Kisah Teladan – 4

Perjalanan yg jauh memerlukan bekalan yg cukup“Beberapa hari yang lalu, penulis bersolat Zuhr di Masjid UKM. Selepas solat Zuhr, pihak masjid mengadakan tazkirah Zuhr sementara menunggu ahli jemaah masuk semula ke pejabat. Walaupun tazkirah Zuhr itu hanya berlangsung selama lebih kurang 20 minit tapi ianya memberi kesan sebagai satu peringatan lebih-lebih lagi sebagai pencetus semangat di dalam mengharungi ibadah puasa.
 
Ustaz yang menyampaikan tazkirah pada hari itu memberitahu yang puasa ini ibarat satu ‘station’ atau tempat perhentian, yang mana kita perlu mengambil seberapa banyak bekalan kerana kita tidak mengetahui sejauh manakah lagi perjalanan yang akan kita tempuh untuk menuju akhirat.
 Berhenti makan, minum, rehat, tunai hajat sekejap...lepas tu sambung perjalanan ke destinasi yg nak di tuju.
Walaupun kata-kata itu sudah berlalu beberapa hari tetapi ianya masih segar dalam ingatan, begitulah fitrah bila kata-kata yang lahir dari hati yang ikhlas ia akan menusuk masuk ke dalam jiwa pendengarnya.
 
Hari ini sudah hari ke-7 kita berpuasa, ada 22 atau 23 hari lagi yang tinggal untuk kita mengaut bekalan…..bukan bekalan berupa wang berjuta-juta ringgit, harta benda yang banyak, kesenangan hidup di dunia, pangkat yang tinggi, kedudukan yang disanjung orang…..tetapi bekalan untuk kita menempuh perjalanan kita menuju akhirat, tempat tinggal kita yang kekal abadi.” Wallahu’alam.

Advertisements

Kisah Teladan – 3

Penulis ada membaca sebuah buku terbitan pustaka Al-Mizan (Malaysia) bertajuk POLIGAMI (Mengapa Rasulullah Berbilang Isteri) keluaran tahun 1988. Penulisnya ialah seorang ustazah, pensyarah di PPP-ITM, Shah Alam iaitu Ustazah Norain Ishak. Penulis buku itu cukup baik menghuraikan perihal poligami dari sudut sejarah, syarat-syarat, hikmah-hikmah, perkahwinan Rasulullah s.a.w. dan tujuan Rasulullah s.a.w. berpoligami. Pada prinsipnya, beliau menerangkan poligami dari segi kebaikan-kebaikan dan keindahan syari’at islamiah ini. Pada pendapat penulis Inilah contoh seorang Muslimah yang memahami ajaran Islam yang sebenarnya dan mempertahankannya serta sanggup berdepan dengan masyarakat yang selalu melabelkan poligami sebagai sesuatu yang menimbulkan masalah.

 
Soalan, berapa ramaikah wanita-wanita Islam yang berpendirian seperti ustazah ini? Wallahu a’lam.

Kisah Teladan

Memang payah sebenarnya nak keluarkan duit poket sendiri kerana nak tolong kawan. Kerja dahlah penat sebab tu pahalanya besar Kes 1

Fendy dan Zul ingin mengikuti satu kursus yang dianjurkan oleh
masyarakat setempatnya. Malangnya disebabkan masalah kewangan hasrat
mereka berkubur begitu sahaja. Ahmad mendapat tahu dari rakannya yang
Fendy dan Zul sangat berminat untuk menghadiri kursus tersebut tetapi
tidak kesampaian. Ahmad memberitahu Fendy dan Zul yang beliau sanggup
meminjamkan wang tabungnya bagi membiayai kos kursus mereka.

Kes 2Gambar hiasan - pasangan suami-isteri bahagia. "Wahai orang-orang muda! Cepat-cepat lah kahwin kalau mampu - pesanan ringkas dari orang lama bukan tua.

