Tak boleh menghina saudara seIslam…


 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَنَاجَشُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَلَا تَدَابَرُوا، وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إخْوَانًا، الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ، وَلَا ي…َخْذُلُهُ، وَلَا يَكْذِبُهُ، وَلَا يَحْقِرُهُ، التَّقْوَى هَاهُنَا، وَيُشِيرُ إلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ: دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ . 

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi
antara satu dengan lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah
kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang
muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan
menghinanya. Ketaqwaan itu di sini – sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali –
Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap
orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.

(hadis riwayat Muslim)
Pengajaran hadis:
(1) Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian
hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.


(2) lslam melarang umatnya dari saling hasad dengki, tipu menipu, benci membenci dan pulau
memulau kerana semua sifat ini adalah sifat buruk yang hanya akan membawa kepada kerosakan, huru
hara dan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat akan hancur sekiranya setiap anggota mempunyai
sifat-sifat buruk seumpama ini.


(3) lslam juga melarang seseorang memotong jual beli saudaranya sehingga dia selesai membuat
keputusan sama ada mahu meneruskan jual beli tersebut atau membatalkannya. Apabila jual beli itu
dibatalkan, maka bolehlah dia menawarkan diri untuk berurus niaga. Etika ini diajar oleh lslam demi
memelihara hubungan persaudaraan sesama muslim agar tidak timbul permusuhan akibat perbuatan
memotong urusniaga orang lain.


(4) Umat lslam digesa hidup sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan masing-masing menunaikan
hak saudaranya dengan sempurna. Antara hak saudara seagamanya ialah bahawa dia tidak
menzaliminya, tidak membiarkannya dihina, tidak membohonginya dan tidak mencerca atau
menghinanya. Cukuplah seorang mukmin mendapat kecelakaan apabila dia suka menghina saudaranya.


(5) Taqwa adalah perkara tersembunyi yang ada di dada seseorang, ia bukannya suatu perkara yang
boleh didakwa. Taqwa tidak seharusnya didakwa-dakwa bahkan ia adalah perkara tersembunyi di dada,
namun ia dapat dikesan berdasarkan amalan seseorang kerana seorang yang bertaqwa hanya akan
melakukan amalan soleh dan berakhlak mulia.

Sumber: facebook.com

Bahasa bukan penentu kejayaan

Bahasa bukan penentu kejayaan

Oleh Nazmi Yaakub

Pemahaman makna, konsep dan falsafah di sebalik Sains dan Matematik lebih penting

KEPENTINGAN memahami makna, konsep dan falsafah Sains serta Matematik, perlu dititikberatkan terlebih dulu sebelum proses pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran terbabit beroleh kejayaan ditekankan pada Syarahan Memartabatkan Sains dan Matematik Melalui Acuan Bahasa.

Syarahan anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut mengingatkan pendidik dan pengajar kedua-dua subjek berkenaan agar berusaha memahami konsep, prinsip dan falsafahnya serta hubungannya dengan bahasa sebagai pengantara sebelum mengajar Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, berkata sains ialah bidang yang memerlukan kebolehan untuk menganalisis fenomena alam tanpa mengira bahasa apa pun yang digunakan, tetapi kebolehan berkenaan akan menjadi lebih mudah sekiranya menggunakan bahasa ibunda. “Apa yang kita mahu pelajar memahami fenomena alam dan bukan bahasa Inggerisnya sehingga menumpulkan kefahaman mereka.

Sains tidak memerlukan bahasa Inggeris semata-mata, sebaliknya bahasa yang membolehkan manusia memahami tabii alam,” katanya pada syarahan terbabit di Bangi, baru-baru ini. Khalayak diberitahu tokoh sains dan matematik tempatan, Dr Shaharir Mohamad Zain menakrifkan sains sebagai analisis fenomena alam atau tabii bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai. Prof Mohd Yusof mengingatkan bahasa anak kecil tidak akan sama dengan yang difahami orang dewasa sehingga guru perlu bijak untuk memilih pendekatan dan frasa yang mampu difahami kanak-kanak mengikut kesesuaian umur kumpulan sasaran. “Kanak-kanak berusia enam tahun sudah tentu sukar memahami konsep angin sebagai jana kuasa, tetapi sekiranya kita memberikannya permainan baling-baling sebagai perbandingan, sudah pasti apa yang ingin disampaikan akan lebih mudah difahami,” katanya.

Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya konsep dan falsafah sains itu gagal difahami pendidik kerana kekangan bahasa, sehingga menjejaskan proses pendidikan sains yang bermatlamat menjana pembangunan dan tamadun negara, tidak berjaya dicapai. “Sains apa yang hendak diajar sekiranya pendidik dan pelajar sama-sama tidak memahaminya. Sains pula tidak boleh diajar secara menghafaz kerana menuntut kita memahaminya.

Ketiadaan istilah dalam bahasa Melayu bukan isu kerana kita boleh meminjam daripada bahasa Inggeris, sama seperti mereka mengambil istilah dalam bahasa Arab iaitu alkohol,” katanya. Prof Mohd Yusof turut menolak alasan sesetengah pihak yang menganggap kekurangan bahan bacaan sains dalam bahasa Melayu menjadi halangan kepada usaha mengajar dalam bahasa itu kerana baginya usaha penterjemahan sewajarnya digandakan kerana ia dapat meningkatkan ilmu seperti yang dilakukan ulama silam. “Sekiranya kita tidak melakukan usaha penterjemahan, kita sebenarnya meranapkan ilmu. Ini kerana penterjemahan menjadi salah satu sumber untuk memperoleh ilmu. Kita sewajarnya menggalakkan universiti terbabit sama dalam menterjemahkan buku sains,” katanya. Beliau mengambil contoh tamadun Barat moden yang menterjemah buku dalam bahasa Arab dengan banyak dan tidak pula menggunakan alasan kekurangan bahan bacaan dalam bahasa ibunda mereka untuk menukar pengajaran sains dan matematik ke dalam bahasa Arab.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20090219083628/Article/

Apakah pendapat anda tentang PPSMI?

Saya sangat teruja bila isu ini dibangkitkan semula di dalam media massa sejak kebelakangan ini. Dalam berita di TV kebanyakannya adalah bersetuju dengan PPSMI. Radio IKIM.FM lebih berani dengan mengemukan pendapat orangramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan PPSMI dan pembelajaran sains dan matematik hendaklah di dalam bahasa ibunda masing-masing.

 Pernahkah anda melihat tesis PhD di dalam bidang kejuruteraan yang di tulis oleh sarjana-sarjana Doktor Falsafah di dalam bahasa Melayu? Sekiranya tidak pernah anda boleh melihatnya di Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM atau di Perpustakaan Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan UKM.

Salah seorang pemanggil radio IKIM.FM pagi tadi menyuarakan pendapatnya tentang PPSMI iaitu tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI di dalam sistem pendidikan negara kita dengan mengatakan bahawa terdapat perbezaan di antara penguasaan ilmu dan penguasaan bahasa. Ilmu contohnya ilmu sains dan matematik boleh diperolehi oleh seseorang itu melalui bahasa yang disampaikan di dalam bahasa ibunda mereka contohnya bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Arab, Indonesia, Perancis dan sebagainya. Seseorang itu perlu memahami konsep dan prinsipal yang terdapat di dalam ilmu tersebut. Dari segi penguasaan bahasa pula ianya boleh dipelajari contohnya bahasa Inggeris untuk meningkatkan tahap komunikasi pelajar-pelajar tersebut. Bagi menguasai bahasa Inggeris masa pembelajaran hendaklah ditambah dan kursus yang intensif perlu dilaksanakan.

