POLIGAMI…Kebahagiaan Yang Dicari @ Kesengsaraan Yang Dituju…

Komen MilkyWay27:   Satu artikel yang sangat baik drpd blog ustaz rushdan…bacalah dan fahamilah terutama pendakwah-pendakwah di jalan Allah…

Dalam post yang terdahulu saya ada menyebut tentang rintihan seorang teman berkenaan isterinya yang tidak lagi mempercayai kejujurannya setelah berpoligami dengan kebenaran isterinya setelah 18 ke 20 tahun mereka sama-sama melayarkan bahtera perkahwinan.Saya suka untuk menjadikan perbincangan ini satu entri yang berasingan walaupun ianya berpijak  di atas asas-asas maani yang saya sebutkan didalam post yang lalu(Kebahagiaan Rumahtangga…).Malah post-post yang terdahulu daripada AGAMA ADALAH KEJUJURAN, MENGENAL DIRI DAN HAKIKAT KEHIDUPAN… semuanya adalah berkaitan dalam memahami apa yang akan saya utarakan.

Manhajiah Berfikir Menuntut Keberanian Mengungkapkan Kebenaran…

Manhajiah dalam berfikir dan dalam memberikan apa-apa penyelesaian kepada masalah masyarakat, menuntut  kita  berani dalam mengungkapkan sesuatu yang belum kita lalui dan tidak semestinya kita melaluinya…dan jika kita ditakdirkan melaluinya belum pasti apa yang kita impikan tercapai sepenuhnya… Seperti seorang Pendakwah yang mengungkapkan ciri-ciri Imam atau pemerintah yang Adil, tidak semestinya dia kena jadi pemerintah atau pemimpin yang  berjaya melaksanakan keadilan baru boleh dia memperkatakan tentang keadilan pemimpin.begitu juga apabila dia ditakdirkan menjadi pemimpin tidak semua apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan…Tetapi… “Tentunya berbeza di antara seorang yang melihat dengan seorang yang buta apabila melalui sesuatu jalan…”

Bersedia Sebelum Ia Berlaku…

Sebenarnya persoalan-persoalan yang saya utarakan di dalam post yang lalu adalah bertujuan membuka minda dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul. Saya sengaja mengolah persoalan seperti itu dan agak menusuk  kelubuk hati yang paling dalam bagi mereka yang terasa,kerana sesuatu kekeliruan yang berpunca daripada silap faham secara akli (fikiran semata-mata) lebih mudah untuk diuraikan dengan hanya membawa beberapa hujjah logik sudah cukup.Tetapi sesuatu kekeliruan yang berpunca daripada perasaan (yang asasnya adalah nafsu ; nafsu di sini adalah inginkan keselesaan sepenuhnya tanpa saingan) ia tidak mudah untuk diselesaikan melainkan mesti di asingkan antara akal dan perasaan dengan soalan-soalan yang menggugat…supaya akal bebas berfikir tanpa gangguan emosi yang menyerabut.

Itulah yang saya faham daripada uslub al Quraan apabila menangani satu-satu isu membabitkan perasaan(juga dalam bab Poligami). Itulah uslub Surah al Tahrim yang menghentak perasaan sampai kelubuk hati yang paling dalam kepada dua wanita yang paling mulia di muka bumi ketika itu yang digelar “Ummahat al Mukminin” Ibu para Mukmin (Aisyah r.a dan Hafsah r.a  dan menjadi pengajaran kepada yang lain…)dengan hentakan berbentuk cabaran dan ugutan daripada Yang Maha Berkuasa apabila berlaku kesilapan dalam menguruskan perasaan dengan cara yang tidak betul sehingga melahirkan tindakan yang tidak betul dan mengesani tindakan Nabi s.a.w.

“ Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.

Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, – (meliputi) yang janda dan yang anak dara.”

[al Tahrim : 4-5]

Apa lagi perkataan yang lebih keras dan menusuk kalbu kepada seorang wanita yang bersuami dalam rumahtangga bahagia dan suaminya itu orang yang paling mulia di muka bumi ini daripada perkataan dalam uslub ugutan “Menceraikan dan menggantikan dengan orang yang lebih baik…” Kita bandingkanlah siapa kita dan siapa suami kita untuk tidak terasa dengan teguran seperti ini…Rasulullah hanya cenderung untuk tidak lagi makan madu yang dimakannya  di rumah salah satu daripada isterinya kerana ingin mera’ikan perasaan isteri-isterinya yang lain lalu ditempelak oleh Allah: (al Tahrim ayat 1)

