Sebuah cerpen…

Solat tiang agama
Solat tiang agama
Ahmad terasa ingin menangis sekuat hati bila mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Tetapi airmatanya tidak keluar. Tidak tahu apa sebabnya. Adakah hatinya telah keras. Sekeras batu. Sekeras logam. Itulah yang menjadi tanda tanya. Dulu semasa zaman muda remaja semasa masih menuntut di universiti Ahmad cukup cepat sensitif dan mengalirkan airmata bila disentuh dengan peringatan-peringatan, pesanan-pesanan tentang kematian, tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah dan tanggungjawab atau taklif dakwah kepada masyarakat. Begitu juga bila program-program yang berbentuk kerohanian seperti qiyamullail semasa di universiti, Ahmad pasti datang dan kadang-kadang menangis bila imam sujud panjang. Dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim mesti berdakwah mengajak orang terdekat terdiri dari kawan-kawan, sanak-saudara supaya mereka memahami Islam sebagaimana yang difahami olehnya.
Ilmu untuk tingkatkan jatidiri
 
Ilmu sebagai persiapan untuk berdakwah kepada masyarakat

Hatinya tenang dan tenteram bila teringatkan peristiwa bersama-sama rakan yang sentiasa memahami agama dan mengajaknya ke program-program untuk mengubat hati. Muka mereka berseri-seri, bersih dan menggambarkan keikhlasan. Muka mereka bermatlamat jelas. Begitulah bila hati sudah dididik dengan jalan yang lurus. Kehidupan di dunia hanya sementara. Hati yang sudah merasa suka dan seronok dengan kebaikan. Hati yang cinta untuk berbuat baik. Hati yang mencintai ukhuwwah semata-mata kerana Allah. Bukan kerana hendakkan kesenangan dunia seperti pangkat besar, kereta besar, rumah besar, harta yang banyak. Niat mesti ikhlas. Dakwah kerana Allah Taala sahaja. Bukan kerana yang lain yang bersifat tidak kekal. Macam perkahwinan juga. Pilih isteri yang beragama bukan hanya yang berwajah cantik kerana rupa yang cantik tidak tahan lama 50, 60 tahun akan jadi berkedut. Tak boleh hendak elak. Itu realiti. Harta juga akan habis atau hilang, tetapi kalau dapat isteri yang beragama dia akan jaga maruah dia, jaga harta dan rumahtangga suami dia dan yang penting didik dan tarbiyah anak-anak dia dengan akhlak dan agama yang elok.

Kali ini Ahmad benar-benar bertekad mahu membersihkan dosa-dosanya. Kerana dia berasa takut maut akan datang menjemputnya dalam keadaan dirinya yang penuh dengan dosa-dosa dan tidak sempat bertaubat. Dia menanam keazaman untuk kembali kepada Allah Taala dengan banyak membaca Al-Qur’an, banyak berzikir dan beristighfar memohon keampunan kepada Tuhan. Ya, dia menyesal dengan sesungguh hati kerana ilmu yang dipelajari semasa di universiti dahulu tidak dipraktikkannya di dalam kehidupan sekarang. Sepatutnya dia sudah menjadi seorang yang kuat beribadat dan kuat menyampaikan dakwah kepada masyarakat kerana dia sudah memahami taklif ini lama dahulu. Tapi dia merasakan bahawa imannya semakin lemah kerana kesibukan urusan dunia, mengaut kekayaan dunia. Namun pada hakikatnya dia tidaklah menjadi kaya juga. Sesiapa yang menolong Allah, maka Allah akan menolongnya. Dia berazam akan bergiat dengan memperbaiki dirinya dan berdakwah mengajak orang lain terutama generasi muda untuk kembali memahami agama yang sebenarnya. Dia bersyukur kepada tuhan kerana dia dapat mempelajari agama semasa usianya masih muda belia. Itulah maknannya ada orang lain yang berdakwah kepadanya. Jadi mengapa tidak dia berdakwah kepada generasi muda ini supaya selepas mereka memahami agama mereka akan berdakwah kepada orang lain pula satu hari nanti. Sudah jadi macam sistem MLM tapi yang ini ganjarannya berapa. Harta dunia akan habis. Tapi pahala memahamkan orang ke jalan Allah berapakah ganjarannya kalau hendak dihitung. Fikir Ahmad sambil bergerak ke masjid untuk solat Asar berjemaah.