Mari kita lihat negara Perancis, di Perancis, bahasa utama yang digunakan di dalam sistem pembelajaran mereka adalah bahasa Perancis dan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua. Semasa saya di Paris empat tahun lepas, saya mendapati di merata-rata tempat bahasa Perancis digunakan dan di tempat-tempat awam mereka berkomunikasi dengan bahasa Perancis. Dari sekolah tadika hinggalah ke peringkat PhD bahasa pengantar yang digunakan adalah bahasa Perancis. Begitu juga di alam pekerjaan bahasa Perancis digunakan sebagai bahasa utama mereka. Perancis menjadi sebuah negara maju dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri. Contoh lain yang saya boleh utarakan di sini ialah negara Jepun, Jerman dan juga negara membangun seperti Indonesia.

Persoalannya di sini juga melibatkan isu memartabatkan bahasa Melayu di mana orang-orang Melayu yang akan mempertahankan bahasa Melayu. Janganlah kita mengharapkan bangsa lain yang akan memperjuangkan bahasa Melayu ini. Jangan anda harap. Jangan sekali-kali jangan.

Talbis Iblis – (4)

Kemudian datang lagi Iblis membisik pula: “Kalau engkau masuk ke dalam pondok itu untuk bercakap-cakap dengannya, dan biarkan dia di dalam pondok saja, sehingga wajahnya tidak dapat dilihat oleh orang lain selain engkau saja, tentulah itu lebih bagus!” Maka demikianlah yang dilakukan oleh si abid tadi, duduk bercakap-cakap dengan sang perawan itu hingga tengahari, maka kembalilah dia ke rumah ibadatnya.

 

 Kemudian datang lagi Iblis untuk menggoda si abid itu dengan mengkhayalkan keindahan wajah si perawan itu sehingga akhirnya sang abid hilang pegangan, maka dia pun datang mendapatkan sang perawan itu serta memaut tubuhnya dan menciumnya. Iblis pun terus memperindahkan wajah perawan itu di mata sang abid dan mengharunya, sehingga akhirnya dia pun bersatu dengannya dan membuntingkannya. Hasil dari perbuatan serong tadi, perawan itu pun melahirkan seorang anak daripada si abid itu.

 

Sekarang datanglah Iblis menjelma seraya mengatakan: Hai abid! Jika saudara si perawan ini datang melihat semua ini, apakah yang hendak engkau katakan? Tentu engkau akan pecah tembelang, ataupun mereka akan menceritakan perkaramu itu kepada orang. Lebih baik engkau bunuh saja anak haram ini dan tanam dia lekas-lekas sebelum orang tahu, dan si perawan itu tentu akan menyembunyikan rahsiamu kerana takutkan saudara-saudaranya mendapat tahu rahsia kamu berdua. Maka si abid itu lalu membunuh anak itu.

 

Kemudian Iblis mengatakan kepada si abid lagi: Apakah engkau percaya bahawa si perawan itu akan menutup mulutnya dari hal apa yang sudah engkau lakukan terhadap dirinya, dan sesudah engkau membunuh anaknya? Lebih baik engkau bunuh saja perawan itu dan tanamkan sekali bersama-sama dengan anaknya. Si abid itu terpaksa ikut bisikan Iblis itu, sehingga dia membunuh ibu anak itu juga, lalu kedua-duanya diluntarkan ke dalam lubang, serta ditindihkannya dengan sebuah batu besar, kemudian dikambus dengan tanah, lalu dia kembali ke rumah ibadatnya masuk ke dalam tempat khalwatnya beribadat.

bersambung…

      

Talbis Iblis – (3)

Begitulah yang dibuat sang abid tadi untuk beberapa waktu. Kemudian datang lagi syaitan membisikkan sesuatu yang lebih baik daripada itu dan akan membuahkan pahala yang lebih besar lagi, seraya menghasutnya seterusnya: “Kalau engkau tambah sedikit, lalu engkau bawakan makanan itu ke dalam rumah perawan itu, tentu itu akan melebihkan pahalamu!” Maka dia pun membawa makanan itu dan meletakkannya sekali di dalam rumah.

