

Keyakinan serta keaktifan Zuhdi berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Zuhdi dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan Islam yang dianutinya. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Zuhdi. Bagi Fatimah, Zuhdi seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Zuhdi melamarnya menjadi isteri kedua. Zuhdi masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Zuhdi tersebut. Bagi Fatimah, Zuhdi tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Zuhdi berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. 

Zuhdi semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Zuhdi – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Zuhdi. Zuhdi takut dirinya akan menjadi futur disebabkan lamarannya ditolak oleh Fatimah. Sudah ramai sahabat-sahabatnya menjadi futur dek kerana mengejar kemewahan dunia – sibuk kerja sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang dai’.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Zuhdi dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Zuhdi sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Zuhdi bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak kerana dia belum mencubanya. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Zuhdi berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Zuhdi mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Zuhdi tanpa segan silu.

“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.

“Er, betul ke ni?” tergagap Zuhdi menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Zuhdi.

“Kenapa saya?” tanya Zuhdi ingin tahu.

“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

“Baiklah,” jawab Zuhdi tersenyum.

Akhirnya, Zuhdi dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Zuhdi terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Zuhdi semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Zuhdi membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti robot. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Zuhdi. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

“Ye sayang?” jawab Zuhdi sambil memandu.

“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Zuhdi menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

“Ye ke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang. Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Zuhdi dalam gerak kerja dakwah.

Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Zuhdi yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Zuhdi aktif dalam dakwah sebelum ini.

“Kita dah sampai,” Zuhdi membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. 

Zuhdi berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

“Itu isteri pertama abang,” Zuhdi menuding jari ke arah khemah tersebut.

“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Zuhdi.

“Yang mana satu bang,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar. 

Zuhdi tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

“’Aisyah, orang Kelantan, ” jawab Zuhdi.

Sebuah cerpen…(4)

“Ya Allah! Ya Rahman! Ya Rahim! ampunkanlah segala dosa-dosaku kepadaMu! Ampunkanlah dosa-dosa suamiku! Ampunkanlah dosa-dosa anak-anakku! Redhakanlah kehidupan kami sekeluarga! Jadikanlah kami orang-orang yang soleh, yang Engkau redhai kehidupan kami di dunia dan di akhirat! Ya Allah! Ya Ghaffar! Ampunkanlah dosa-dosaku terhadapMu dan dosa-dosa yang telahku lakukan kepada suamiku! Ampunkanlah kekasaran dan tanggungjawab yang telahku abaikan terhadap suamiku! Jadikanlah daku isteri yang solehah, isteri yang taat kepada perintah-perintahMu dan taat kepada suamiku! Tiada daya dan upaya melainkan dengan kehendakMu jua! Engkaulah tempat daku memohon pertolongan dan Engkaulah tempatku mengadu segala masalah yang aku hadapi di dunia ini! Air mata Linda mengalir keluar mencurah-curah dari kelopak matanya pada malam itu. Dia tidak dapat menahan lagi kekesalan yang terbit ikhlas dari lubuk hatinya. Ya Allah! Janganlah Engkau siksa diriku ini di atas segala kesalahan yang telah aku lakukan! Aku bertaubat kepadaMu Ya Allah! Aku hanya insan yang kerdil yang mengharapkan rahmatMu Ya Allah.

Mengimbas kembali peristiwa 3-4 tahun yang lalu, Linda adalah seorang wanita yang aktif berpersatuan. Jawatan terakhir yang disandang olehnya ialah Naib Presiden kepada sebuah persatuan yang dikatakan memperjuangkan hak-hak wanita. Sebagai aktivis persatuan, dia seringkali tiada di rumah dan kadang-kadang balik jauh malam. Tanggungjawabnya terhadap suami dan anak-anak diabaikan hatta sembahyang lima waktu pun banyak yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan dek kerana kesibukan. Tambahan pula Linda bergiat atas nama membela kaum sejenisnya yang seolah-olah baginya tidak diambil kisah oleh masyarakat. Kes rogol, penderaan, perceraian, kahwin lari, anak luar nikah, seks bebas di kalangan remaja, isteri yang ditinggalkan suami disebabkan “orang ketiga, keempat”, janda susah yang menanggung anak-anak yang ramai, janda muda yang diceraikan suami yang berkahwin lain, janda yang mahu bercerai disebabkan suami mahu kahwin lain, anak dara- anak dara yang belum berkahwin walaupun sudah melebihi 30 tahun, dan bermacam-macam lagi masalah sosial kini.