Wahai Nabi! Kenapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini amat jelas menunjukkan satu penegasan daripada Allah supaya mengembalikan kepada asas pemikiran yang betul dalam membuat apa-apa pertimbangan (sebagai Neraca) dalam apa-apa hal dan tidak melayan perasaan yang berbagai daripada pihak yang pelbagai kerana perasaan ini seperti yang saya pernah ungkapkan dulu bahawa:

” Emosi hanya penting untuk memahami serta menggambarkan sesuatu yang bersifat emosi…tetapi dalam menyelesaikan perkara emosi asas pemikiran rasional adalah dituntut kerana emosi sifatnya tidak tetap adapun pemikiran ia bersifat tetap berdasarkan maklumat yang tepat…”

Sesiapa yang menjiwai uslub al Quraan Zauq Quraani“ akan dapat merasakan betapa tinggi dan beratnya  Tarbiyyah jiwa (Tazkiyyah al Nafs) yang diterima dan dilalui oleh para isteri Nabi, sudahlah mereka ditegur dengan teguran yang begitu keras dan menusuk hati , malah isu rumahtangga mereka  dipamerkan kepada khalayak umum oleh Yang Maha Mengetahui…(bagi menjadi teladan kepada generasi seterusnya  hingga qiamat…) dan itulah Tarbiyyah dan itulah Maqam Qudwah sebenarnya bagi seorang wanita Muslimah…

Oleh itu seseorang itu boleh dianggap berjaya dalam tarbiyyahnya apabila dia berjaya melepasi keadaan paling sukar serta rumit dalam hidupnya dan dalam keadaan itu dia masih boleh bertindak  mengikut asas pemikiran yang betul dan tidak terpengaruh dengan tekanan perasaannya…

Oleh itu bagi seorang wanita mukminah ( saya belum berbicara tetang lelaki) apabila Allah mentakdirkan dia berhadapan dengan isu poligami atau ujian hidup dalam rumahtangga berpoligami sebenarnya Allah ingin mengangkat martabatnya dari sudut “Tazkiyatu al Nafs” (pembersihan jiwa) ke martabat yang paling tinggi apabila dia dapat melaluinya dengan berpandukan segala tindakannya berasaskan asas pemikiran yang betul (yg diajar oleh al Quraan dan Sunnah) tanpa melayan pujuk rayu perasaanya…kerana itulah keadaan yang paling berat dan rumit bagi seorang wanita…dan apabila dia berjaya  melepasinya dengan taufiq dan hidayah Allah dia akan berada di “Maqam Qudwah ” walupun mungkin tidak menyerupai maqam para Ummahat al Mukminin dan juga Sarah Dan Hajar…

Bagi saya isu Poligami ini adalah satu perkara yang lumrah, sama ada kita suka atau tidak ia tetap akan berlaku kerana ia diharuskan… Dalam keadaan ia tidak diharuskan oleh undang-undang atau agama lainpun ia tetap berlaku melalui pintu belakang…Persoalannya adakah kita hendak membiarkan ia  berlaku begitu sahaja  dan berdiam seribu bahasa tanpa terurus? atau kita sebagai orang yang dikurniakan kebijaksanaan tampil untuk menguruskannya. Sekurang-kurang menguruskan daripada segi “Persiapan Minda Yang Betul” terhadapnya dan selok beloknya. Supaya apabila ia berlaku ia tidak akan membawa kepada keadaan kelam klibut yang banyak menjejaskan dan menggadaikan perkara-perkara asas yang lain… ATAU kita sanggup membiarkan saja pengarah filem dan para artis untuk melakonkan aksi contoh Poligami terbaik sebagai Solution kepada masyarakat…? Dan kita sebagai kumpulan dakwah atau orang yang ingin kembali kepada Islam hendaklah menjauhkan diri daripada berbicara tentangnya apalagi untuk mempraktikkannya kerana ia melambangkan sex yang selalunya jijik untuk dibicarakan…?

