Bicara poligami…(15)

Ada seorang ustaz, da’ie, harakiyy, pernah berkata utk memahami syariat poligami di dalam Islam biasanya orang yg berumur 40 tahun ke atas. Saya menambah… umur 37 thn, 38 thn pun boleh memahaminya juga.

Saya bimbang sebenarnya bila mendengar perkataan tidak rela, tidak suka, benci, menyampah, meluat, ttg syariat poligami ini.

Misalan yg ingin saya utarakan di sini spt berikut:

Saya tidak rela ayah saya mengamalkan poligami, sebab saya tidak suka syariat poligami. Kenapa tidak suka syariat poligami sebab ayah saya tidak layak utk berpoligami. Sebab apa ayah saya tidak layak berpoligami sebab dia masih kurang penglibatannya dalam dakwah. Jadi dia masih tidak layak utk berpoligami sehinggalah ayah saya menjadi seorang da’ie yang komited, yang taat beribadah macam ‘alim ulama’. Apa syarat poligami sebagaimana yang Allah Taala nyatakan di dalam Al-Quran? Allah Taala berfirman sekiranya kamu boleh berlaku adil kamu boleh mengahwini wanita-wanita dua, tiga, atau empat. Sekiranya kamu takut tidak boleh berlaku adil kahwini seorang sahaja.

Kenapa kamu tidak rela? Sebab kamu benci kepada syariat poligami. Sebab kamu selalu tonton di dalam TV, filem banyak keburukan ttg poligami. Sebab apa kamu kata syariat poligami buruk sebab kamu tak jumpa contoh yang baik. Mungkin sebab kamu tak baca sirah Islam, bagaimana terdapat banyak contoh2 para sahabat Baginda, tabi’in dan banyak lagi yang menunjukkan contoh yg baik. Kamu tak yakin apa yg Allah Taala turunkan iaitu syariat poligami? Kamu tak baca Al-Quran surah Al-Nisaa’ ayat 3? Atau kamu skip (langkah) saja ayat itu dan baca ayat2 yg lain saja? Bolehkah kamu tinggalkan satu ayat di dalam Al-Quran sebab kamu tidak suka syariat itu? Jawapannya sudah tentu tak boleh sebab kita WAJIB beriman kepada Al-Quran keseluruhannya.

Nasihat saya: Belajarlah daripada guru/ustaz yg ikhlas dan berpengalaman…ilmu bukan semata-mata melalui buku tetapi banyaknya datang dari pengalaman hidup.

Marilah kita sama-sama bertaubat sebelum kita dipanggil pulang oleh Allah Taala dalam keadaan kita membenci syariatnya. Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah…

Advertisements

Dosa pahala suami, isteri dan madu

SOALAN:Suami saya berkahwin lagi satu tanpa pengetahuan saya. Hanya selepas dua tahun, saya dapat tahu. Saya sama sekali tidak rela. Selama ini saya menumpahkan kasih sayang, berkorban untuknya dan keluarga tetapi dia mengkhianatinya. Saya sentiasa mengawasinya dan tidak membenarkannya ke rumah isteri muda dan dia tidak pernah tidur di rumah isteri muda.

Saya pernah menemui bomoh untuk mengatasi masalah ini dan saya dapati suami saya takut dengan saya. Adakah suami saya berdosa kerana tidak tidur di rumah isteri mudanya? Untuk pengetahuan ustaz, saya baru balik daripada menunaikan umrah.

– AZURA, Batang Berjuntai.

JAWAPAN:

Allah s.w.t menyuruh agar seorang lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang baik-baik, dua, tiga atau empat orang isteri. Sekiranya seorang lelaki itu takut atau bimbang tidak berupaya bersikap adil, Allah menyuruh agar mengahwini seorang perempuan sahaja.

Maksud adil di sini iaitu kepada lelaki yang diharuskan berkahwin itu adalah adil menyediakan nafkah, penyediaan makan minum isteri atau isteri-isteri yang dikahwini, anak-anak yang bakal dilahirkan, menyediakan pakaian, tempat tinggal, termasuk giliran bertemu, pergi ke rumah isteri-isteri yang dikahwini.

Disyaratkan sedemikian rupa kerana keadilan zahiriah itu adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh manusia biasa. Namun keadilan yang berkaitan dengan kasih sayang, cinta dan seumpamanya adalah di luar keupayaan manusia untuk berlaku adil ataupun saksama.

Jelasnya Islam mengharuskan seorang lelaki itu berkahwin lebih daripada seorang perempuan yang diistilahkan sebagai poligami. Keharusan yang diberi oleh syariat adalah keharusan bersyarat, iaitu adil seperti yang dijelaskan.

Biarpun kebanyakan orang, iaitu orang Islam memahami juga menyedari keharusan tersebut, tetapi kebanyakan isteri tidak rela dimadu atau lebih jelas tidak rela suaminya berkahwin lagi kerana:

1) Ia adalah tabiat semula jadi manusia.