 

Sesudah berlalu beberapa waktu, maka syaitan pun menghasutnya lagi, seraya membisikkan: “Engkau sudah masuk di dalam rumah, mengapa engkau tidak bertegur sapa dan bercakap sekali kepadanya, bukankah itu akan menimbulkan kemesraan kepadanya, kerana perawan itu duduk seorang diri tiada siapa yang dapat bercakap-cakap kepadanya, tentu dia merasa bosan duduk keseorangan begitu!”

 

Maka sang abid pun berbicaralah kepada si perawan itu dari atas rumah ibadatnya serta melihatnya dari situ untuk beberapa waktu.

 

Kemudian datang pula iblis seraya membisikkan: “Kalau engkau berbicara kepadanya dari pintu rumah ibadatmu, dan dia pula dari pintu pondoknya, bukankah itu lebih baik dan lebih mesra?” Maka sang abid itu terpujuk untuk mahu turun dari tempat khalwatnya duduk di pintu rumah ibadatnya berbicara kepada si perawan itu yang duduk di pintu pondoknya. Demikianlah keadaan mereka berdua untuk beberapa waktu.

 

Kemudian datang lagi iblis untuk mengajar sang rahib menambah kebajikan dan pahala, bisiknya: “Apa salahnya kalau engkau pergi sekali ke pintu pondoknya dan bercakap-cakap dengannya di situ, tentulah itu lebih menggembirakannya!” Dan demikianlah yang dilakukan oleh si abid itu untuk beberapa waktu.

 

 Kemudian datang lagi iblis dan menggalakkannya untuk duduk di pintu pondok itu, dan biar si perawan itu duduk di dalam rumahnya, bukankah itu lebih baik? Lalu si abid tadi pun tunduk kepada bisikan itu, duduklah di pintu pondok itu, manakala si perawan duduk di dalam pondoknya.

bersambung…

Talbis Iblis – (2)

Diberitakan daripada Wahab bin Munabbih r.a. ,katanya:

Ada seorang abid pada zaman Bani Israel, dan dia ternyata seorang abid yang terkenal pada masa itu. Dan ada pula pada zaman itu tiga bersaudara, yang mempunyai seorang saudara perempuan yang masih perawan, yang tiada punyai saudara perempuan yang lain. Ketiga-tiga orang yang bersaudara ini mahu keluar untuk berjihad, dan mereka tidak tahu di mana hendak ditinggalkan saudara perempuan mereka itu, siapa yang patut diserahkan amanat itu. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk meninggalkan saudara perempuannya itu pada seorang abid yang terkenal pada zaman Bani Israel itu. Inilah satu-satunya orang yang dapat dipercayakan saudara perempuannya nanti.

 

Mereka pun datang kepada abid tadi untuk meninggalkan saudara perempuannya itu supaya dijaga dan dilindunginya, sehingga mereka kembali dari peperangan mereka. Pada mulanya si abid itu menolak, serta berlindung diri kepada Allah daripada mahu menerima seorang perempuan berada dalam lindungannya. Mereka terus memujuk si abid itu dan menerangkan sebab mereka hendak menyerahkan saudara perempuan mereka itu, hingga akhirnya terpaksa si abid itu menerima juga, maka katanya: Tinggalkanlah dia di sebuah pondok sana di pinggir rumah ibadatnya.

 

Maka ketiga saudara itu pun meninggalkan saudara perempuannya di tempat yang ditunjukkan oleh sang abid tadi, dan mereka pergi meninggalkannya di sana untuk menuju ke medan perang. Anak perawan itu pun berdiam diri di rumah itu beberapa hari, setiap hari si abid itu akan membawa makanan dan meletakkannya di pintu rumah ibadat itu, kemudian menutup pula pintunya, serta memasuki tempat pengkhalwatannya. Lalu anak perawan itu pula akan keluar dari pondoknya berjalan menuju ke pintu rumah ibadat itu, dan mengambil makanan itu dan kembali lagi ke pondoknya.