Atas asas ini saya mengambil inisiatif ini untuk kali ini, dengan cara saya tersendiri bagi merawat beberapa aspek Tarbiyyah yang saya nampak dan  dapat fahami daripada al Quraan dan Sunnah semoga ianya dapat memberi sumbangan manfaat kepada masyarakat (terutamanya pembaca ).Dan saya akan utarakan idea-idea  itu melalui sub tajuk berikut:

NasihatKu… Kepada Pasangan Berpoligami

-Suatu Takdir yang Mesti Dihadapi

– Menerima Hakikat.. Satu Yang akan Meringankan

– Syarat Tempat Rujukan

– Kebahagiaan Itu Tempatnya adalah di Hati

DAN SETERUSNYA…

NasihatKu… kepada yang bercadang untuk memulakannya

Nasihatku… kepada para isteri yang belum bermadu

Nasihatku… kepada para wanita yang belum bersuami

Nasihatku… kepada pengamal monogami terhadap kawan berpoligami

Sumber:   http://nasihatku.wordpress.com/2009/07/07/poligami-kebahagiaan-yang-dicari-kesengsaraan-yang-dituju/

Advertisements

Kisah Teladan – 4

Perjalanan yg jauh memerlukan bekalan yg cukup“Beberapa hari yang lalu, penulis bersolat Zuhr di Masjid UKM. Selepas solat Zuhr, pihak masjid mengadakan tazkirah Zuhr sementara menunggu ahli jemaah masuk semula ke pejabat. Walaupun tazkirah Zuhr itu hanya berlangsung selama lebih kurang 20 minit tapi ianya memberi kesan sebagai satu peringatan lebih-lebih lagi sebagai pencetus semangat di dalam mengharungi ibadah puasa.
 
Ustaz yang menyampaikan tazkirah pada hari itu memberitahu yang puasa ini ibarat satu ‘station’ atau tempat perhentian, yang mana kita perlu mengambil seberapa banyak bekalan kerana kita tidak mengetahui sejauh manakah lagi perjalanan yang akan kita tempuh untuk menuju akhirat.
 Berhenti makan, minum, rehat, tunai hajat sekejap...lepas tu sambung perjalanan ke destinasi yg nak di tuju.
Walaupun kata-kata itu sudah berlalu beberapa hari tetapi ianya masih segar dalam ingatan, begitulah fitrah bila kata-kata yang lahir dari hati yang ikhlas ia akan menusuk masuk ke dalam jiwa pendengarnya.
 
Hari ini sudah hari ke-7 kita berpuasa, ada 22 atau 23 hari lagi yang tinggal untuk kita mengaut bekalan…..bukan bekalan berupa wang berjuta-juta ringgit, harta benda yang banyak, kesenangan hidup di dunia, pangkat yang tinggi, kedudukan yang disanjung orang…..tetapi bekalan untuk kita menempuh perjalanan kita menuju akhirat, tempat tinggal kita yang kekal abadi.” Wallahu’alam.

Kisah Teladan – 3

Penulis ada membaca sebuah buku terbitan pustaka Al-Mizan (Malaysia) bertajuk POLIGAMI (Mengapa Rasulullah Berbilang Isteri) keluaran tahun 1988. Penulisnya ialah seorang ustazah, pensyarah di PPP-ITM, Shah Alam iaitu Ustazah Norain Ishak. Penulis buku itu cukup baik menghuraikan perihal poligami dari sudut sejarah, syarat-syarat, hikmah-hikmah, perkahwinan Rasulullah s.a.w. dan tujuan Rasulullah s.a.w. berpoligami. Pada prinsipnya, beliau menerangkan poligami dari segi kebaikan-kebaikan dan keindahan syari’at islamiah ini. Pada pendapat penulis Inilah contoh seorang Muslimah yang memahami ajaran Islam yang sebenarnya dan mempertahankannya serta sanggup berdepan dengan masyarakat yang selalu melabelkan poligami sebagai sesuatu yang menimbulkan masalah.

 
Soalan, berapa ramaikah wanita-wanita Islam yang berpendirian seperti ustazah ini? Wallahu a’lam.

Kisah Teladan

Memang payah sebenarnya nak keluarkan duit poket sendiri kerana nak tolong kawan. Kerja dahlah penat sebab tu pahalanya besar Kes 1

Fendy dan Zul ingin mengikuti satu kursus yang dianjurkan oleh
masyarakat setempatnya. Malangnya disebabkan masalah kewangan hasrat
mereka berkubur begitu sahaja. Ahmad mendapat tahu dari rakannya yang
Fendy dan Zul sangat berminat untuk menghadiri kursus tersebut tetapi
tidak kesampaian. Ahmad memberitahu Fendy dan Zul yang beliau sanggup
meminjamkan wang tabungnya bagi membiayai kos kursus mereka.

Kes 2Gambar hiasan - pasangan suami-isteri bahagia. "Wahai orang-orang muda! Cepat-cepat lah kahwin kalau mampu - pesanan ringkas dari orang lama bukan tua.