2) Sebahagian daripadanya tidak faham atau tidak menghayati bahawa keharusan bagi lelaki berkahwin lebih daripada satu itu adalah ketentuan Allah.

3) Kebanyakan lelaki atau suami tidak berupaya menunaikan tanggungjawab terhadap isteri-isteri yang telah dinikahi, terutamanya yang berkaitan dengan giliran, pemberian nafkah, tempat kediaman, persekolahan anak-anak dan sebagainya. Hal demikian terlalu membimbangkan para isteri yang dimadukan atau bakal dimadukan.

Keadaan atau latar belakang seperti ini menjadi seumpama gawat apabila jabatan-jabatan agama yang diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan, gagal untuk bertindak, mengatasi masalah yang timbul akibat ketidakadilan suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu tadi, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan nafkah.

Fenomena ini berlaku akibat daripada sebab-sebab yang saling berkait, kekurangan kakitangan, kekurangan pengalaman atau latihan, tidak mempunyai visi yang jelas dan sebagainya. Fenomena seumpama ini secara tidak langsung menggalakkan lelaki seumpama ini bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada hukuman yang jelas, lepas daripada tanggungjawab dan sebagainya menyebabkan pelbagai masalah dihadapi oleh isteri-isteri yang teraniaya.

Mereka tidak takutkan balasan Allah. Mereka telah melakukan sesuatu yang diharuskan, tetapi melanggar syarat-syarat yang ditetapkan terhadap keharusan tersebut.

Keharusan ini adalah keharusan bersyarat. Kerana itu apabila syarat tersebut tidak dipenuhi, maka keharusan tersebut tidak ada padanya. Kerana itu, lelaki atau suami yang bertindak sedemikian, telah melakukan dosa. Atas pengalaman yang banyak berlaku dalam masyarakat seperti inilah maka kaum wanita terlalu takut untuk dimadukan.

Poligami adalah keharusan yang ditetapkan oleh Allah kerana tidak adanya jalan keluar, selain daripada berpoligami atau berkahwin lagi. Seorang isteri contohnya, yang tua, uzur atau sakit yang tidak berupaya melayani kehendak batin suaminya, adalah wajar baginya merelakan suaminya yang masih mempunyai nafsu dan mempunyai sifat adil untuk berkahwin lagi.

Dalam keadaan tertentu, contohnya selepas berlaku peperangan, bencana alam menyebabkan bilangan perempuan banyak, tidak mendapat pembelaan atau perlindungan, adalah wajar bagi kaum lelaki melindungi mereka, termasuk anak-anak yang terbiar. Caranya ialah dengan mengahwininya.

Sesetengah lelaki mempunyai nafsu yang kuat berbanding dengan lelaki biasa, menyebabkan isteri yang sedia ada tidak berupaya melayani nafsu suaminya. Dalam keadaan seperti ini lelaki berkenaan layak untuk berkahwin lagi dengan syarat sifat adil itu ada pada dirinya.

Sekiranya lelaki berkenaan tidak dibenarkan berkahwin lagi, padahal nafsunya selalu membara, berkemungkinan dia akan melakukan perzinaan dengan perempuan simpanan, dengan teman-teman atau melanggani pelacur-pelacur. Kerana itu adalah wajar dan dapat diterima akal sekiranya lelaki atau suami seperti ini dibenarkan berkahwin lagi dengan syarat yang jelas.

Contoh-contoh di atas hanya merupakan sebahagian daripada fenomena yang mengharuskan seorang suami itu berkahwin lagi. Bagi orang yang seumpama ini jalan keluar tidak ada kecuali dengan berkahwin lagi satu.

Seorang lelaki yang terdorong untuk berkahwin lagi, tetapi disekat atau ditahan, dia akan terus bertindak untuk melaksanakan hasrat yang sentiasa membara, kalau keizinan isteri itu diwajibkan, berkemungkinan dia akan mencuri cap jari isteri ketika tidur, memujuk, menguliti lalu si isteri menurunkan tandatangan tanpa menyedari borang yang ditandatangani ialah tanda keizinan berkahwin lagi.

Jelasnya mewajibkan seorang isteri bagi seorang suami melalui pernikahan itu adalah tidak praktikal, biarpun berpoligami itu bukan merupakan satu idaman kebanyakan lelaki. Biar dalam keadaan apa sekalipun, sekiranya seorang suami itu dihalang berpoligami, si suami akan menganggap bahawa isterinya merupakan penghalang untuk berkahwin lagi. Dengan demikian kasih sayang itu akan terhakis daripada pasangan ini dan dia berkemungkinan akan mencari jalan keluar yang menyalahi undang-undang.

