Hikmah Berpoligami

Setelah dikaji secara mendalam, Islam telah mengharuskan berpoligami ialah kerana beberapa faktor dan dengan tujuan untuk memelihara kesucian dan kebaikan umat manusia. Di antara hikmah berpoligami ialah seperti berikut:

  1. Bagi menjamin kemuliaan agama Islam dan memelihara kehormatan umatnya dari pelbagai godaan dan pujuk rayu.
  2. Bagi menghindarkan atau mengurangkan pezinaan dan pelacuran.
  3. Bagi mengembangkan keturunan dengan cara yang dihalalkan oleh Islam.
  4. Bagi mengurangkan anak-anak yang lahir di luar nikah atau untuk mencegah pengguguran anak.
  5. Bagi mengelakkan daripada si suami berbuat maksiat sebab si isteri tidak akan menyempurnakan kehendak nafsu suaminya pada setiap masa kerana beberapa halangan seperti ketika haid yang panjang, ketika melahirkan anak dan seumpamanya sedangkan si suami mempunyai dorongan nafsu yang kadangkala tidak dapat ditentukan atau nafsu yang tidak terbatas.
  6. Oleh kerana bilangan kaum perempuan biasanya lebih ramai daripada kaum lelaki terutama pada masa peperangan dan kadangkala akibat dari peperangan di mana kaum perempuan ramai yang menjadi janda.
  7. Hampir semua perempuan menghendaki pimpinan dan sokongan daripada kaum lelaki kerana telah merupakan fitrahnya yang semulajadi (fitrah yang dijadikan oleh Allah).
  8. Biasanya setiap pasangan suami dan isteri menginginkan keturunan tetapi kadang-kadang ada isteri yang mandul (tidak dapat melahirkan anak) maka dalam hal ini kalau tidak diizinkan berpoligami maka hilanglah tujuan asal dari perkahwinan itu.
  9. Nafsu berahi kaum lelaki untuk melakukan hubungan seks biasanya tidak terbatas menurut batasan umur, walaupun umurnya sudah sampai 70 atau 80 tahun sedangkan perempuan biasanya nafsu seksnya sudah tidak begitu berghairah lagi apabila darah haidnya sudah berhenti (menopause) dalam umur kira-kira 50 tahun ke atas. Sekiranya si isteri tidak merelakan suaminya untuk berkahwin lagi besar kemungkinan si suami akan terjerumus ke lembah maksiat dan dosa. Oleh sebab itu bagi perempuan yang sudah tidak mampu lagi untuk melayani nafsu suaminya maka pengertiannya sangat diharapkan dalam hal ini.