 

Tidak beberapa hari sesudah itu, datang syaitan cuba memujuk hati si abid itu supaya membuat baik kepada sang perawan itu, dan menganggap tidak pantas sang perawan itu keluar dari rumahnya siang hari, dan menimbulkan dalam hatinya perasaan bimbang, kalaulah perawan itu dilihat orang keluar berseorangan, lalu diganggunya atau dibuat sesuatu yang tidak baik kepadanya. ‘Bukankah baik, kalau engkau dapat membawa makanan itu sendiri dan meletakkannya di pintu pondoknya, bukankah itu lebih mendatangkan pahala bagi perbuatanmu itu?!’

 

Terpengaruh juga dia dengan bisikan syaitan itu, lalu dia pun berusaha untuk membawa makanan itu dan meletakkannya di pintu pondok perawan itu, dan dalam pada itu dia tetap tidak berkata sepatah pun kepada sang perawan itu.

bersambung…

Cinta

 

 

Mahabbah dalam ertikata yang sebenarnya ialah kasih dan sayang di antara satu dengan lain semata-mata kerana Allah swt. Ini adalah sepertimana firman Allah swt dalam hadis Qudsi yang bermaksud:-

“Mahabbah itu wajib bagi mereka yang berkasih sayang di antara satu dengan lain keranaKu, pada jalanKu, dan orang yang menziarahi pada jalanKu dan mereka yang berkorban keranaKu, maka mereka-mereka inilah yang Aku kasih.”

Dalam satu riwayat lain pula Rasulullah saw pernah bersabda: “Ada di kalangan hamba, mereka ini bukan Nabi-Nabi, bukan pula golongan mati syahid, tetapi mereka ini disukai oleh para syuhada dan Nabi-Nabi. Mereka ini tinggi kedudukannya di sisi Allah swt.

Lantaran itu di kalangan sahabat-sahabat ada yang bertanya:
“Ya Rasulullah, siapakah mereka itu?
Maka jawab Rasulullah:-

“Mereka itu satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah swt. Mereka melaksanakan perintah Allah swt. Mereka itu tidak ada sangkutan adik-beradik atau saudara mara. Dan bukan pula kerana harta, mereka berkasih sayang.”

Jadi dari riwayat di atas, dapatlah kita fahamkan tentang betapa pentingnya kita berkasih sayang di antara satu dengan lain tidak kerana yang lain tetapi adalah kerana Allah swt semata-mata. Inilah apa yang dikatakan kasih sayang yang hakiki yang merupakan ciri yang penting bagi membentuk masyarakat Islam.

Di sini ada diceritakan tentang kisah seorang wanita yang hidup di zaman Saidina Ali r.a. Masyhur wanita ini adalah kerana kasihnya kepada Saidina Ali sebab beliau adalah seorang yang beriman kepada Allah swt dan tidak pernah tamakkan harta dan sebagainya. Manakala Saidina Ali telah meninggal dunia, wanita itupun dipanggil oleh Muawiyah yang telah menggantikan Saidina Ali sebagai Khalifah ketika itu. Kata Muawiyah kepada wanita itu:-

“Sekiranya aku anugerahkan kepada engkau segala apa yang engkau mahu, dapatkah engkau kasihkan aku sebagaimana engkau kasihkan Ali?

Maka wanita itupun meminta seratus ekor unta untuk dipergunakan pada jalan Allah. Kata Muawiyah:-

“ Adakah dapat engkau kasihkan aku jika aku berikan engkau seratus ekor unta tersebut. Maka jawab wanita itu, “Ali tidak dapat memberikan aku walaupun sehelai bulu untapun tetapi aku tetap kasihkan Ali.”

Ini menunjukkan bahawa kasih kerana Allah itu tidak dapat ditukarganti dengan harta kekayaan. Sesungguhnya orang yang kasih dan cinta kepada Allah, muka mereka akan bersinar dan bercahaya. Jadi sekiranya seseorang itu tidak kasih kepada Allah dan RasulNya maka walaupun kita mempunyai pertalian darah sekalipun kita tidak akan melahirkan kasih sayang terhadapnya walaupun mereka itu keluarga kita sendiri.