Di Malaysia perkara ini berlaku hingga sekarang. Amalan nikah lari di sempadan yang jelasnya menimbulkan pelbagai masalah, terutamanya kepada pasangan perempuan terus-menerus berlaku. Ada pula yang berkahwin menggunakan wali bapa, abang kandung dan sebagainya tanpa merujuk ke pejabat agama atau didaftarkan menurut lazimnya. Kahwin di sempadan menjadi seumpama satu kemelut yang tidak berpenghujung yang dibiarkan sehingga sekarang ini, kerana perkahwinan di sempadan itu menjadi seumpama satu eskapisme.

Tidak kira di mana perkahwinan itu dilakukan, dengan izin isteri atau tidak, atau hanya diizinkan oleh Mahkamah Syariah, apabila dia cukup syarat-syaratnya maka sahlah pernikahan tersebut. Dengan demikian, isteri yang baru dinikahi itu adalah menjadi isteri kepada lelaki yang telah sedia mempunyai isteri, seorang, dua orang atau tiga orang.

Dalam keadaan seperti ini, perempuan yang baru dinikahi itu adalah isteri yang sah. Sebagai isteri, dia mempunyai hak di sisi undang-undang, hak nafkah, perlindungan kediaman, pakaian dan sebagainya termasuk gilirannya.

Dalam situasi seperti ini, kedudukan isteri-isteri adalah sama, tidak kira sama ada dia isteri tua atau muda, isteri ketiga atau keempat. Dan apabila hak tersebut tidak dapat dinikmati oleh mana-mana pihak akibat daripada pihak yang satu lagi atau lebih jelas diperkatakan bahawa isteri muda itu tidak mendapat gilirannya kerana puan sentiasa mengawasi pergerakan si suami puan, hakikatnya telah melakukan kezaliman, menyekat hak yang sewajarnya dimiliki oleh madu puan.

Rasulullah pernah bertanya kepada sahabat-sahabat tentang orang yang dianggap bankrap. Di antara sahabat menjawab menyatakan orang yang bankrap itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.

Baginda menjelaskan pendapat itu tidak tepat. Orang yang bankrap itu ialah mereka yang pada hari kiamat kelak dibangkitkan oleh Allah berhimpun di padang mahsyar.

Bersama mereka ialah pahala hasil daripada ibadah sembahyang, pahala zakat, pahala puasa dan sebagainya. Ketika diadakan timbang tara atau hisab akan datang mereka yang menuntut, iaitu mereka yang dizalimi ketika hidup di dunia.

Akan datang menuntut di hadapan Allah mereka yang kena maki cela, yang kena bunuh, kena umpat dan sebagainya. Allah akan menyempurnakan segala tuntutan mereka dengan mengambil pahala kebajikan yang dilakukan di dunia kepada mereka yang menuntut. Tuntutan ini adalah umum. Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui.

Mengenai kes puan, sekiranya madu puan tidak puas hati atau tidak reda terhadap tindak- tanduk puan di dunia, dia akan menuntut haknya, iaitu hak giliran suami yang puan tahan dan sentiasa intai-intai. Lalu sebahagian daripada pahala puan itu diberikan kepada madu puan yang puan zalimi tadi.

Sekiranya kezaliman yang dilakukan oleh seseorang itu banyak, maka banyaklah mereka yang menuntut. Apabila pahala milik orang yang kena tuntut itu habis, padahal tuntutan masih berlaku akibat kezaliman yang dilakukan banyak, maka Allah akan mengambil dosa orang yang menuntut tadi dan dipertanggungjawabkan ke atas orang yang kena tuntut lalu akhirnya orang ini dimasukkan ke dalam neraka jahanam.

Inilah sebenar-benar orang yang bankrap, padahal ketika mula berada di padang mahsyar, dia mempunyai pahala, lalu akhirnya dia dicampakkan ke dalam neraka.

Orang yang banyak melakukan dosa ketika hidup, tidak ubah seperti orang yang banyak hutang. Untuk melangsaikan hutang, sesetengah orang terpaksa bekerja keras, apabila dapat wang, wang itu digunakan untuk membayar hutang yang ditanggung, tidak kira hutang yang baru atau hutang lapuk.

Semakin banyak seseorang itu melakukan dosa, maka semakin banyaklah dia perlu menghapuskan dosanya, iaitu dengan memperbanyakkan kebajikan. Untuk menjadi penghuni syurga, pahala yang dimiliki oleh seseorang itu perlu mengatasi dosa atau kejahatan yang dilakukan. Tidak ada gunanya seseorang itu memperbanyakkan amal ibadah atau kebajikan, tetapi dalam masa yang sama dia melakukan dosa yang lebih banyak daripada pahala yang dicari melalui ibadah tadi.

Orang yang bijak ialah mereka yang melakukan ibadah sederhana dan dalam masa yang sama mengurangkan dosa, namun mereka yang pintar ialah orang yang berupaya memperbanyakkan ibadah dan dalam masa yang sama mengurangkan kegiatan yang menyebabkan tanggungan dosa.