Muhasabah Diri

Indahnya dunia, tapi ianya tidak kekal...Semalam penulis mendengar berita kawan kepada kawan penulis baru sahaja meninggal dunia. Umurnya belum sampai 40 tahun. Beberapa orang di pantai timur mati akibat banjir. Begitu juga kemalangan maut di lebuhraya melibatkan beberapa orang tua dan muda. Kawan penulis pernah memberitahu kepada penulis yang kita akan mati bila-bila masa. Walaupun kata-kata itu “simple” tapi maknanya cukup “power”. Setiap kita akan menghadapinya. Apa yang penting sekarang ialah tindakan kita, our action, sebelum hari yang akan tiba bila-bila masa itu. Cukupkah muhasabah yang telah kita lakukan? Atau kita rasa tak perlu lagi muhasabah kerana kita rasa masih ada banyak masa? Banyak masa dengan bila-bila masa tentulah dua makna yang berbeza. Sekiranya dirujuk kepada pakar bahasa Melayu tentulah mereka mengatakan yang banyak masa dengan bila-bila masa tidak sama.

Sujud kepada Allah Yang Maha Esa

Orang yang mengatakan dia masih ada banyak lagi masa pun tak tahu berapa banyak masa yang dia ada. Apakah muhasabah yang kita kena lakukan setiap hari? Pernahkah kita mendengar kata-kata “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab?” Walaupun umur semakin bertambah hari demi hari, manusia tetap mencintai dunia dan melupakan akhirat. Ada yang hendak membesarkan rumah, nak tambah dapur, nak tukar kereta baru, dari pakai kereta nak tukar ke MPV, ada yang nak kahwin lagi dan bermacam-macam lagi yang kebiasaan kesenangan yang ada. Tetapi manusia tidak sedar yang setiap detik masa yang diperuntukkan di dunia ini adalah supaya manusia beribadat kepada Pencipta mereka.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Al-Zariaat:56).

Keseronokan, kesenangan dunia memang sudah menjadi idaman manusia sejak dahulu lagi; zaman dulu atau zaman moden, miskin atau kaya, tua atau muda.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali ‘Imran:14).

Pertama-tama kita perlu lihat diri kita sendiri sebelum kita melihat orang lain. Adakah kita termasuk di dalam senarai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Taala di dalam ayat di atas? Cintakah kita kepada kesenangan hidup di dunia seperti yang disebut; wanita-wanita, anak-pinak, kuda pilihan, binatang ternakan, ladang, emas, perak dan banyak lagi kesenangan-kesenangan yang lain sehingga melupakan diri kita dari menyembah Allah Yang Maha Esa? Na’uzubillaahi min zaalik.

Jom Kita Berfikir Sejenak!

 

 

“Saya kurang berminat dengan subjek sains,” kata Khadijah dari aliran sastera. “Ilmu sains susahlah, kena banyak menghafal dan pandai matematik,” tambah Muaz yang mengambil jurusan perakaunan.

Pokoknya, samada kita meminati subjek sains atau tidak, sedikit sebanyak kita perlu mempelajarinya. Sekiranya kita membaca Al-Quran, banyak ayat-ayat Allah yang menyebut tentang kejadian alam semesta atau disebut “universe” dalam BI.