Razuki berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya namun begitu
disebabkan kos perkahwinan agak tinggi beliau terpaksa menangguhkan
hajatnya seketika. Lagipun dia baru saja mendapat pekerjaan selepas
mengikuti kursus ijazah selama 4 tahun lebih. Dia juga risau yang
usianya sudah hampir mencecah 30’an dan juga desakan dari keluarga
untuk melihatnya mendirikan rumahtangga. Tambahan pula Razuki sudah
bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai suami-isteri bersama teman
wanita pilihannya. Osman, teman rapat Razuki memberitahu Razuki yang
rakannya, Nasir, boleh memberi pinjaman bagi menampung sebahagian
kos perkahwinannya. Berita itu disambut baik oleh Razuki walaupun
dia tidak mengenali Nasir.

Kes 3

Zubair dikurniakan Allah Taala kekayaan hasil dari perniagaannya.
Zubair ialah seorang kaya yang dermawan. Ustaz Rashid pergi berjumpa
dengan Zubair untuk meminta sedikit derma bagi pembinaan Masjid di
tempatnya. Zubair memberitahu Ustaz Rashid yang dermanya dikhaskan untuk
orang-orang susah dan kepada pemuda yang belum berkahwin dan
ingin berkahwin tetapi mempunyai masalah kewangan utk menampung kos
perkahwinan yang semakin meningkat. Ustaz Rashid sudah berumahtangga
dan beliau pulang dengan hampa tanpa mendapat satu sen pun dari
Zubair.

Kisah-kisah yang dipaparkan adalah kisah benar walaupun nama-nama yang
digunakan adalah nama samaran. Penulis merasakan nama tidak begitu penting yang penting isinya supaya menjadi teladan kepada kita semua. Dalam kehidupan serba moden ini, ramai yang hanya mementingkan dari aspek materialistik sahaja tanpa mengambil kira aspek pahala. Contoh-contoh yang ditunjukkan oleh
Ahmad, Nasir dan Zubair benar-benar dagang (strange) dalam zaman sekarang yang mana mereka mengenepikan kepentingan diri sendiri dengan membantu rakan-rakan mereka yang sangat-sangat memerlukan.
 
Masih adakah orang-orang seperti Ahmad, Nasir dan Zubair wujud dalam masyarakat sekarang ini?

 

Hentikan Poligami – PBB

Komen penulis:

Seseorang Muslim atau Muslimah yang berpegang kepada ajaran-ajaran Islam yang syumul (komprehensif) akan mentaati dan mengikuti ajaran-ajaran Islam sehingga ke akhir hayat mereka. Seorang Muslim dan Muslimah yang ikhlas beriman dengan ajaran-ajaran Islam iaitu mematuhi segala perintah-perintah Allah Taala dan menjauhi segala larangan-laranganNya, akan sentiasa berhati-hati di dalam percakapan, perlakuan dan gerak-geri mereka. Hati mereka sentiasa gementar dan takut kepada yang Maha Pencipta, Tuhan Semesta Alam, kerana segala perbuatan mereka akan diperhitungkan di akhirat nanti.

Muslim dan Muslimah juga adalah orang yang bijak menilai sesuatu. Mereka mengambil nilaian Allah (atau celupan Allah) sebagai nilaian yang teratas jika dibandingkan dengan nilaian-nilaian manusia. Tambahan pula, nilaian manusia yang tidak beriman kepada Allah Taala dan Hari Kebangkitan akan menjerumus kepada hawa nafsu yang tidak baik dan mengikut jejak-jejak syaitan laknatullah. Penulis meminta perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. Walaupun nilaian manusia itu nampak hebat, cantik tetapi sekiranya tersasar dari ajaran Islam yang sebenarnya maka itu tiada nilaiannya di sisi Allah Taala. Kita jangan lupa bahawa musuh-musuh Islam sentiasa siang dan malam memikirkan bagaimana supaya Muslim dan Muslimah menjadi pengikut mereka dan meninggalkan jauh ajaran-ajaran Islam yang sebenarnya di dalam kehidupan Muslim dan Muslimah. Astaghfirullah. 

01/02/2008 11:51pm

GENEVA 1 Feb. – Kerajaan Arab Saudi perlu menghentikan amalan berpoligami kerana ia bertentangan dengan prinsip kesaksamaan gender, kata jawatankuasa bagi hak wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jawatankuasa itu dalam laporannya turut mencadangkan Arab Saudi memperkenalkan had umur minimum perkahwinan, selain menamatkan hak penjagaan oleh kaum lelaki dan mengambil segala langkah bagi mengurangkan penganiayaan ke atas wanita.

– AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0201&pub=utusan_malaysia&sec=terkini&pg=bt_0.htm&arc=hive