Menemui bomoh atau melibatkan ilmu penunduk seperti puan lakukan, menjadikan suami takut atau tunduk kepada isterinya ini menyebabkan rumah tangga akan menjadi kelam-kabut seumpama tidak terkawal.

Suami puan berdosa kerana zalim kepada isteri mudanya. Puan berdosa kerana menjadi punca utama suami melakukan dosa. Perbuatan puan menundukkan suami, menyebabkan suami takut itu diistilahkan sebagai “tiwalah”.

Amalan tiwalah menyebabkan syirik. Demikian keterangan hadis yang perlu difahami untuk dijadikan pedoman mereka yang terlibat dengan amalan seperti ini.

Sumber:   utusan online

Poligami dan zina

SOALAN: Kaki kanan saya seumpama terpelesuk dalam lubang, yang sukar hendak ditarik keluar, biarpun kaki kiri masih di permukaan bumi, tetapi semakin tidak bermaya longlai.

Saya mempunyai isteri yang terpelajar dan berpendidikan agama. Rumah tangga kami asalnya begitu bahagia, tetapi setelah hampir 11 tahun, saya seumpama tidak sedar, macam mana saya boleh jatuh cinta dengan seorang gadis.

Secara berterangan saya memberitahu isteri yang saya ingin mengahwininya. Isteri saya tidak membantah atau setuju, tetapi menyuruh saya menceraikannya.

Masalah besar ialah apabila ibu saya tidak mengaku saya anaknya, kalau saya meneruskan hasrat untuk mengahwini gadis ini. Ibu bersikap demikian mungkin kerana ia merasa betapa akrabnya hubungan kami dua keluarga.

Saya mencari jalan keluar, memutuskan hubungan dengan gadis ini dan rasa amat kesal serta kecewa. Saya mula berjinak-jinak dengan dunia hiburan, tetapi berakhir dengan kehidupan yang langsung tidak saya duga sama sekali selama ini, iaitu melanggani pelacur kelas atasan.

Saya tahu dosa-dosa besar melakukan zina, tetapi saya benar-benar kecewa, kerana masyarakat memandang serong dan ganjil sesuatu yang halal, iaitu poligami. Tetapi menganggap sebagai “perkara biasa” terhadap dunia pelacuran atau persundalan. Masyarakat Islam perlu memahami hukum Islam yang berkaitan dengan poligami, sebagai satu jalan keluar mengatasi masalah zina. Pendapatan saya lebih daripada sembilan ribu ringgit setiap bulan.

– Lazim, KL

Jawapan: Islam mengharuskan poligami dengan syarat si suami berlaku adil terhadap isteri-isteri yang dikahwini. Adil yang berkaitan dengan harta seperti nafkah, urusan tempat tinggal, makanan, pakaian, giliran bermalam dan sebagainya termasuk yang berkaitan dengan anak. Lumrahnya, tanggungjawab ini di dalam keupayaan manusia.

Masalah utama yang saudara hadapi ialah isteri yang meminta diceraikan kalau mahu berkahwin lagi, manakala keluarga terutama kedua-dua ibu bapa menganggap saudara anak derhaka kalau berkahwin lagi satu.

Islam tidak mensyaratkan poligami mesti dengan izin isteri. Namun adalah sukar biarpun bukan mustahil untuk menyatakan adanya isteri yang boleh memberi izin kepada suaminya berkahwin lagi, biarpun seorang ustazah yang memahami bahawa Islam mengharuskan poligami. Tabiat semula jadi manusia, tidak mahu berkongsi kasih.

Tergambar dalam fikiran bagaimana si suami memadu kasih dengan madunya. Mungkin dalam mengingatinya kepala berdetap menjadi sakit, dunia gelap gelita.

Tindakan suami mungkin boleh dianggap mencabar kesetiaannya selama ini, seolah-olah si suami telah “menduakannya” biarpun poligami itu diharuskan oleh Islam.

Islam tidak menggalakkan berpoligami, tetapi mengharuskannya sebagai salah satu jalan keluar mengatasi masalah seperti ketika isteri uzur, sakit dan tidak berupaya melayani naluri suami. Suami kuat nafsu dan sebagainya.

Namun tanpa alasan seperti ini, sekiranya seorang lelaki itu bernikah lagi, pernikahan itu tetap sah, asalkan semua syarat dan rukun perkahwinan itu dipenuhi.

Banyak orang berkahwin tanpa ada alasan seperti yang dijelaskan atau dorongan seperti ini, lebih-lebih lagi orang yang mempunyai banyak wang seperti saudara. Ia tetap sah dan tidak berdosa andainya sifat adil itu, ada pada diri dan berkeyakinan berupaya melaksanakannya.

Mungkin sukar untuk menyokong sikap seorang suami yang dikatakan menyintai isteri dan anak-anaknya, tetapi dalam masa yang sama bercinta dengan perempuan lain.

