Muhasabah Diri – 2

Golongan yang beriman dan mendapat petunjuk mengetahui bahawa kematian bukanlah pengkalan terakhir tetapi ia merupakan permulaan. Ia bukanlah tidur, tetapi merupakan bangun daripada tidur, sebagaimana dikata orang: “Manusia semuanya tidur. Apabila mati barulah mereka sedar. “Mereka mengetahui bahawa di sebalik kematian ada kehidupan yang lebih panjang; kehidupan yang tidak akan berakhir. Di dalam kehidupan tersebut, yang ada hanyalah nikmat yang berkekalan atau azab yang pedih.

 Sifat panjang angan-angan sememangnya tertanam di dalam diri manusia. Oleh itu, walaupun kematian adalah perkara yang paling hampir kepada pancaindera kita, tetapi ia merupakan perkara yang paling jauh daripada pemikiran kita. Setiap hari kita melihat gerombolan yang membawa keranda melalui rumah kita, tetapi kita tetap merasa bahawa kita kekal. Setiap hari kita mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, tetapi kita masih berbicara tentang dunia. Kita sentiasa melihat tanah-tanah perkuburan memenuhi pelusuk dunia, tetapi kita tidak pernah berfikir bahawa suatu hari kita akan menjadi salah seorang penghuninya. AstaghfirulLah. Tanah-tanah perkuburan itu akan menjadi kediaman tubuh badan kita. Adakah kita mengetahui apakah sebenarnya tubuh badan kita? Kita melihat seseorang memakai pakaian dan akan menanggalkannya jika kotor. Kita juga melihat apabila seseorang kanak-kanak dilahirkan, maka dia akan meninggalkan dan keluar daripada urinya. Kita juga melihat seseorang meninggal dunia lalu rohnya berpisah daripada jasadnya. Jasad hanyalah pakaian yang boleh dipakai dan ditanggalkan. Dan jasad itulah juga yang diletakkan di dalam tanah.

Manusia sentiasa melupakan kematian. Tetapi orang mukmin sentiasa mengingatinya dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapinya. Dia bersiap sedia dengan melakukan taubat, istighfar dan mengembalikan semua hak orang lain yang ada padanya. Setiap pagi dan petang dia sentiasa memuhasabah diri. Dia bersyukur kepada Allah jika diberikan taufiq untuk melakukan kebaikan. Dia beristighfar meminta ampun jika melakukan kejahatan. Dia mengingati akhirat. Dia takut untuk menghadapi hari yang akan membalik-balikkan muka dan membeliakkan pandangan manusia. Dia bimbangkan azab yang akan berlaku selepas kematian. Dia mengharapkan pahala dan balasan baik selepas kematian. Dia menjadikan sifat sabar dan solat sebagai penolong. Dia melakukan kebaikan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan apa yang ada di sisi-Nya.

  

Advertisements

Muhasabah Diri

Indahnya dunia, tapi ianya tidak kekal...Semalam penulis mendengar berita kawan kepada kawan penulis baru sahaja meninggal dunia. Umurnya belum sampai 40 tahun. Beberapa orang di pantai timur mati akibat banjir. Begitu juga kemalangan maut di lebuhraya melibatkan beberapa orang tua dan muda. Kawan penulis pernah memberitahu kepada penulis yang kita akan mati bila-bila masa. Walaupun kata-kata itu “simple” tapi maknanya cukup “power”. Setiap kita akan menghadapinya. Apa yang penting sekarang ialah tindakan kita, our action, sebelum hari yang akan tiba bila-bila masa itu. Cukupkah muhasabah yang telah kita lakukan? Atau kita rasa tak perlu lagi muhasabah kerana kita rasa masih ada banyak masa? Banyak masa dengan bila-bila masa tentulah dua makna yang berbeza. Sekiranya dirujuk kepada pakar bahasa Melayu tentulah mereka mengatakan yang banyak masa dengan bila-bila masa tidak sama.

Sujud kepada Allah Yang Maha Esa

Orang yang mengatakan dia masih ada banyak lagi masa pun tak tahu berapa banyak masa yang dia ada. Apakah muhasabah yang kita kena lakukan setiap hari? Pernahkah kita mendengar kata-kata “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab?” Walaupun umur semakin bertambah hari demi hari, manusia tetap mencintai dunia dan melupakan akhirat. Ada yang hendak membesarkan rumah, nak tambah dapur, nak tukar kereta baru, dari pakai kereta nak tukar ke MPV, ada yang nak kahwin lagi dan bermacam-macam lagi yang kebiasaan kesenangan yang ada. Tetapi manusia tidak sedar yang setiap detik masa yang diperuntukkan di dunia ini adalah supaya manusia beribadat kepada Pencipta mereka.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Al-Zariaat:56).

Keseronokan, kesenangan dunia memang sudah menjadi idaman manusia sejak dahulu lagi; zaman dulu atau zaman moden, miskin atau kaya, tua atau muda.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali ‘Imran:14).

Pertama-tama kita perlu lihat diri kita sendiri sebelum kita melihat orang lain. Adakah kita termasuk di dalam senarai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Taala di dalam ayat di atas? Cintakah kita kepada kesenangan hidup di dunia seperti yang disebut; wanita-wanita, anak-pinak, kuda pilihan, binatang ternakan, ladang, emas, perak dan banyak lagi kesenangan-kesenangan yang lain sehingga melupakan diri kita dari menyembah Allah Yang Maha Esa? Na’uzubillaahi min zaalik.