Alam ciptaan AllahFirman Allah swt:

“Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman? (Surah Al-Anbiyaa’: 30)

Segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah Taala menunjukkan dan membuktikan bahawa Allah Taala adalah Zat Yang Maha Esa. Di sini diketengahkan sedikit contoh-contoh dan selebihnya boleh diperkayakan dengan mengkaji apa yang telah dipaparkan oleh kitab Allah (Al-Quran) tentang kebesaran, keagungan, dan kekuasaan Allah Taala yang terdapat pada kitabNya yang terlihat; alam semesta yang luas ini.

Telah terbit beberapa buah buku yang membahas dengan terperinci tentang sebahagian rahsia alam yang telah ditemukan oleh ilmu pengetahuan moden, yang semuanya menjadi bukti yang nyata bagi wujudnya Allah, keMaha EsaanNya, dan kesempurnaanNya.

Apabila kita melihat bumi yang ada di alam yang sangat luas ini, maka kelihatannya amat besar dibanding dengan diri kita. Akan tetapi, apabila kita meninggalkannya sejenak, lalu memandang hamparan cakerawala serta galaksi-galaksi, bintang-bintang dan planet-planet yang ada padanya dan ditambah lagi dengan pengetahuan kita tentang penemuan ilmu moden tentang pelbagai maklumat berkenaan jumlah planet, bentuknya, besarnya, jauhnya, dan kecepatannya, maka akal kita tidak mampu menggambarkan hal tersebut. Matahari memiliki ukuran 1 250 000 kali ganda dari ukuran bumi, dan masih ada beberapa bintang yang besarnya berjuta kali ganda dari besarnya matahari.

Alam ciptaan AllahSemua planet beredar pada orbitnya masing-masing dengan tertib; tanpa terjadi perlanggaran atau kesalahan teknikal. Itulah ketentuan Zat Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. Unit yang digunakan untuk mengukur jarak antara bintang-bintang tersebut adalah tahun cahaya; yakni jarak yang dapat dilalui oleh cahaya dalam masa setahun. Padahal kecepatan cahaya ialah 300 000 km sesaat (jarak yang ditempuhi iaitu 300 ribu km dalam masa satu saat). Sebahagian cendikiawan dalam bidang astronomi mengatakan bahawa ada bintang yang jaraknya dengan kita adalah ratusan juta tahun cahaya malah ada yang bilion tahun cahaya. Maha Benar Allah yang telah berfirman:

“Maka Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar kalau kamu mengetahui.” (Surah Al-Waqi’ah: 75-76).

Dan sekarang setelah 14 abad dari turunnya ayat-ayat tersebut kita mulai sedikit demi sedikit mengenali tempat beredarnya berbagai-bagai bintang serta kebesarannya. Sedang Allah swt berfirman:

Alam ciptaan Allah“Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami)dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya. Dan bumi itu kami hamparkan; maka sebaik yang menghamparkan (adalah Kami).” (Surah Al-Zariyat: 47-48).

Apabila kita memperhatikan ketelitian yang tiada bandingnya dalam berbagai aturan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk matahari, bumi dan bulan; iaitu jaraknya, kecepatannya, keseimbangannya, peredarannya, dan ukurannya yang semuanya memudahkan kehidupan di muka bumi, sehingga kita dapat menghirup udara yang sesuai dan dapat mengetahui bilangan tahun. Maka Maha Suci Allah yang telah menciptakan segala sesuatu dan menentukan ukuran-ukurannya.

Cinta

 

 

Mahabbah dalam ertikata yang sebenarnya ialah kasih dan sayang di antara satu dengan lain semata-mata kerana Allah swt. Ini adalah sepertimana firman Allah swt dalam hadis Qudsi yang bermaksud:-

“Mahabbah itu wajib bagi mereka yang berkasih sayang di antara satu dengan lain keranaKu, pada jalanKu, dan orang yang menziarahi pada jalanKu dan mereka yang berkorban keranaKu, maka mereka-mereka inilah yang Aku kasih.”