Namun begitu, ia bukan mustahil berlaku lebih-lebih lagi bagi orang yang mempunyai selera tinggi, sukakan yang cantik dan muda. Orang seperti ini kadang-kadang pada peringkat awal tidak minat sangat untuk berkahwin lagi, lebih-lebih lagi bagi yang banyak tugas dan sibuk, tetapi kerana naluri dalamannya tanpa disedari bila bermula, dia akhirnya terjebak ketika ‘bermain dengan api atau ombak’, menyebabkan jatuh kasih atau rasa simpati atau ihsan kerana kasih itu tidak ubah seumpama sekam dalam api.

Dalam masa yang sama dia tetap mengasihi isteri yang ada, sayang rumah tangga yang begitu lama dibina, juga anak-anak di rumah.

Izin isteri bukan merupakan syarat kesahihan pernikahan lelaki berpoligami. Bagi orang lelaki yang berusaha untuk berkahwin lagi, tetapi tertahan kerana sebab tertentu, terutamanya untuk mendapatkan keizinan isteri, akan melakukan pelbagia cara untuk melaksanakannya.

Terdapat kes suami menipu isteri untuk menurunkan tanda tangan, kahwin lari ke sempadan, kahwin yang dinikahkan oleh wali perempuan tanpa merujuk ke pejabat kadi dan sebagainya, termasuk melalui sindiket palsu.

Saudara mempunyai keupayaan untuk berkahwin lagi, tetapi terhalang kerana isteri meminta cerai, manakala ibu bapa menganggap saudara anak derhaka.

Tanpa melihat, sama ada pro atau kontra lelaki berpoligami, ketika berhadapan dengan situasi seperti yang saudara hadapi, seseorang itu mesti menghulurkan mesej syarie yang hakiki. Saudara mempunyai keupayaan dari segi kebendaan, seorang yang terpelajar dan mempunyai ciri-ciri sifat adil serta yakin untuk melaksanakannya.

Kerana itu, jalan keluar bagi saudara ialah berkahwin lagi. Dalam kes ini, mungkin dengan kekasih saudara.

Namun, untuk mengelakkan keadaan rumah tangga yang bercelaru dan dianggap anak derhaka, saudara mencari jalan sesat dengan melanggani perempuan jalang dan sehingga sekarang, saudara merasakan amalan itu sebahagian daripada rutin hidup, sebagai budaya mingguan.

Tidak ada statistik membuktikan 99 peratus pelanggan pelacur adalah lelaki yang beristeri. Mungkin anggapan saudara itu ada lojiknya berdasarkan pemerhatian saudara. Dalam masa yang sama, bukan mudah untuk membuktikan anggapan seperti ini benar dan tepat.

Walaupun demikian pemerhatian saudara terhadap apa yang berlaku tidak boleh dijadikan satu hujah atau sokongan terhadap apa yang saudara lakukan, ataupun dijadikan alasan menghilangkan rasa berdosa melanggani pelacur.

Saya tidak membicarakan dosa zina kerana saudara sedia memahaminya, tetapi saudara perlu ingat bahawa berzina itu dosa. Dosa itu najis dan najis itu kotor, yang kotor itu lumrahnya busuk. Bagi orang terlibat dengan dosa zina buat kali pertama dia akan menyesal sama seperti dengan orang yang bersentuh atau terhidu najis.

Dia menjadi tidak menentu, merasa loya atau muntah, tetapi kalau terus berulang, ia menjadi sebahagian hidup, berasa tidak janggal dan tidak seronok kalau tidak melakukan dosa atau berasa asing tidak terhidu najis. Begitu juga dengan peri laku zina yang menjadi rutin.

Saudara terlalu malang andainya mengakhiri sisa-sisa hidup dalam maksiat, ketika menapak kaki melanggani kupu-kupu malam atau menghembuskan nafas di pangkuannya, pada hal saudara seorang yang pernah taat sembahyang, puasa, tidak minum arak dan tidak menerima rasuah. Salah satu ciri insan bertakwa yang tidak mudah dimenangi oleh semua orang.

Kalau benar ada isteri yang lebih rela suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suami dapat memenuhi tuntutan berpoligami, ini bererti secara langsung atau tidak langsung dia adalah terlibat dengan peri laku si suami.

Pada hakikatnya, keharusan poligami dan cara penyelesaiannya lebih tertakluk kepada kes yang berbeza. Tuntutan isteri agar diceraikan untuk membolehkan suami berkahwin lagi memang banyak berlaku, memperlihatkan protes atas keinginan suami tadi.

Walaupun demikian mungkin tidak berlaku pada semua orang, terutamanya pada isteri yang uzur, tua, sakit, mempunyai ramai anak dan tidak bekerja. Seperkara lain, biarpun tuntutan cerai itu banyak berlaku, kata putus yang ditetapkan oleh syarak ialah di tangan suami. Mereka yang beriman dan takutkan Allah menggunakan kuasa ini sebaik mungkin kerana isteri itu amanah Allah, yang dihalalkan baginya dengan ikatan perkahwinan.