Drama Lakonan Aziz Singah

Tanah GersangAda satu drama di TV dalam tahun 1980an lakonan Aziz Singah yang masih dalam ingatan. Ceritanya tentang kematian. Dalam drama itu digambarkan yang si mati melihat suasana pada masa mayatnya masih berada di dalam rumah ketika menunggu masa untuk dikebumikan di tanah perkuburan. Maka ada suara (si mati) yang bercakap pada masa itu, Aziz Singah, mengatakan rakan-rakan yang menziarahi jenazahnya pada masa itu ada yang berbual-bual, bergelak ketawa seolah-olah tidak mengendahkan mayat di sisi mereka. Seperti perkara lazim yang berlaku pada hari itu. Padahal hari itu adalah hari kematian rakan mereka. Selepas itu jenazah di bawa ke tanah perkuburan dan kubur ditimbus sedikit demi sedikit sehingga menjadi gelap. Apa yang menarik ketika itu suara si mati mengatakan yang dirinya sudah tinggal berseorangan dan suasana kegelapan yang dialaminya di dalam kubur. Cerita itu habis di situ.

Bagi penulis cerita ini sangat bagus dan berkesan kerana sehingga kini, sudah lebih 20 tahun, penulis masih mengingatinya. Setiap orang akan merasai satu saat yang dinamakan mati. Itu adalah satu hakikat. Setiap hari kita mendengar dari radio & televisyen berkenaan dengan orang yang mati kemalangan, puting beliung, lemas dan lain-lain lagi. Orang yang mati itu orang lain bukan kita. Satu hari nanti, kita tidak tahu bila, di mana dan bagaimana, lambat-laun kita akan menghadapinya juga.

Persoalannya adakah kita sudah membawa bekalan yang cukup untuk menghadapi situasi itu? Bagaimana nasib kita nanti ketika berada di alam barzakh? Adakah kita sudah bersedia dengan soalan-soalan yang akan ditanya oleh Munkar & Nakir? Walaupun kita sudah mengetahui apakah soalannya tapi mampukah kita menjawabnya di situasi yang dahsyat itu? Apakah yang akan kita tempuhi di padang Mahsyar nanti, bahagiakah atau sebaliknya? Di padang Mahsyar, kita sudah tidak boleh kembali ke dunia lagi untuk melakukan amal soleh? Berbeza dengan peperiksaan yang kita lalui di universiti. Sekiranya gagal dalam sesuatu subjek, kita masih dibenarkan mengulang dan diberi peluang untuk mencuba bagi kali kedua, ketiga dan seterusnya. Tetapi di sana, di padang Mahsyar, tidak ada lagi peluang untuk memperbaiki amalan kita di dunia ini. Hidup ini hanya sekali, peluang beramal soleh hanya sekali di dunia ini. Tidakkah kita mahu merebutnya? Ingat kita hanya ada satu nyawa di dunia ini.

Sudah pasti sekiranya kita memahami dan menyedari dengan bersungguh-sungguh akan dahsyatnya keadaan di akhirat kelak, maka kita akan melakukan segala amal-amal soleh di dunia ini mengikut sedaya upaya yang kita ada. Kata orang full swing. Kita tidak mahu berhasad dengki dengan rakan-rakan sekerja kita dengan melakukan fitnah, memburuk-burukkan orang lain untuk kepentingan peribadi kita, tidak mahu bercakap perkara-perkara yang tidak memberi menafaat kepada kita, tidak mahu merebut pangkat dan harta dengan cara yang tidak halal kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh anggota badan, kaki & tangan, akan menjadi saksi di akhirat. Kita tidak mahu untuk tidak menghormati orang-orang tua, tidak mengasihi orang-orang muda dan kanak-kanak. Kita tidak mahu untuk tidak menghormati guru-guru yang telah mendidik dan membimbing kita. Juga kita tidak mahu merebut jawatan dalam organisasi atau di tempat kerja dengan menindas orang lain atau menjatuhkan maruah orang lain atau dengan apa cara sekalipun yang tidak betul.

Jadi natijah dari kesedaran inilah yang akan mengubah perlakuan, pemikiran dan syakhsiyah diri kita. Kita akan menjadi seorang yang baik. Ya, tepat sekali kita akan menjadi orang baik. Malukah kita dipanggil orang baik? Tidak. Kita tidak malu dicop sebagai orang baik kerana itu adalah kehendak yang lahir dari dalam diri kita sendiri. Kerana menjadi orang baik adalah pilihan hati kita, our own choice. Kerana itu juga bertepatan dengan kehendak agama Islam yang suci. Tidak rugi kita menjadi orang baik. Mungkin setengah-setengah pendapat orang ramai jadi orang baik tidak standard, tidak mengikut peredaran zaman, kolot, atau apa-apa sahaja gelaran yang diberi kita tetap dengan pendirian kita. Itu pandangan orang ramai, apa yang kita hendak ialah pandangan agama Islam. Pandangan orang ramai tidak ke mana. Kalau ada kebaikan bolehlah ikut tapi kalau tidak sehaluan dengan ajaran Islam maka yang Islam itu yang kita ikut. Acuan yang disukai oleh Islam itulah yang terbaik sebab yang akan menghadapi mati dan seterusnya yang akan melalui pengembaraan ke alam akhirat ialah diri kita sendiri, we are alone, nobody is going to help us at that time, yeah we are going to face it alone. So, let’s think about it.