Dalam satu riwayat lain pula Rasulullah saw pernah bersabda: “Ada di kalangan hamba, mereka ini bukan Nabi-Nabi, bukan pula golongan mati syahid, tetapi mereka ini disukai oleh para syuhada dan Nabi-Nabi. Mereka ini tinggi kedudukannya di sisi Allah swt.

Lantaran itu di kalangan sahabat-sahabat ada yang bertanya:
“Ya Rasulullah, siapakah mereka itu?
Maka jawab Rasulullah:-

“Mereka itu satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah swt. Mereka melaksanakan perintah Allah swt. Mereka itu tidak ada sangkutan adik-beradik atau saudara mara. Dan bukan pula kerana harta, mereka berkasih sayang.”

Jadi dari riwayat di atas, dapatlah kita fahamkan tentang betapa pentingnya kita berkasih sayang di antara satu dengan lain tidak kerana yang lain tetapi adalah kerana Allah swt semata-mata. Inilah apa yang dikatakan kasih sayang yang hakiki yang merupakan ciri yang penting bagi membentuk masyarakat Islam.

Di sini ada diceritakan tentang kisah seorang wanita yang hidup di zaman Saidina Ali r.a. Masyhur wanita ini adalah kerana kasihnya kepada Saidina Ali sebab beliau adalah seorang yang beriman kepada Allah swt dan tidak pernah tamakkan harta dan sebagainya. Manakala Saidina Ali telah meninggal dunia, wanita itupun dipanggil oleh Muawiyah yang telah menggantikan Saidina Ali sebagai Khalifah ketika itu. Kata Muawiyah kepada wanita itu:-

“Sekiranya aku anugerahkan kepada engkau segala apa yang engkau mahu, dapatkah engkau kasihkan aku sebagaimana engkau kasihkan Ali?

Maka wanita itupun meminta seratus ekor unta untuk dipergunakan pada jalan Allah. Kata Muawiyah:-

“ Adakah dapat engkau kasihkan aku jika aku berikan engkau seratus ekor unta tersebut. Maka jawab wanita itu, “Ali tidak dapat memberikan aku walaupun sehelai bulu untapun tetapi aku tetap kasihkan Ali.”

Ini menunjukkan bahawa kasih kerana Allah itu tidak dapat ditukarganti dengan harta kekayaan. Sesungguhnya orang yang kasih dan cinta kepada Allah, muka mereka akan bersinar dan bercahaya. Jadi sekiranya seseorang itu tidak kasih kepada Allah dan RasulNya maka walaupun kita mempunyai pertalian darah sekalipun kita tidak akan melahirkan kasih sayang terhadapnya walaupun mereka itu keluarga kita sendiri.

Rasulullah saw pernah bersabda bahawa sekiranya ada tiga sifat ini kepada seseorang barulah dia dikira sebagai seorang yang beriman:-

(1) Orang yang kasihkan Allah dan RasulNya lebih dari yang lain,
(2) Orang yang kasihkan saudaranya sepertimana dia kasihkan dirinya sendiri,
(3) Orang yang benci untuk kembali kepada kufur sepertimana bencinya dicampak ke dalam api neraka.

Rasulullah saw pernah bersabda:

“Tiadalah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terlebih dikasihi Allah dari kedua mereka ialah orang yang terlebih kasih terhadap sahabatnya.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim dari Anas).

Rasulullah saw juga pernah bersabda dalam sebuah hadis lain bahawa satu dari tujuh orang yang mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat ketika matahari berhampiran dengan kepala di mana manusia tidak tertanggung menahan kepanasan ialah manusia yang bersaudara sehingga ia tidak berkumpul kecuali kerana Allah dan tidak berpisah kecuali kerana menunaikan tugas kerana Allah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:-

“Tujuh macam orang yang bakal dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan Allah; imam (pemimpin /ketua) yang adil, pemuda yag tetap taat beribadat kepada Allah swt, seorang yang hatinya selalu bergantung kepada masjid (iaitu memerhatikan waktu solat berjemaah di masjid), dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah baik ketika bertemu atau berpisah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan yang cantik tetapi ia menolak dengan berkata, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dirahsiakan sehingga tidak diketahui oleh kiri apa yang dilakukan oleh kanannya, seseorang yang berzikir ingat kepada Allah bersendirian sehingga bercucuran airmatanya.”

(Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim).

Rasulullah saw menjelaskan maksud dua orang yang bersaudara kerana Allah itu dengan satu cerita:-
“Seorang pemuda pergi menziarahi saudaranya, lalu Allah menyuruh Malaikat menantinya di jalan.

Malaikat: Anda ke mana?
Pemuda: Aku hendak mengunjungi saudara si anu.
Malaikat: Apa hajatmu kepadanya?
Pemuda: Tak ada.
Malaikat: Apakah kerana hubungan kerabat dengan dia?
Pemuda: Juga tidak.
Malaikat: Kerana ada sesuatu pemberian kepadanya?
Pemuda: Tidak sekali-kali.
Malaikat: Mengapa engkau mengunjunginya?
Pemuda: Aku mengasihinya kerana Allah.

Kemudian Malaikat menjelaskan , sebenarnya Allah mengutusku untuk menyampaikan kepadamu bahawa Allah kasih kepadamu disebabkan anda kasih kepadanya dan kamu berhak memiliki syurga.”
(Riwayat Muslim dan Abu Hurairah).

Satu lagi contoh yang disebutkan oleh ahli sejarah ialah kisah persaudaraan tentera-tentera Islam. Setelah tamat perang Yarmuk, seorang tentera Islam berjalan di tengah-tengah mayat para syuhada’ yang bergelimpangan untuk mempastikan samada hidup atau mati. Abu Jahm bin Huzaifah r.a. meriwayatkan: “Semasa peperangan Yarmuk bermula aku telah pergi mencari suadara sepupuku yang ketika itu berada di bahagian hadapan di dalam pertempuran itu. Aku juga telah membawa sedikit air bersamaku untuknya. Aku dapati bahawa beliau luka parah di dalam pertempuran yang hebat itu. Aku cuba menghampirinya untuk memberikan pertolongan dengan sedikit air yang ada padaku itu. Dengan tiba-tiba aku mendengar rintihan seorang tentera yang luka parah di sisinya. Apabila sepupuku memandang keadaan demikian lalu ia memalingkan mukanya dan mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu dan memberikan kepada askar itu. Akupun pergilah kepada askar itu dengan membawa air tersebut bersama-samaku. Aku dapati dia ialah Hisham bin Abilah. Sebelum sempat aku sampai di sisinya , terdengar pula teriakan dari seorang yang terbaring tidak jauh dari tempat dia berada itu, Hisham juga telah mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu kepada orang yang berteriak itu. Akhir sekali sebelum sempat aku dapat menghampirinya dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kemudian aku berkejar kembali ke tempat Hisham, juga didapati beliau sudah meninggal dunia. Ketika itu juga dengan cepatnya aku pergi ke tempat saudara sepupuku berada, tetapi dia juga telah mengikuti kedua-dua mereka itu.”

Coretanku Buat Remaja

Aku dibesarkan di sebuah kawasan perkampungan. Suasana yang jauh dari kesibukan ibukota sungguh nyaman dan tenang. Aku bersekolah di peringkat rendah berhampiran dengan rumahku. Seronok rasanya dapat belajar dan bermain dengan rakan-rakan sebayaku. Ayahku meninggal dunia semasa aku masih bersekolah rendah. Maka hiduplah aku di bawahRemaja harapan generasi akan datangjagaan ibu yang tercinta. Aku melihat pengorbanan ibuku yang terpaksa bekerja untuk menampung kehidupanku sekeluarga sehari-hari. Penat lelah ibuku pergi kerja dan pulang dari kerja jelas terbayang di wajahnya. Itulah sebuah pengorbanan seorang ibu untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Pada masa itu aku belum memahami erti kehidupan. Hari-hari yang berlalu aku hanya tahu untuk memenuhi keperluan makan, minum dan menghabiskan masa bermain-main dengan kawan-kawan. Itulah kehidupanku di zaman peringkat kanak-kanak sehingga menempuh zaman remaja. Kini baru ku sedar bahawa titik peluh dan pahit getir untuk mencari rezeki Allah di muka bumi ini adalah tanggungjawab sebagai seorang insan kerana Allah akan memberi rezeki kepada sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh dan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.