Biarpun poligami seumpama mencabar kesetiaan seorang isteri, pendapat saudara, poligami sebagai pengorbanan terhadap wanita yang dikahwini terutamanya yang menghadapi masalah anak banyak, keselamatan diri, maruah dan sebagainya memang ada logiknya.

Kerana itu dalam keadaan seumpama itu, ada perempuan yang rela dijadikan isteri kedua. Walaupun, bagi yang meminati gadis muda dan cantik, sukar sedikit untuk merangkumkan perkahwinan seperti ini termasuk dalam kategori pengorbanan, biarpun tidak dinafikan ianya melibatkan pengorbanan.

Perilaku saudara juga seumpama bertindak balas terhadap sikap isteri dan keluarga. Biarpun mereka mempunyai kaitan terhadap tindak-tanduk saudara, dosa yang dilakukan seseorang, tidak akan ditanggung orang lain.

Memang benar seperti yang saudara jelaskan bahawa masyarakat memandang amalan berpoligami itu sebagai sesuatu yang halal tetapi dianggap “janggal” atas sebab-sebab yang saling berkait. Berbanding dengan lelaki yang melanggani pelacur-pelacur, bersekedudukan atau perempuan simpanan kadang-kadang dirasakan orang yang berpoligami itu seolah-olah merobek naluri budaya hidup.

Keadaan ini berlaku atas sebab yang saling berkait, di antaranya ialah kerana penyalahgunaan keharusan poligami. Selain dari itu, poligami diamalkan secara berterangan, secara rasmi pada hal amalan melanggani pelacur, bersekedudukan atau menyimpan perempuan simpanan itu dilakukan secara tersembunyi. Walaupun demikian saya berkeyakinan, masyarakat umum tidak akan memandang serong terhadap suami yang berpoligami yang bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya,

Manusia dalam banyak hal lebih mudah malu kepada jiran-jiran, kawan sekerja dan masyarakat sekeliling berbanding dengan Tuhan yang sentiasa memerhatikan tingkah laku mereka, sama ada malam atau ketika sunyi sepi.

Tidak mudah untuk menyatakan isteri lebih rela suaminya melanggani perempuan jalang, mempunyai perempuan simpanan atau bersekedudukan daripada suaminya berkahwin lagi. Bagi isteri yang terpelajar, berilmu dan menyayangi suaminya, begitu juga ibu bapa atau keluarga akan merelakan seorang suami itu berkahwin lagi daripada terlibat dengan kancah maksiat.

Masyarakat Melayu Islam tahu, poligami adalah sesuatu yang diharuskan, tetapi sesetengah orang tidak gemarkan amalan poligami kerana sikap atau kelakuan sebahagian daripada mereka yang melakukan poligami atau beristeri lebih daripada satu tidak berlaku adil. Ramai yang berpoligami tetapi kewangannya tidak mencukupi. Ada yang tidak mempunyai kerja tetap malahan hidup di atas tulang empat kerat isteri-isteri yang dikahwini. Ketidakadilan itu juga sering berlaku kerana suami yang berkahwin semata-mata kerana nafsu. Mereka inilah yang menyalahgunakan keharusan yang diberi atau ditetapkan oleh Islam.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila aduan yang dilakukan oleh isteri yang terlibat ke pejabat-pejabat kadi kurang mendapat perhatian kerana kekurangan kakitangan yang terlatih, menyebabkan isteri-isteri terus menerus menderita mencari nafkah diri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Lebih rumit apabila ketetapan yang diputuskan oleh mahkamah syariah tidak dilaksanakan. Terlalu banyak punca menyebabkan keharusan poligami menjadi sebagai sesuatu yang menakutkan.

Penjelasan Surah Al-Nisaa’ ayat 129 (keadilan di dalam berpoligami)

Tajuk fatwa: Adakah ketidakupayaan untuk melayan isteri-isteri secara sama-rata boleh mengharamkan poligami?

Soalan:

As-salamu ’alaykum Ustaz. Apakah maksud ayat Allah: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian,” (Surah Al-Nisaa’: 129)

Jawapan:

Wa’laykum as-salamu wa rahmatullahi wa barakatuh.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Segala puji dan syukur kepada Allah dan selawat dan salam kepada PesuruhNya.

Untuk orang yang bertanya, kami mengucapkan terima kasih di atas keyakinan yang besar yang diberikan oleh anda kepada kami, dan kami memohon sangat kepada Allah Yang Maha Besar untuk menolong kami berkhidmat di atas maksudNya dan menyumbangkan kerja-kerja kami di atas jalanNya.