Razuki berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya namun begitu
disebabkan kos perkahwinan agak tinggi beliau terpaksa menangguhkan
hajatnya seketika. Lagipun dia baru saja mendapat pekerjaan selepas
mengikuti kursus ijazah selama 4 tahun lebih. Dia juga risau yang
usianya sudah hampir mencecah 30’an dan juga desakan dari keluarga
untuk melihatnya mendirikan rumahtangga. Tambahan pula Razuki sudah
bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai suami-isteri bersama teman
wanita pilihannya. Osman, teman rapat Razuki memberitahu Razuki yang
rakannya, Nasir, boleh memberi pinjaman bagi menampung sebahagian
kos perkahwinannya. Berita itu disambut baik oleh Razuki walaupun
dia tidak mengenali Nasir.

Kes 3

Zubair dikurniakan Allah Taala kekayaan hasil dari perniagaannya.
Zubair ialah seorang kaya yang dermawan. Ustaz Rashid pergi berjumpa
dengan Zubair untuk meminta sedikit derma bagi pembinaan Masjid di
tempatnya. Zubair memberitahu Ustaz Rashid yang dermanya dikhaskan untuk
orang-orang susah dan kepada pemuda yang belum berkahwin dan
ingin berkahwin tetapi mempunyai masalah kewangan utk menampung kos
perkahwinan yang semakin meningkat. Ustaz Rashid sudah berumahtangga
dan beliau pulang dengan hampa tanpa mendapat satu sen pun dari
Zubair.

Kisah-kisah yang dipaparkan adalah kisah benar walaupun nama-nama yang
digunakan adalah nama samaran. Penulis merasakan nama tidak begitu penting yang penting isinya supaya menjadi teladan kepada kita semua. Dalam kehidupan serba moden ini, ramai yang hanya mementingkan dari aspek materialistik sahaja tanpa mengambil kira aspek pahala. Contoh-contoh yang ditunjukkan oleh
Ahmad, Nasir dan Zubair benar-benar dagang (strange) dalam zaman sekarang yang mana mereka mengenepikan kepentingan diri sendiri dengan membantu rakan-rakan mereka yang sangat-sangat memerlukan.
 
Masih adakah orang-orang seperti Ahmad, Nasir dan Zubair wujud dalam masyarakat sekarang ini?

 

Kito Menuso

Pokok yang menanti kering dan ....Kito menuso (Kita manusia)
 
Bangunlah, bangunlah, wahai ulama’-ulama’ Islam
Bangkitlah, bangkitlah, wahai tok-tok alim Islam
Bangunlah dari lena, wahai pencinta-pencinta Islam
Buanglah, buanglah, angan-angan panjang, wahai pelajar-pelajar Islam
 
Lihatlah, lihatlah, dengan mata hati
Bahawa Islam dipermain-mainkan
Lihatlah, lihatlah, bukan dengan hati mati
Bahawa Islam telah dagang
 
Bukalah, bukalah, dengan mulut anugerah Tuhan
Ucaplah apa yang diajar guru
Bukalah, bukalah, akal fikiran
Luahkanlah ilmu dari sifu
 
Bacalah, bacalah, buku-buku di tangan
Laungkanlah di tengah masyarakat
Bacalah, bacalah, kitab-kitab usang di dinding-dinding
Ajarlah orang-orang jahil jauh dan dekat
 
Supaya mereka mengerti apa itu Islam
Supaya mereka mengenal siapa itu Tuhan
Supaya mereka gerun dan harap siang dan malam
Supaya mereka akur dan patuh kepada Al-Rahman
 
Sesungguhnya mereka itu jahil
Sesungguhnya mereka itu menurut hawa nafsu
Sesungguhnya mereka itu degil
Sesungguhnya mereka itu tidak tahu
 
Wahai ulama’, wahai tok alim, wahai pencinta dan pelajar Islam
Bangkitlah bersama-sama pengislah
Fahamilah taklif dan tujuan hidup dalam-dalam
Ke arah menuju negeri abadi…Jannah
 
Siapakah sebenarnya kita?
Hamba kepada Rabb Al-Alamin
Siapakah sebenarnya kita?
We are the followers in Islam not the inventors

nukilan: milkyway27

19/02/2006=21/01/1427

Bersyukur Kerana Apa?