Kekuatan fizikal tidak diabaikan

Manusia kena berusaha dan Allahlah yang mengurniakan rezeki kepada makhlukNya mengikut kadar yang telah ditetapkan. Semoga Allah membalas jasa ibu dan ayahku kerana kesusahan demi kesusahan yang telah ditempuhi mereka selama mereka mendidik dan membesarkanku. Dan semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan merahmati mereka yang telah mendidikku sejak dari kecil. Sekiranya ada kecantikan pada wajah kita ini tidak lain dan tidak bukan adalah apa yang kita warisi dari ayah dan ibu kita. Sekiranya ada kecerdikan pada akal kita ianya adalah apa yang diwarisi dari ayah dan ibu kita.

Zaman remaja semasa di peringkat sekolah menengah, aku bersekolah berhampiran dengan rumahku. Seperti remaja-remaja lain aku menghabiskan masa lapangku bermain bolasepak dan turun ke padang untuk mengail ikan. Masa remaja memang begitu suka bermain dan tidak tahu sangat dunia luar. Alhamdulillah aku tamat mengaji Al-Quran semasa di sekolah menengah yang menjadi bekalanku untuk hidup di kemudian hari. Dengan izin Allah aku menjadi minat terhadap ilmu-ilmu Islam semasa di sekolah menengah. Aku sentiasa menghadiri kuliah-kuliah di surau berdekatan dengan rumah boleh dikatakan saban hari. Suasana beginiku rasakan sungguh seronok dan ketenangan jiwa yang aku nikmati setiap kali aku melangkah kakiku ke surau untuk solat berjemaah dan mendengar pengajian di waktu maghrib. Walaupun pada masa itu ramai yang hadir di surau terdiri dari orang-orang yang telah tua dan pencen tetapi aku tidak berasa malu atau segan untuk duduk bersama-sama dengan mereka. Apa yang aku pelajari adalah perkara-perkara asas mengenai Islam seperti aqidah ahli-sunnah wal jamaah, bab toharah, solat, dan sebagainya. Itulah Islam yang aku fahami pada masa itu ditambah dengan pelajaran agama Islam di sekolah. Satu perasaan yang dirasai iaitu kawanku yang bersekolah di sekolah agama lebih beruntung kerana dapat mendalami ajaran Islam dengan lebih luas dan mempelajari bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran. Mengapakah pada masa itu aku berfikir demikian? Ilmu Allah sangat luas di mana-mana kita boleh mencarinya. Asalkan ada kemahuan yang tulen. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dan yang terpenting adalah dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah Taala semata-mata.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat menengah, aku berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Saat ini adalah sangat-sangat diimpikan oleh setiap remaja sebayaku. Inilah peluang untuk menjelajah, mengenal dan melihat negara orang. Aku tidak menyangka yang perjalanan hidupku begitu seronok sekali semasa zaman remaja. Taqdir telah menentukan yang aku akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Di sana aku mengenal adat, budaya dan agama bangsa-bangsa lain. Kehidupan mereka sangat jauh berbeza dengan kita. Segala puji-pujian kepada Allah kerana memberi petunjuk dan hidayah ke jalan yang benar. Jalan yang diredhaiNya. Jalan para anbiya’. Jalan orang-orang yang soleh. Alhamdulillah. Di sana ku melihat kehidupan mereka tidak mempunyai matlamat yang jauh. Mereka hanya tahu memuaskan hawa nafsu. Makan. Minum. Berpesta. Pendek kata hanya mahu berseronok dengan hidup di dunia ini. Tidak mahu memikirkan akan nasib di kemudian hari. Sungguh jauh kesesatan yang telah mereka lalui. Bersyukur kita kerana dikurniakan Allah dengan nikmat iman dan Islam. Nikmat hidup di bawah petunjuk dan pedoman Allah. Nikmat memahami Al-Quran. Nikmat mendapat panduan dan tunjukajar dari RasulNya bagi mengharungi liku-liku hidup di dunia yang fana ini. Kehidupan di dunia hanya sekejap jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat. Satu hari di akhirat adalah sama dengan seribu tahun di dunia. Akhirat adalah tempat yang kekal abadi. Dunia hanya sementara. Dunia tempat beramal mencari keredhaan Allah. Akhirat ialah tempat pembalasan di atas apa yang dilakukan di dunia ini. Dunia tempat berusaha. Akhirat tempat menuai hasil. Dunia ini fana. Akhirat kekal selama-lamanya. Syukur di atas jalan Islam yang mana akan selamat sesiapa yang mengimani dan melaluinya.