Melihat kepada banyak permasalahan-permasalahan ini berpunca dari perkahwinan yang bergolak yang disebabkan oleh kehadiran “orang ketiga” – istilah yang digunakan oleh sesetengah golongan bagi mengeruhkan lagi keadaan, maka terlintas di fikiran Linda yang poligami dalam Islam ini menimbulkan semacam suasana kelam-kabut di dalam sesebuah rumahtangga. “Tengok tu anak-anak ditinggalkan, tak tahu tanggungjawab yang si suami tengah berseronok dengan isteri muda, tu je kerja orang lelaki” fikir Linda sendirian. Perasaan benci yang meluat-luat timbul di hatinya bila memikirkan yang ada orang yang sanggup meninggalkan isteri yang menjadi impiannya pada satu masa dulu tetapi dibuang begitu saja bila sudah ada teman yang muda jelita.

Peristiwa-peristiwa beginilah yang menjadikan Linda seorang yang melihat permasalahan sosial adalah disebabkan oleh sistem yang ada bukan kepada pelakunya. Maksudnya Linda melihat sistem di dalam sesebuah masyarakat itulah yang patut dipersalahkan bila berlakunya sesuatu kepincangan.

“Alhamdulillah, Allah telah menunjukkan taufiq dan hidayahNya kepadaku sebelum aku menutup mata buat selama-lamanya” bisik Linda di dalam lubuk sanubarinya. “Allah telah menunjukkan aku akan jalan Islam yang sebenarnya, bukan sepertimana yang difahami oleh kebanyakan masyarakat sekarang” fikirnya lagi. “Alhamdulillah, Allah tidak mematikan aku di dalam keadaan aku bergelumang dengan kejahilan, kebencian dengan amal-amal soleh, memandang jelek kepada orang-orang soleh, bahkan tidak begitu yakin dengan sistem Islam yang cukup indah ini” kata mata hatinya. “Syukurku kepada Allah, Tuhan Semesta Alam yang telah memberiku petunjuk sehingga aku merasakan di saat ini bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi dan Rasul yang sangat kucintai. Sunnah Nabi Muhammad adalah yang terbaik, yang memandu manusia seluruhnya ke jalan yang benar iaitu jalan yang lurus. “Dulunya aku lebih mengagumi sistem yang ditunjukkan oleh barat dek kerana kejahilanku tidak mempelajari sistem Islam itu sendiri, tapi kini Allah telah meyakinkan aku bahawa sistem Dia lah yang patut aku kagumi dan sanjungi kerana Dia lah yang menciptakan manusia dan alam semesta maka Dia lah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia ikuti di dalam kehidupan sehari-hari” katanya lagi.

Linda pasrah kiranya Syamsul ingin berkahwin dua, tiga atau empat dia tidak akan membantah. Dia redha dengan ketetapan hukum yang telah ditentukan di dalam syariat Islam. Memang itulah yang terbaik untuknya sebagai seorang yang bernama wanita. Dia tidak ragu-ragu akan pensyariatan poligami yang telah termaktub di dalam Al-Quran lebih 1 400 tahun yang lalu. Bahkan dia yakin apa yang terkandung di dalam Al-Quran seluruhnya adalah untuk kebaikan manusia juga. Maha Bijaksana Allah Taala yang telah menurunkan Al-Quran. Islam adalah penyelesaiaan akan segala masalah sosial, kemelut ekonomi dan apa-apa sahaja yang dihadapi oleh manusia di muka bumi ini. Kejayaan manusia adalah meyakini atau beriman dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah Taala.