Kewajipan seseorang lelaki untuk melayan isteri-isterinya dengan sama-rata ialah berkenaan dengan membekalkan mereka dengan keperluan asas yang cukup dan pembahagian masa ( berkenaan dengan tempat kediaman). Walaubagaimanapun, pembahagian cinta (kasih sayang) adalah di luar kemampuan manusia; jadi, seseorang tidak akan diperhitungkan di hadapan Allah Yang Maha Besar. Amat tidak bernasib baik sekali, banyak negara yang membenarkan amalan penzinaan ke atas lelaki-lelaki mereka tetapi mengharamkan poligami.

Ulama’ Islam yang terkenal Sheikh Yusuf Al-Qaradawi menyatakan bahawa:

“Menyebut ayat di atas (Surah Al-Nisaa’: 129) sebagai bukti pengharaman poligami adalah ditolak, ianya seperti mengubah ayat dari konteksnya. Tambahan pula, ianya secara tidak langsung menuduh Rasulullah S.A.W. and sahabat-sahabatnya (semoga Allah meredhai mereka semua) tidak memahami Al-Quran atau secara sengaja tidak mahu mengikutinya, hampir kesemua mereka berkahwin lebih dari satu isteri.

Fakta ayat ini menunjukkan bahawa keadilan mutlak di antara isteri-isteri adalah di luar kapasiti manusia itu sendiri, ianya melibatkan persamaan hak secara tepat dalam semua hal, walaupun dalam pembahagian kasih sayang, cinta, dan kepuasan seksual, di mana ianya di luar kekuasaan seseorang lelaki. Seseorang lelaki tidak dapat dielak untuk tertarik kepada salah seorang isterinya lebih dari yang lain; hati-hati manusia adalah di dalam Tangan Allah Yang Maha Besar yang mengubahnya sebagaimana yang dikehendakiNya. [Perasaan seseorang lelaki adalah tidak berurusan dengan kehendaknya.]

Lagipun, sekiranya sesiapa yang mendakwa bahawa ayat yang tersebut di atas mengharamkan poligami patut merenungkan sambungan ayat tersebut, mereka akan sedar bahawa ianya termasuk penafian terhadap dakwaan itu. Allah Yang Maha Besar berfirman di dalam ayat yang sama: “kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Nisaa’: 129)

Dalam ayat-ayat Allah ini, Allah Subhanahua Taala memerintahkan hamba-hambaNya kepada satu fakta bahawa mereka tidak akan boleh mengamalkan keadilan mutlak di antara isteri-isteri mereka berkaitan dengan cinta, tetapi ini tidak bermaksud bahawa salah seorang dari mereka boleh merasa benci terhadap isteri (atau isteri-isteri) yang kurang menarik dari yang lain.

Rasulullah S.A.W. beurusan secara saksama dengan isteri-isteri baginda berkenaan keperluan-keperluan asas dan tempat tinggal dan kemudian baginda memohon kepada Allah Subhanahua Taala dengan bersabda: “ Ya Allah! Inilah pembahagianku setakat yang aku boleh berikan (iaitu, aku berurusan dengan isteri-isteriku secara adil dan saksama mengikut kemampuanku). Jadi aku memohon kepadaMu agar tidak menghisabku ke atas apa yang di bawah kawalanMu tetapi tidak di bawah kawalanku ( iaitu perasaan-perasaanku terhadap mereka).”

Walaubagaimanapun, ianya sungguh menghairankan di mana terdapat sebahagian negara Islam Arab yang mengharamkan poligami tetapi membenarkan penzinaan, iaitu dosa seperti yang difirmankan oleh Allah Subhanahua taala: “ dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk” (Surah Al-Israa’: 32 )

Sesetengah negara tidak melarang penzinaan kecuali dalam kes-kes tertentu, seperti seorang lelaki memaksa seorang perempuan untuk melakukan zina dengannya, atau dalam kes kecurangan perkahwinan di mana pasangan yang dikhianati tidak mahu memaafkan pasangannya.

Bekas Sheikh Besar Al-Azhar, Sheikh ‘Abdel-Halim Mahmoud ( moga Allah merahmatinya) memberitahu saya yang seorang lelaki Islam dari sebuah negara Arab yang negaranya mengharamkan poligami telah berkahwin dengan isteri kedua secara rahsia. Dia tidak mendaftar perkahwinannya dengan isteri kedua tersebut kerana takut-takut akan dihukum oleh undang-undang buatan-manusia di negaranya. Polis mengsuspek dan mengikutnya sehingga mereka menahannya di rumah isteri keduanya. Berhadapan dengan pertuduhan bahawa dia mempunyai isteri kedua dan sekaligus menyalahi undang-undang negara, dia menyangkal pertuduhan itu dengan mengatakan, “Siapa yang memberitahu kamu yang dia ini isteri saya? Dia bukan isteriku; dia adalah perempuan simpananku, dan kami melakukan persetubuhan dari masa ke semasa.” Dengan itu, penyiasat-penyiasat itu memohon maaf kepadanya, “Kami meminta maaf di atas kesalahfahaman ini. Kami ingat perempuan ini adalah isteri kamu. Kami tidak tahu yang dia adalah perempuan simpanan kamu!” Oleh yang demikian, lelaki itu dibebaskan, bagi negaranya penzinaan adalah sebagai satu hak kebebasan peribadi sedangkan poligami diharamkan. Wallahu’alam.