Alhamdulillah penulis diberi taufiq dan hidayah oleh Allah untuk menghadiri satu kuliah subuh pada hari ini. Penulis berasa kagum dengan kemampuan penceramah menyampaikan kuliahnya tanpa menggunakan teks. Dia berjaya menyampaikan dengan lancar dengan bersandarkan petikan-petikan dari Al-Quran dan Hadis di dalam kuliahnya yang lebih kurang satu jam itu. Berikut adalah lebih kurang penyampaian yang disampaikan yang dapat penulis ingat.

 

Kita bersyukur bukan kerana kita masih hidup, kerana binatang pun masih hidup. Kita bersyukur bukan kerana kita dapat makan, kerana binatang pun dapat makan. Kita bersyukur kerana kita masih dapat melaksanakan ibadat kepada Allah. Iradat atau kehendak Allah ada dua bahagian menurut Sheikh Said Ramadhan Al-Buthi iaitu iradat takwiniyyah dan iradat tasyri’iyyah. Iradat takwiniyyah contohnya seperti manusia dijadikan oleh Allah ada lelaki dan ada perempuan – tiada pilihan. Bentuk rupa paras – hidung mancung, hidung kemek dan sebagainya – juga tiada pilihan bagi manusia. Juga seperti kita dijadikan oleh Allah berbangsa Melayu bukannya bangsa lain seperti Arab, China, India dan sebagainya – tiada pilihan. Iradat yang kedua ialah iradat tasyri’iyyah bermaksud Allah menetapkan syariat Islam mengikut kehendaknya seperti solat, puasa, zakat, haji, bab-bab munakahat seperti perkahwinan lelaki dan perempuan di dalam Islam, poligami (sila rujuk Surah Al-Nisa’ ayat 3), suami tidak dibenarkan bergaul dengan isterinya sekiranya isteri di dalam haidh dan lain-lain hukum yang bersangkutan dengan munakahat atau nikah-kahwin. Di dalam menetapkan syariat Islam juga adalah kehendak Allah yang tidak boleh ditolak oleh manusia. Manusia hendaklah menerima iradat Allah ini dengan terpaksa.

 

Kalau hendak dihitung ibadat yang kita lakukan sepanjang tahun sangat sedikit. Contohnya kalau dicongak solat lima waktu sehari semalam masa yang diambil cuma lebih kurang 6 min satu solat, lima waktu jadi lebih kurang 30 min sahaja, puasa wajib di bulan Ramadhan sahaja, zakat harta diwajibkan bila ada kemampuan, haji ke tanah suci bagi sesiapa yang mampu sahaja yang wajib menunaikannya. Kita banyak mendapat rahmat daripada Allah. Ada batas-batas yang telah ditentukan oleh Allah untuk orang-orang yang beriman seperti perkahwinan dibenarkan 2, 3, atau 4 dan tidak boleh lebih daripada 4. Orang yang beriman akan patuh kepada ketentuan Allah tanpa mempersoalkannya.

 

Di akhirat nanti kita tidak akan ditanya oleh Allah kenapa dengan rupa paras kamu seperti hidung kemek, mata sepet, kulit hitam atau apa sahaja bentuk fizikal kita tetapi yang akan ditanya nanti oleh Allah ialah harta kamu perolehi dari mana, ke mana kamu membelanjakan harta-harta kamu di dunia ini, dan sebagainya yang berkaitan dengan amalan baik dan buruk kita semasa hidup. Mata sepet, hidung kemek, mata biru tak hitam itu semua adalah iradat takwiniyyah Allah yang mana tiada pilihan untuk kita. Tapi solat, puasa, zakat, haji dan ibadat-ibadat yang lain adalah sesuatu yang boleh kita pilih samada hendak buat atau tidak. Kalau kita tak buat maka kita sendirilah yang menanggung akibatnya – menerima balasannya. Contoh rahmat Allah ialah orang yang melanggar suruhan Allah dan bertaubat kepada jalan yang benar selepas itu melakukan ibadat kepada Allah selama 3 tahun dan meninggal dunia dan Allah memasukkannya ke dalam syurga dengan izinNya selama-lamanya bukan sekadar 3 tahun tempoh dia melakukan kebaikan di dunia ini. Sekiranya kita beribadat selama tiga tahun dan masuk syurga pun tiga tahun selepas itu dikeluarkan dari syurga dan masuk neraka pula apa perasaan kita agaknya.  Alangkah sengsaranya jiwa kerana setelah mengetahui nikmat syurga kemudian disuruh pula duduk di dalam neraka. Nikmat yang Allah berikan kepada hambaNya yang beriman ialah walaupun beribadat selama tiga tahun sahaja dan amalannya diterima oleh Allah jadi masuklah dia ke dalam syurga selama-lamanya.