“Tanpa disedari air mata penyesalan bercampur dengan air mata kesyukuran keluar perlahan-lahan membasahi pipinya”. “InsyaAllah hujung tahun ini kami akan ke tanah suci Makkah untuk menyahut seruanMu ya Allah” bisik hati kecil Linda bersama-sama keheningan dan kesyahduan malam itu.

Sebuah cerpen…(3)

Linda (bukan nama sebenar) sudah berubah sekarang. Gaya pakaiannya, rentak percakapannya tidak lagi seperti dulu. Masa muda-muda dulu.

“Abang, abanggg, abang nak tidur ni abang dah solat ‘Isya’ ke belum?” Tegur Linda kepada suaminya Syamsul dengan lemah-lembut. “Abang kalau belum solat, solatlah dulu takut nanti subuh baru terjaga, terlepas pulak Isya’ tu”.

“Yelah, yelah, abang bangun ni, ehh dah pukul berapa dah?” Sahut  Syamsul sambil menggosok-gosokkan matanya. Begitulah Syamsul, faham sangat dengan teguran isterinya. Sejak kehidupan mereka berubah, Syamsul sangat memahami kehendak hati isterinya. Isterinya sangat mengambil berat tentang urusan agama. Setiap kali lepas solat lima waktu mereka tidak akan terlepas berdoa memohon kepada Allah supaya kehidupan mereka bahagia, anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah – yang taat kepada perintah Tuhan dan taat kepada kedua ibubapa. Allah telah memberi taufiq dan hidayah kepada mereka berdua untuk menghayati agama Islam di dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Linda melihat suaminya ke bilik air untuk mengambil wudu’. Dia masih lagi berpakaian lengkap baju solat dan masih duduk di atas sejadah. Sejadah yang dibelinya di Jalan Melayu berdekatan dengan Masjid India enam bulan yang lalu. Dia menadah tangan sambil memohon doa kepada Allah. Lampu di dalam bilik tidur utama itu sengaja dimalapkan agar perasaannya untuk berdoa kepada Allah pada malam itu memberi kesan yang mendalam kepada jiwanya. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul satu pagi. Suasana yang cukup hening, tenang, aman, damai. Masa itulah boleh dikatakan setiap hari pasangan suami isteri itu akan bangun dari tidur mereka dan melakukan ibadat seperti solat tahajjud, berdoa, menangis sepuas-puas hati, dan membaca Al-Quran beserta dengan tafsirnya sekali. Taufiq dan hidayah Allah diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

bersambung…

Sebuah cerpen…(2)

“Aku mesti bergiat balik dalam dakwah.” “Aku mesti rajin meningkatkan diriku dan keluargaku.” “Umurku sudah lebih 40 tahun…Adakah aku mahu menunggu sehingga umurku 60 tahun baru nak berdakwah? Masa badanku sudah kurang bertenaga..masa staminaku sudah berkurangan baru aku nak kembali berdakwah. Mengapa aku masih begini?” “Masih malas beribadat…malas membaca buku-buku agama…malas bersedekah kepada yang memerlukan…serba-serbi malas dalam hal-hal ibadat…kenapa? Ahhh kenapa? Fikir Ahmad keseorangan di malam yang hening itu. Di tepi pantai nan syahdu daun nyiur melambai-lambai disimbahi cahaya bulan mengambang, Ahmad termenung sendirian. Sengaja dia memilih pantai sebagai tempat percutian dengan anak-anak dan isterinya. Pantai, jauh dari kesibukan dan kebisingan KL, merupakan sumber inspirasi dalam mencari ilham dan yang penting untuk mencari ketenangan jiwa. Ahmad mahu mencari pencetus kepada keinginannya untuk kembali ke medan dakwah. Ilham yang selama ini tidak timbul kerana dia merasakan dirinya penuh bergelumang dengan keseronokan mengejar kekayaan harta dan wang. Dirinya penuh dengan kecintaan kepada kemewahan hidup sehingga dia lupa ada yang jauh lebih baik dari itu.