Rasulullah saw pernah bersabda bahawa sekiranya ada tiga sifat ini kepada seseorang barulah dia dikira sebagai seorang yang beriman:-

(1) Orang yang kasihkan Allah dan RasulNya lebih dari yang lain,
(2) Orang yang kasihkan saudaranya sepertimana dia kasihkan dirinya sendiri,
(3) Orang yang benci untuk kembali kepada kufur sepertimana bencinya dicampak ke dalam api neraka.

Rasulullah saw pernah bersabda:

“Tiadalah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terlebih dikasihi Allah dari kedua mereka ialah orang yang terlebih kasih terhadap sahabatnya.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim dari Anas).

Rasulullah saw juga pernah bersabda dalam sebuah hadis lain bahawa satu dari tujuh orang yang mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat ketika matahari berhampiran dengan kepala di mana manusia tidak tertanggung menahan kepanasan ialah manusia yang bersaudara sehingga ia tidak berkumpul kecuali kerana Allah dan tidak berpisah kecuali kerana menunaikan tugas kerana Allah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:-

“Tujuh macam orang yang bakal dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan Allah; imam (pemimpin /ketua) yang adil, pemuda yag tetap taat beribadat kepada Allah swt, seorang yang hatinya selalu bergantung kepada masjid (iaitu memerhatikan waktu solat berjemaah di masjid), dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah baik ketika bertemu atau berpisah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan yang cantik tetapi ia menolak dengan berkata, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dirahsiakan sehingga tidak diketahui oleh kiri apa yang dilakukan oleh kanannya, seseorang yang berzikir ingat kepada Allah bersendirian sehingga bercucuran airmatanya.”

(Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim).

Rasulullah saw menjelaskan maksud dua orang yang bersaudara kerana Allah itu dengan satu cerita:-
“Seorang pemuda pergi menziarahi saudaranya, lalu Allah menyuruh Malaikat menantinya di jalan.

Malaikat: Anda ke mana?
Pemuda: Aku hendak mengunjungi saudara si anu.
Malaikat: Apa hajatmu kepadanya?
Pemuda: Tak ada.
Malaikat: Apakah kerana hubungan kerabat dengan dia?
Pemuda: Juga tidak.
Malaikat: Kerana ada sesuatu pemberian kepadanya?
Pemuda: Tidak sekali-kali.
Malaikat: Mengapa engkau mengunjunginya?
Pemuda: Aku mengasihinya kerana Allah.

Kemudian Malaikat menjelaskan , sebenarnya Allah mengutusku untuk menyampaikan kepadamu bahawa Allah kasih kepadamu disebabkan anda kasih kepadanya dan kamu berhak memiliki syurga.”
(Riwayat Muslim dan Abu Hurairah).

Satu lagi contoh yang disebutkan oleh ahli sejarah ialah kisah persaudaraan tentera-tentera Islam. Setelah tamat perang Yarmuk, seorang tentera Islam berjalan di tengah-tengah mayat para syuhada’ yang bergelimpangan untuk mempastikan samada hidup atau mati. Abu Jahm bin Huzaifah r.a. meriwayatkan: “Semasa peperangan Yarmuk bermula aku telah pergi mencari suadara sepupuku yang ketika itu berada di bahagian hadapan di dalam pertempuran itu. Aku juga telah membawa sedikit air bersamaku untuknya. Aku dapati bahawa beliau luka parah di dalam pertempuran yang hebat itu. Aku cuba menghampirinya untuk memberikan pertolongan dengan sedikit air yang ada padaku itu. Dengan tiba-tiba aku mendengar rintihan seorang tentera yang luka parah di sisinya. Apabila sepupuku memandang keadaan demikian lalu ia memalingkan mukanya dan mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu dan memberikan kepada askar itu. Akupun pergilah kepada askar itu dengan membawa air tersebut bersama-samaku. Aku dapati dia ialah Hisham bin Abilah. Sebelum sempat aku sampai di sisinya , terdengar pula teriakan dari seorang yang terbaring tidak jauh dari tempat dia berada itu, Hisham juga telah mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu kepada orang yang berteriak itu. Akhir sekali sebelum sempat aku dapat menghampirinya dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kemudian aku berkejar kembali ke tempat Hisham, juga didapati beliau sudah meninggal dunia. Ketika itu juga dengan cepatnya aku pergi ke tempat saudara sepupuku berada, tetapi dia juga telah mengikuti kedua-dua mereka itu.”