 

Kebahagiaan sesebuah rumahtangga bukanlah hanya terletak kepada kesenangan hidup seperti rumah yang besar, kereta besar, isteri, duit banyak tetapi kebahagiaan yang sebenar ialah di saat berjumpa dengan Allah di akhirat kelak dalam keadaan ‘qalbun salim’ (jiwa yang tenang).   Jiwa yang tidak tenang adalah akibat dari tidak mengingati Allah. Dengan tidak berzikir atau mengingati Allah jiwa menjadi sempit.

  

Talbis Iblis – (4)

Kemudian datang lagi Iblis membisik pula: “Kalau engkau masuk ke dalam pondok itu untuk bercakap-cakap dengannya, dan biarkan dia di dalam pondok saja, sehingga wajahnya tidak dapat dilihat oleh orang lain selain engkau saja, tentulah itu lebih bagus!” Maka demikianlah yang dilakukan oleh si abid tadi, duduk bercakap-cakap dengan sang perawan itu hingga tengahari, maka kembalilah dia ke rumah ibadatnya.

 

 Kemudian datang lagi Iblis untuk menggoda si abid itu dengan mengkhayalkan keindahan wajah si perawan itu sehingga akhirnya sang abid hilang pegangan, maka dia pun datang mendapatkan sang perawan itu serta memaut tubuhnya dan menciumnya. Iblis pun terus memperindahkan wajah perawan itu di mata sang abid dan mengharunya, sehingga akhirnya dia pun bersatu dengannya dan membuntingkannya. Hasil dari perbuatan serong tadi, perawan itu pun melahirkan seorang anak daripada si abid itu.

 

Sekarang datanglah Iblis menjelma seraya mengatakan: Hai abid! Jika saudara si perawan ini datang melihat semua ini, apakah yang hendak engkau katakan? Tentu engkau akan pecah tembelang, ataupun mereka akan menceritakan perkaramu itu kepada orang. Lebih baik engkau bunuh saja anak haram ini dan tanam dia lekas-lekas sebelum orang tahu, dan si perawan itu tentu akan menyembunyikan rahsiamu kerana takutkan saudara-saudaranya mendapat tahu rahsia kamu berdua. Maka si abid itu lalu membunuh anak itu.

 

Kemudian Iblis mengatakan kepada si abid lagi: Apakah engkau percaya bahawa si perawan itu akan menutup mulutnya dari hal apa yang sudah engkau lakukan terhadap dirinya, dan sesudah engkau membunuh anaknya? Lebih baik engkau bunuh saja perawan itu dan tanamkan sekali bersama-sama dengan anaknya. Si abid itu terpaksa ikut bisikan Iblis itu, sehingga dia membunuh ibu anak itu juga, lalu kedua-duanya diluntarkan ke dalam lubang, serta ditindihkannya dengan sebuah batu besar, kemudian dikambus dengan tanah, lalu dia kembali ke rumah ibadatnya masuk ke dalam tempat khalwatnya beribadat.

bersambung…

      

Talbis Iblis – (3)

Begitulah yang dibuat sang abid tadi untuk beberapa waktu. Kemudian datang lagi syaitan membisikkan sesuatu yang lebih baik daripada itu dan akan membuahkan pahala yang lebih besar lagi, seraya menghasutnya seterusnya: “Kalau engkau tambah sedikit, lalu engkau bawakan makanan itu ke dalam rumah perawan itu, tentu itu akan melebihkan pahalamu!” Maka dia pun membawa makanan itu dan meletakkannya sekali di dalam rumah.