Dengan kecintaan dan keseronokan perlumbaan mengejar kekayaan harta benda dunia yang tidak kekal itu menyebabkan dia lalai dari melakukan ibadat terhadap Tuhannya. Dia lalai, cuai, lupa, malas…berapa banyakkah peluang atau masa yang telah diberi oleh Tuhannya untuk dia beribadat yang telah ditinggalkan olehnya. Masa itu telah berlalu. Dalam usianya yang telah melebihi 40 tahun itu telah dipergunakan olehnya dengan kerja-kerja keduniaan dan sedikit sangat untuk mencari akhirat dan keredhaanNya.

Ahmad menitiskan air mata. Air mata penyesalan. “Alhamdulillah,” bisik hati kecilnya kerana dia merasa lega dan lapang dadanya dengan keinsafan yang terpancar di dalam hatinya. Satu-persatu senarai kerja-kerja yang hendak dilakukan olehnya yang mana hendak dijadikan aktiviti harian bagi memantapkan keimanan di dalam hatinya.

“Solat subuh berjemaah setiap hari, membaca Al-Quran setiap hari sebanyak yang mungkin, menghafal Al-Quran setiap hari walaupun sedikit, menjaga lidah dari mengumpat, mengeji, mencela saudara seIslam, mengutuk, menfitnah dan bersembang-sembang kosong yang langsung tidak mendatangkan faedah” azam Ahmad kepada dirinya di dalam hati. “Aku mesti beristighfar setiap hari kerana aku sudah banyak berdosa kepada Allah juga kerana aku lalai di dalam menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang Muslim yang diwajibkan menyampaikan dakwah kepada orang lain – lebih-lebih lagi kepada kaum-kerabat, jiran-jiran, rakan sekerja dan masyarakat setempat serta kepada orang-orang lain yang ku kenali” kata Ahmad di dalam hatinya.

Sebuah cerpen…

Solat tiang agama
Solat tiang agama
Ahmad terasa ingin menangis sekuat hati bila mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Tetapi airmatanya tidak keluar. Tidak tahu apa sebabnya. Adakah hatinya telah keras. Sekeras batu. Sekeras logam. Itulah yang menjadi tanda tanya. Dulu semasa zaman muda remaja semasa masih menuntut di universiti Ahmad cukup cepat sensitif dan mengalirkan airmata bila disentuh dengan peringatan-peringatan, pesanan-pesanan tentang kematian, tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah dan tanggungjawab atau taklif dakwah kepada masyarakat. Begitu juga bila program-program yang berbentuk kerohanian seperti qiyamullail semasa di universiti, Ahmad pasti datang dan kadang-kadang menangis bila imam sujud panjang. Dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim mesti berdakwah mengajak orang terdekat terdiri dari kawan-kawan, sanak-saudara supaya mereka memahami Islam sebagaimana yang difahami olehnya.
Ilmu untuk tingkatkan jatidiri
 
Ilmu sebagai persiapan untuk berdakwah kepada masyarakat

Hatinya tenang dan tenteram bila teringatkan peristiwa bersama-sama rakan yang sentiasa memahami agama dan mengajaknya ke program-program untuk mengubat hati. Muka mereka berseri-seri, bersih dan menggambarkan keikhlasan. Muka mereka bermatlamat jelas. Begitulah bila hati sudah dididik dengan jalan yang lurus. Kehidupan di dunia hanya sementara. Hati yang sudah merasa suka dan seronok dengan kebaikan. Hati yang cinta untuk berbuat baik. Hati yang mencintai ukhuwwah semata-mata kerana Allah. Bukan kerana hendakkan kesenangan dunia seperti pangkat besar, kereta besar, rumah besar, harta yang banyak. Niat mesti ikhlas. Dakwah kerana Allah Taala sahaja. Bukan kerana yang lain yang bersifat tidak kekal. Macam perkahwinan juga. Pilih isteri yang beragama bukan hanya yang berwajah cantik kerana rupa yang cantik tidak tahan lama 50, 60 tahun akan jadi berkedut. Tak boleh hendak elak. Itu realiti. Harta juga akan habis atau hilang, tetapi kalau dapat isteri yang beragama dia akan jaga maruah dia, jaga harta dan rumahtangga suami dia dan yang penting didik dan tarbiyah anak-anak dia dengan akhlak dan agama yang elok.