(Diterjemah dari http://www.islamonline.net)

Penjelasan tentang beberapa kekeliruan dalam isu poligami

Soalan:

Seorang kawan saya memberitahu bahawa ada sebuah hadith di dalam Sahih Al-Bukhari (7/157) menyebut bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda seseorang yang ingin mengahwinkan anaknya dengan Saidina Ali ibni Abi Talib r.a. iaitu sekiranya Ali ingin berkahwin lain, dia (Ali) mestilah meninggalkan Fatimah (menceraikannya), anak perempuan Rasulullah S.A.W. Ini adalah kerana dia (Fatimah) sangat dikasihi oleh Rasulullah S.A.W. dan Rasulullah S.A.W. tidak mahu menyakiti hati Fatimah.

Apakah implikasi hadith ini? Bolehkah hadith ini digunakan sebagai bukti untuk memberitahu seseorang supaya tidak berkahwin dua (berpoligami) kerana itu akan melukakan hati isteri pertama? Adakah hadith ini tidak menggalakkan poligami?

Jawapan:

Salam kepada yang bertanya dan terima kasih.

Sebenarnya, teks hadith dalam soalan anda adalah salah. Teks yang betul adalah seperti berikut yang diriwayatkan oleh Al-Miswar ibn Makhrawa iaitu:

“Ali ingin mengahwini anak perempuan Abu Jahl. Fatimah mendengar berita itu dan pergi kepada Rasulullah dan berkata, “ Orang-orang baginda memikirkan bahawa baginda tidak menjadi marah untuk kepentingan anak perempuan baginda iaitu Ali sekarang akan berkahwin dengan anak perempuan Abu Jahl.”

Dengan itu, Rasulullah bangkit dan selepas membaca tasyahhud (bersaksi akan keesaan Allah dan kerasulan RasulNya yang terakhir) saya mendengar baginda bersabda, “Aku telah mengahwinkan salah seorang anak perempuanku (Zainab) kepada Abu Al-‘Aas ibn Ar-Rabi’ sebelum Islam dan dia (Abu Al-‘Aas ibn Ar-Rabi’) telah membuktikan kejujurannya dalam apa-apa yang diperkatakannya kepadaku. Tidak diragukan lagi Fatimah adalah sebahagian dariku; aku benci melihat dia menderita. Demi Allah, anak perempuan Rasulullah dan anak perempuan musuh Allah tidak boleh menjadi isteri-isteri kepada seorang lelaki.”

Jadi, Ali memberhentikan pertunangan itu. (Al-Bukhari 1538).

Hadith ini membicarakan tentang insiden bahawa Ali ingin mengahwini anak perempuan Abu Jahl iaitu musuh Allah dan RasulNya yang sangat dibenci. Dia (Abu Jahl) telah menyimpan berhala sehingga ke saat akhir hidupnya yang menyedihkan. Dia telah menghina Rasulullah dan sahabat-sahabatnya dan menyiksa mereka; dia juga telah beberapa kali cuba membunuh Rasulullah.

Abu Jahl akhirnya dibunuh oleh orang-orang yang beriman di dalam peperangan Badar satu masa dahulu sebelum Ali bercadang untuk berkahwin dengan anaknya. Sebab itulah kenapa Rasulullah tidak pernah bersetuju dengannya berkenaan dengan perkahwinan ini, bukannya kerana sebab-sebab yang disebutkan oleh anda di dalam teks yang salah yang telah anda sebutkan tadi.

Jadi, itu menjadi bukti bahawa pembenaran (justifikasi) Rasulullah tidak mengizinkan perkahwinan itu bukannya kerana dia (Rasulullah) tidak menggalakkan poligami secara prinsipnya, bahkan dia sendiri telah berkahwin dengan sembilan (9) wanita yang mulia, tetapi sebab keaiban sejarah silam keluarga pengantin perempuan, di mana secara pastinya akan menimbulkan masalah kepada anak perempuan kesayangannya (Fatimah).

Hadith ini menunjukkan satu fakta yang sangat penting iaitu kekeliruan telah berlaku, kalaupun bukan kontroversi, kepada kebanyakan orang Islam, di mana poligami bukannya tidak digalakkan (sebagaimana sesetengah orang berpendapat), juga bukannya dianggap wajib (sebagaimana sesetengah orang cuba membuktikannya) tetapi ianya satu hal yang berkaitan dengan pilihan peribadi – yang menjadi di pihak lelaki untuk menentukannya, dan yang menjadi di pihak perempuan dan penjaganya untuk menerimanya.

Saya berharap penjelasan ini menyelesaikan perkara yang diutarakan. Terima kasih. Wallahu’alam.

(Diterjemah dari http://www.islamonline.net)