 

Sesudah berlalu beberapa waktu, maka syaitan pun menghasutnya lagi, seraya membisikkan: “Engkau sudah masuk di dalam rumah, mengapa engkau tidak bertegur sapa dan bercakap sekali kepadanya, bukankah itu akan menimbulkan kemesraan kepadanya, kerana perawan itu duduk seorang diri tiada siapa yang dapat bercakap-cakap kepadanya, tentu dia merasa bosan duduk keseorangan begitu!”

 

Maka sang abid pun berbicaralah kepada si perawan itu dari atas rumah ibadatnya serta melihatnya dari situ untuk beberapa waktu.

 

Kemudian datang pula iblis seraya membisikkan: “Kalau engkau berbicara kepadanya dari pintu rumah ibadatmu, dan dia pula dari pintu pondoknya, bukankah itu lebih baik dan lebih mesra?” Maka sang abid itu terpujuk untuk mahu turun dari tempat khalwatnya duduk di pintu rumah ibadatnya berbicara kepada si perawan itu yang duduk di pintu pondoknya. Demikianlah keadaan mereka berdua untuk beberapa waktu.

 

Kemudian datang lagi iblis untuk mengajar sang rahib menambah kebajikan dan pahala, bisiknya: “Apa salahnya kalau engkau pergi sekali ke pintu pondoknya dan bercakap-cakap dengannya di situ, tentulah itu lebih menggembirakannya!” Dan demikianlah yang dilakukan oleh si abid itu untuk beberapa waktu.

 

 Kemudian datang lagi iblis dan menggalakkannya untuk duduk di pintu pondok itu, dan biar si perawan itu duduk di dalam rumahnya, bukankah itu lebih baik? Lalu si abid tadi pun tunduk kepada bisikan itu, duduklah di pintu pondok itu, manakala si perawan duduk di dalam pondoknya.

bersambung…

Muhasabah Diri – 2

Golongan yang beriman dan mendapat petunjuk mengetahui bahawa kematian bukanlah pengkalan terakhir tetapi ia merupakan permulaan. Ia bukanlah tidur, tetapi merupakan bangun daripada tidur, sebagaimana dikata orang: “Manusia semuanya tidur. Apabila mati barulah mereka sedar. “Mereka mengetahui bahawa di sebalik kematian ada kehidupan yang lebih panjang; kehidupan yang tidak akan berakhir. Di dalam kehidupan tersebut, yang ada hanyalah nikmat yang berkekalan atau azab yang pedih.

 Sifat panjang angan-angan sememangnya tertanam di dalam diri manusia. Oleh itu, walaupun kematian adalah perkara yang paling hampir kepada pancaindera kita, tetapi ia merupakan perkara yang paling jauh daripada pemikiran kita. Setiap hari kita melihat gerombolan yang membawa keranda melalui rumah kita, tetapi kita tetap merasa bahawa kita kekal. Setiap hari kita mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, tetapi kita masih berbicara tentang dunia. Kita sentiasa melihat tanah-tanah perkuburan memenuhi pelusuk dunia, tetapi kita tidak pernah berfikir bahawa suatu hari kita akan menjadi salah seorang penghuninya. AstaghfirulLah. Tanah-tanah perkuburan itu akan menjadi kediaman tubuh badan kita. Adakah kita mengetahui apakah sebenarnya tubuh badan kita? Kita melihat seseorang memakai pakaian dan akan menanggalkannya jika kotor. Kita juga melihat apabila seseorang kanak-kanak dilahirkan, maka dia akan meninggalkan dan keluar daripada urinya. Kita juga melihat seseorang meninggal dunia lalu rohnya berpisah daripada jasadnya. Jasad hanyalah pakaian yang boleh dipakai dan ditanggalkan. Dan jasad itulah juga yang diletakkan di dalam tanah.

Manusia sentiasa melupakan kematian. Tetapi orang mukmin sentiasa mengingatinya dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapinya. Dia bersiap sedia dengan melakukan taubat, istighfar dan mengembalikan semua hak orang lain yang ada padanya. Setiap pagi dan petang dia sentiasa memuhasabah diri. Dia bersyukur kepada Allah jika diberikan taufiq untuk melakukan kebaikan. Dia beristighfar meminta ampun jika melakukan kejahatan. Dia mengingati akhirat. Dia takut untuk menghadapi hari yang akan membalik-balikkan muka dan membeliakkan pandangan manusia. Dia bimbangkan azab yang akan berlaku selepas kematian. Dia mengharapkan pahala dan balasan baik selepas kematian. Dia menjadikan sifat sabar dan solat sebagai penolong. Dia melakukan kebaikan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan apa yang ada di sisi-Nya.