Kali ini Ahmad benar-benar bertekad mahu membersihkan dosa-dosanya. Kerana dia berasa takut maut akan datang menjemputnya dalam keadaan dirinya yang penuh dengan dosa-dosa dan tidak sempat bertaubat. Dia menanam keazaman untuk kembali kepada Allah Taala dengan banyak membaca Al-Qur’an, banyak berzikir dan beristighfar memohon keampunan kepada Tuhan. Ya, dia menyesal dengan sesungguh hati kerana ilmu yang dipelajari semasa di universiti dahulu tidak dipraktikkannya di dalam kehidupan sekarang. Sepatutnya dia sudah menjadi seorang yang kuat beribadat dan kuat menyampaikan dakwah kepada masyarakat kerana dia sudah memahami taklif ini lama dahulu. Tapi dia merasakan bahawa imannya semakin lemah kerana kesibukan urusan dunia, mengaut kekayaan dunia. Namun pada hakikatnya dia tidaklah menjadi kaya juga. Sesiapa yang menolong Allah, maka Allah akan menolongnya. Dia berazam akan bergiat dengan memperbaiki dirinya dan berdakwah mengajak orang lain terutama generasi muda untuk kembali memahami agama yang sebenarnya. Dia bersyukur kepada tuhan kerana dia dapat mempelajari agama semasa usianya masih muda belia. Itulah maknannya ada orang lain yang berdakwah kepadanya. Jadi mengapa tidak dia berdakwah kepada generasi muda ini supaya selepas mereka memahami agama mereka akan berdakwah kepada orang lain pula satu hari nanti. Sudah jadi macam sistem MLM tapi yang ini ganjarannya berapa. Harta dunia akan habis. Tapi pahala memahamkan orang ke jalan Allah berapakah ganjarannya kalau hendak dihitung. Fikir Ahmad sambil bergerak ke masjid untuk solat Asar berjemaah.

Kisah Teladan – 4

Perjalanan yg jauh memerlukan bekalan yg cukup“Beberapa hari yang lalu, penulis bersolat Zuhr di Masjid UKM. Selepas solat Zuhr, pihak masjid mengadakan tazkirah Zuhr sementara menunggu ahli jemaah masuk semula ke pejabat. Walaupun tazkirah Zuhr itu hanya berlangsung selama lebih kurang 20 minit tapi ianya memberi kesan sebagai satu peringatan lebih-lebih lagi sebagai pencetus semangat di dalam mengharungi ibadah puasa.
 
Ustaz yang menyampaikan tazkirah pada hari itu memberitahu yang puasa ini ibarat satu ‘station’ atau tempat perhentian, yang mana kita perlu mengambil seberapa banyak bekalan kerana kita tidak mengetahui sejauh manakah lagi perjalanan yang akan kita tempuh untuk menuju akhirat.
 Berhenti makan, minum, rehat, tunai hajat sekejap...lepas tu sambung perjalanan ke destinasi yg nak di tuju.
Walaupun kata-kata itu sudah berlalu beberapa hari tetapi ianya masih segar dalam ingatan, begitulah fitrah bila kata-kata yang lahir dari hati yang ikhlas ia akan menusuk masuk ke dalam jiwa pendengarnya.
 
Hari ini sudah hari ke-7 kita berpuasa, ada 22 atau 23 hari lagi yang tinggal untuk kita mengaut bekalan…..bukan bekalan berupa wang berjuta-juta ringgit, harta benda yang banyak, kesenangan hidup di dunia, pangkat yang tinggi, kedudukan yang disanjung orang…..tetapi bekalan untuk kita menempuh perjalanan kita menuju akhirat, tempat tinggal kita yang kekal abadi.” Wallahu’alam.