Diizinkan Allah aku menghadapi ujian yang amat berat setelah beberapa bulan aku berada di rantau orang. Ibuku telah pergi buat selama-lamanya. Saat kegembiraanku menjejaki kaki di luar negara menjadi murang kerana aku hanya mempunyai seorang saja ibu di dunia ini. Tidak ada penggantinya. Insan yang telah melahirkanku ke dunia ini. Aku menitiskan air mata di tengah malam mengenangkan peristiwa-peristiwa silam bersamanya. Masih lagiku ingat wajahnya yang sedih bercampur gembira semasa dia menghantarku ke lapangan terbang. Sekarang peristiwa itu hanya kenangan yang tersemat di hatiku. Dalam umur remaKekuatan mindajaku aku telah kehilangan ibu yang tercinta, orang yang selama ini telah menyara hidupku semasa kecil sehinggalah remaja. Aku berserah kepada Allah dengan banyak bersabar di atas dugaan yang hebat ini yang aku tempuhi keseorangan di rantau orang.

Rakan-rakan seangkatanku telah menjadi penawar luka di hati. Sesungguhnya jasa mereka semasa aku kesusahan sangatlah besar. Mereka yang telah menenangkan kembali kedukaanku. Merekalah yang mengajakku solat bersama-sama, bermain bola bersama-sama sehingga aku merasakan bahawa dunia ini masih cerah buatku. Mereka jugalah yang menunjuk ajar kepadaku erti kehidupan sebenar. Matlamat hidup sebenar di muka bumi ini. Dari mana kita datang? Kenapa kita dijadikan? Ke manakah kita akan dikembalikan? Merekalah yang mengajarku mengenal Islam dalam bentuk yang lebih luas, bukannya seperti yang ku fahami selama ini. Mereka jugalah yang menunjukkan cara berukhuwwah sesama rakan-rakan yang mana belum pernahku alami selama ini. Mereka juga yang menunjukkan contoh teladan bukan sahaja ucapan manis di bibir. Ini kurasakan satu anugerah yang besar iaitu dapat mengenali Islam secara menyeluruh dan dapat mengenali rakan-rakan yang mahu mengajakku ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup.

Akhir kata kehidupan di zaman remaja adalah sesuatu yang mencabar sekiranya kita tidak mendapat bimbingan dan petunjuk ke jalan yang benar sebagaimana yang ditunjuk ajar oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu laluilah zaman remajamu dengan mendapat bimbingan dan petunjuk dari orang-orang yang soleh yang ikhlas menyayangimu semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah Taala.

1 Ramadhan 1428H = 13 Oktober 2007