  

Talbis Iblis – (2)

Diberitakan daripada Wahab bin Munabbih r.a. ,katanya:

Ada seorang abid pada zaman Bani Israel, dan dia ternyata seorang abid yang terkenal pada masa itu. Dan ada pula pada zaman itu tiga bersaudara, yang mempunyai seorang saudara perempuan yang masih perawan, yang tiada punyai saudara perempuan yang lain. Ketiga-tiga orang yang bersaudara ini mahu keluar untuk berjihad, dan mereka tidak tahu di mana hendak ditinggalkan saudara perempuan mereka itu, siapa yang patut diserahkan amanat itu. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk meninggalkan saudara perempuannya itu pada seorang abid yang terkenal pada zaman Bani Israel itu. Inilah satu-satunya orang yang dapat dipercayakan saudara perempuannya nanti.

 

Mereka pun datang kepada abid tadi untuk meninggalkan saudara perempuannya itu supaya dijaga dan dilindunginya, sehingga mereka kembali dari peperangan mereka. Pada mulanya si abid itu menolak, serta berlindung diri kepada Allah daripada mahu menerima seorang perempuan berada dalam lindungannya. Mereka terus memujuk si abid itu dan menerangkan sebab mereka hendak menyerahkan saudara perempuan mereka itu, hingga akhirnya terpaksa si abid itu menerima juga, maka katanya: Tinggalkanlah dia di sebuah pondok sana di pinggir rumah ibadatnya.

 

Maka ketiga saudara itu pun meninggalkan saudara perempuannya di tempat yang ditunjukkan oleh sang abid tadi, dan mereka pergi meninggalkannya di sana untuk menuju ke medan perang. Anak perawan itu pun berdiam diri di rumah itu beberapa hari, setiap hari si abid itu akan membawa makanan dan meletakkannya di pintu rumah ibadat itu, kemudian menutup pula pintunya, serta memasuki tempat pengkhalwatannya. Lalu anak perawan itu pula akan keluar dari pondoknya berjalan menuju ke pintu rumah ibadat itu, dan mengambil makanan itu dan kembali lagi ke pondoknya.

 

Tidak beberapa hari sesudah itu, datang syaitan cuba memujuk hati si abid itu supaya membuat baik kepada sang perawan itu, dan menganggap tidak pantas sang perawan itu keluar dari rumahnya siang hari, dan menimbulkan dalam hatinya perasaan bimbang, kalaulah perawan itu dilihat orang keluar berseorangan, lalu diganggunya atau dibuat sesuatu yang tidak baik kepadanya. ‘Bukankah baik, kalau engkau dapat membawa makanan itu sendiri dan meletakkannya di pintu pondoknya, bukankah itu lebih mendatangkan pahala bagi perbuatanmu itu?!’

 

Terpengaruh juga dia dengan bisikan syaitan itu, lalu dia pun berusaha untuk membawa makanan itu dan meletakkannya di pintu pondok perawan itu, dan dalam pada itu dia tetap tidak berkata sepatah pun kepada sang perawan itu.

bersambung…

Belitan Iblis

“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian dia memanggil para pengiringnya, dan yang paling dekat kepadanya ialah yang paling berat fitnah yang dicubainya. Maka datanglah setiap satu dari mereka seraya berkata: Aku telah melakukan begini dan begitu. Maka berkata Iblis kepadanya: Engkau masih belum lakukan apa-apa pun! Kemudian datang yang lain mengatakan : Aku tidak berpisah dengan orang itu melainkan setelah aku berjaya menceraikan antaranya dengan isterinya. Lalu Iblis pun mendekatkan pengiringnya yang ini, dan didudukkannya di sisinya seraya mengatakan kepadanya: Benar, engkau sudah membuat sesuatu!” (Riwayat Muslim).