Membina Persaudaraan Kerana Allah

 

 

Mampukah kita mengungkapkan kata-kata kasih dan sayang kerana Allah kepada saudara seIslam kita? Mampukah kita lahirkah sikap kasih dan sayang kerana Allah kepada saudara seagama dengan kita? Atau adakah kita hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kebajikan saudara-saudari seIslam kita yang mungkin di dalam kesusahan dan kesedihan? Ingatkah kita dengan ayat Allah…

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” – Surah Al-Hujurat, 10
Betapa perlunya kita mengikat tali persaudaraan kerana Allah pada saat bersama-sama mengharungi liku-liku perjalanan dakwah untuk memperteguhkan ikatan antara sesama kita, sebagaimana telah dilakukan Rasulullah ketika dia mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Mereka telah mengukir sejarah dengan contoh tauladan yang indah dan agung tentang cinta dan ikrar mengutamakan saudaranya daripada dirinya sendiri (ithar).

Pegang erat-erat tangan saudara kita di atas jalan dakwah dengan pegangan cinta, ikrar dan kasih sayang. Jangan lepaskan, terutama ketika terjadinya krisis dan kepayahan, atau ketika terjadinya fitnah dan ujian yang sedang bermaharajalela, atau ketika terjadinya berbagai peristiwa yang melanda umat Islam. Junjungan besar Nabi Muhammad saw telah menggalakkan dan mendorong supaya berbuat demikian sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

“Orang mukmin dengan orang mukmin lainnya laksana bangunan yang sebahagiannya mendukung sebahagian yang lain”.

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam rasa cinta, kasih-sayang dan kemesraan mereka seperti badan yang satu apabila sebahagian dari anggotanya merasa sakit, maka seluruh anggotanya turut merasa sakit, seperti terkena penyakit susah hendak tidur atau demam”. (Hadis riwayat Bukhari).

“Seorang muslim adalah bersaudara dengan muslim yang lain, dia tidak menzalimi, tidak membiarkannya (mendapat bahaya). Sesiapa yang menolong saudaranya, Allah akan menolongnya. Sesiapa yang melepaskan saudaranya dari satu kesusahan, Allah melepaskannya dari satu kesusahan, bahkan berbagai kesusahan di hari kiamat. Sesiapa yang menutup rahsia (keaiban) seorang muslim, Allah menutupi keaibannya pada hari kiamat”.

Oleh kerana itu wahai saudara-saudaraku, kenalilah akan saudara-saudaramu, bersatupadulah, bekerjasamalah menggalakkan mekanisma budaya saling nasihat-menasihati dan tegur menegur secara terbuka, wujudkan suasana saling bertanggungjawab dan berkasih sayang dan jadilah hamba Allah yang bersaudara.

Tanyalah kepada diri kita, adakah lena tidur kita sekiranya saudara kita di dalam kelaparan, kesakitan, kesusahan, kedukaan atau kepayahan dalam hidup?

Wahai saudara seperjuanganku, lihatlah saudara-saudara kita jauh dan dekat, jiran tetangga seIslam, kaum kerabat jauh dan dekat, saudara-saudara kita di Palestin, di Lubnan, di Iraq dan di mana saja di muka bumi ini dan tanyalah kepada diri sendiri adakah keadaan kehidupan yang mereka lalui sama dengan kehidupan yang kita lalui?