Kisah Teladan – 3

Penulis ada membaca sebuah buku terbitan pustaka Al-Mizan (Malaysia) bertajuk POLIGAMI (Mengapa Rasulullah Berbilang Isteri) keluaran tahun 1988. Penulisnya ialah seorang ustazah, pensyarah di PPP-ITM, Shah Alam iaitu Ustazah Norain Ishak. Penulis buku itu cukup baik menghuraikan perihal poligami dari sudut sejarah, syarat-syarat, hikmah-hikmah, perkahwinan Rasulullah s.a.w. dan tujuan Rasulullah s.a.w. berpoligami. Pada prinsipnya, beliau menerangkan poligami dari segi kebaikan-kebaikan dan keindahan syari’at islamiah ini. Pada pendapat penulis Inilah contoh seorang Muslimah yang memahami ajaran Islam yang sebenarnya dan mempertahankannya serta sanggup berdepan dengan masyarakat yang selalu melabelkan poligami sebagai sesuatu yang menimbulkan masalah.

 
Soalan, berapa ramaikah wanita-wanita Islam yang berpendirian seperti ustazah ini? Wallahu a’lam.

Kisah Teladan

Memang payah sebenarnya nak keluarkan duit poket sendiri kerana nak tolong kawan. Kerja dahlah penat sebab tu pahalanya besar Kes 1

Fendy dan Zul ingin mengikuti satu kursus yang dianjurkan oleh
masyarakat setempatnya. Malangnya disebabkan masalah kewangan hasrat
mereka berkubur begitu sahaja. Ahmad mendapat tahu dari rakannya yang
Fendy dan Zul sangat berminat untuk menghadiri kursus tersebut tetapi
tidak kesampaian. Ahmad memberitahu Fendy dan Zul yang beliau sanggup
meminjamkan wang tabungnya bagi membiayai kos kursus mereka.

Kes 2Gambar hiasan - pasangan suami-isteri bahagia. "Wahai orang-orang muda! Cepat-cepat lah kahwin kalau mampu - pesanan ringkas dari orang lama bukan tua.

Razuki berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya namun begitu
disebabkan kos perkahwinan agak tinggi beliau terpaksa menangguhkan
hajatnya seketika. Lagipun dia baru saja mendapat pekerjaan selepas
mengikuti kursus ijazah selama 4 tahun lebih. Dia juga risau yang
usianya sudah hampir mencecah 30’an dan juga desakan dari keluarga
untuk melihatnya mendirikan rumahtangga. Tambahan pula Razuki sudah
bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai suami-isteri bersama teman
wanita pilihannya. Osman, teman rapat Razuki memberitahu Razuki yang
rakannya, Nasir, boleh memberi pinjaman bagi menampung sebahagian
kos perkahwinannya. Berita itu disambut baik oleh Razuki walaupun
dia tidak mengenali Nasir.

Kes 3

Zubair dikurniakan Allah Taala kekayaan hasil dari perniagaannya.
Zubair ialah seorang kaya yang dermawan. Ustaz Rashid pergi berjumpa
dengan Zubair untuk meminta sedikit derma bagi pembinaan Masjid di
tempatnya. Zubair memberitahu Ustaz Rashid yang dermanya dikhaskan untuk
orang-orang susah dan kepada pemuda yang belum berkahwin dan
ingin berkahwin tetapi mempunyai masalah kewangan utk menampung kos
perkahwinan yang semakin meningkat. Ustaz Rashid sudah berumahtangga
dan beliau pulang dengan hampa tanpa mendapat satu sen pun dari
Zubair.

Kisah-kisah yang dipaparkan adalah kisah benar walaupun nama-nama yang
digunakan adalah nama samaran. Penulis merasakan nama tidak begitu penting yang penting isinya supaya menjadi teladan kepada kita semua. Dalam kehidupan serba moden ini, ramai yang hanya mementingkan dari aspek materialistik sahaja tanpa mengambil kira aspek pahala. Contoh-contoh yang ditunjukkan oleh
Ahmad, Nasir dan Zubair benar-benar dagang (strange) dalam zaman sekarang yang mana mereka mengenepikan kepentingan diri sendiri dengan membantu rakan-rakan mereka yang sangat-sangat memerlukan.
 
Masih adakah orang-orang seperti Ahmad, Nasir dan Zubair wujud dalam masyarakat sekarang ini?