Bicara poligami…(15)

Ada seorang ustaz, da’ie, harakiyy, pernah berkata utk memahami syariat poligami di dalam Islam biasanya orang yg berumur 40 tahun ke atas. Saya menambah… umur 37 thn, 38 thn pun boleh memahaminya juga.

Saya bimbang sebenarnya bila mendengar perkataan tidak rela, tidak suka, benci, menyampah, meluat, ttg syariat poligami ini.

Misalan yg ingin saya utarakan di sini spt berikut:

Saya tidak rela ayah saya mengamalkan poligami, sebab saya tidak suka syariat poligami. Kenapa tidak suka syariat poligami sebab ayah saya tidak layak utk berpoligami. Sebab apa ayah saya tidak layak berpoligami sebab dia masih kurang penglibatannya dalam dakwah. Jadi dia masih tidak layak utk berpoligami sehinggalah ayah saya menjadi seorang da’ie yang komited, yang taat beribadah macam ‘alim ulama’. Apa syarat poligami sebagaimana yang Allah Taala nyatakan di dalam Al-Quran? Allah Taala berfirman sekiranya kamu boleh berlaku adil kamu boleh mengahwini wanita-wanita dua, tiga, atau empat. Sekiranya kamu takut tidak boleh berlaku adil kahwini seorang sahaja.

Kenapa kamu tidak rela? Sebab kamu benci kepada syariat poligami. Sebab kamu selalu tonton di dalam TV, filem banyak keburukan ttg poligami. Sebab apa kamu kata syariat poligami buruk sebab kamu tak jumpa contoh yang baik. Mungkin sebab kamu tak baca sirah Islam, bagaimana terdapat banyak contoh2 para sahabat Baginda, tabi’in dan banyak lagi yang menunjukkan contoh yg baik. Kamu tak yakin apa yg Allah Taala turunkan iaitu syariat poligami? Kamu tak baca Al-Quran surah Al-Nisaa’ ayat 3? Atau kamu skip (langkah) saja ayat itu dan baca ayat2 yg lain saja? Bolehkah kamu tinggalkan satu ayat di dalam Al-Quran sebab kamu tidak suka syariat itu? Jawapannya sudah tentu tak boleh sebab kita WAJIB beriman kepada Al-Quran keseluruhannya.

Nasihat saya: Belajarlah daripada guru/ustaz yg ikhlas dan berpengalaman…ilmu bukan semata-mata melalui buku tetapi banyaknya datang dari pengalaman hidup.

Marilah kita sama-sama bertaubat sebelum kita dipanggil pulang oleh Allah Taala dalam keadaan kita membenci syariatnya. Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah…

Anda kedekut! Bila…

Apakah perasaan anda bila penulis memberi tajuk di atas? Marah? Geram? Benci? Anda tidak sepatutnya bersikap sedemikian! Anda tidak sepatutnya marah, geram, benci atau apa-apa saja perasaan buruk yang terlintas di dalam dada anda terhadap penulis. Pada hakikatnya anda sememangnya seorang yang kedekut. Bahkan orang yang paling kedekut di atas dunia ini (pen.). Mungkin lebih kedekut daripada Hj Bakhil di dalam filem P. Ramlee. Sekurang-kurangnya Hj Bakhil beri juga sedekah walaupun niatnya kerana wanita.

Anda kedekut bila terdapat ciri-ciri seperti yang penulis hendak bentangkan di bawah ini. Ciri-ciri tersebut ialah:

  1. Bila anda meluangkan masa beribadat kepada Allah pada masa-masa terluang anda sahaja, iaitu masa-masa lebih anda sahaja – “spare time”,
  2. Bila anda terlalu sibuk dengan urusan “routine” harian anda sehingga anda mengabaikan tanggungjawab anda untuk beribadat kepada Allah,
  3. Bila anda memperuntukkan sedikit sahaja dari tenaga, masa, wang atau harta benda anda untuk beribadat kepada Allah,
  4. Bila anda tidak sanggup untuk membelanjakan wang anda untuk beribadat kepada Allah.

Sudah jelas sekarang bagaimana status anda. Anda mahu menduduki syurga bahkan syurga firdaus, syurga tertinggi, tetapi anda kedekut untuk beribadat kepada Allah. Harapan anda tidak seiring dengan tindakan anda.

Pesanan ini adalah terutamanya untuk diri penulis sendiri dan sekiranya ada kebaikan di dalamnya ianya untuk anda juga. Sekiranya ada yang baik itu adalah datangnya dari taufiq dan hidayah Allah, manakala sekiranya ada kelemahan itu adalah datangnya dari kelemahan dan kesilapan penulis jua.

Muhasabah Diri – 2

Golongan yang beriman dan mendapat petunjuk mengetahui bahawa kematian bukanlah pengkalan terakhir tetapi ia merupakan permulaan. Ia bukanlah tidur, tetapi merupakan bangun daripada tidur, sebagaimana dikata orang: “Manusia semuanya tidur. Apabila mati barulah mereka sedar. “Mereka mengetahui bahawa di sebalik kematian ada kehidupan yang lebih panjang; kehidupan yang tidak akan berakhir. Di dalam kehidupan tersebut, yang ada hanyalah nikmat yang berkekalan atau azab yang pedih.

 Sifat panjang angan-angan sememangnya tertanam di dalam diri manusia. Oleh itu, walaupun kematian adalah perkara yang paling hampir kepada pancaindera kita, tetapi ia merupakan perkara yang paling jauh daripada pemikiran kita. Setiap hari kita melihat gerombolan yang membawa keranda melalui rumah kita, tetapi kita tetap merasa bahawa kita kekal. Setiap hari kita mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, tetapi kita masih berbicara tentang dunia. Kita sentiasa melihat tanah-tanah perkuburan memenuhi pelusuk dunia, tetapi kita tidak pernah berfikir bahawa suatu hari kita akan menjadi salah seorang penghuninya. AstaghfirulLah. Tanah-tanah perkuburan itu akan menjadi kediaman tubuh badan kita. Adakah kita mengetahui apakah sebenarnya tubuh badan kita? Kita melihat seseorang memakai pakaian dan akan menanggalkannya jika kotor. Kita juga melihat apabila seseorang kanak-kanak dilahirkan, maka dia akan meninggalkan dan keluar daripada urinya. Kita juga melihat seseorang meninggal dunia lalu rohnya berpisah daripada jasadnya. Jasad hanyalah pakaian yang boleh dipakai dan ditanggalkan. Dan jasad itulah juga yang diletakkan di dalam tanah.

Manusia sentiasa melupakan kematian. Tetapi orang mukmin sentiasa mengingatinya dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapinya. Dia bersiap sedia dengan melakukan taubat, istighfar dan mengembalikan semua hak orang lain yang ada padanya. Setiap pagi dan petang dia sentiasa memuhasabah diri. Dia bersyukur kepada Allah jika diberikan taufiq untuk melakukan kebaikan. Dia beristighfar meminta ampun jika melakukan kejahatan. Dia mengingati akhirat. Dia takut untuk menghadapi hari yang akan membalik-balikkan muka dan membeliakkan pandangan manusia. Dia bimbangkan azab yang akan berlaku selepas kematian. Dia mengharapkan pahala dan balasan baik selepas kematian. Dia menjadikan sifat sabar dan solat sebagai penolong. Dia melakukan kebaikan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan apa yang ada di sisi-Nya.

  

Muhasabah Diri

Indahnya dunia, tapi ianya tidak kekal...Semalam penulis mendengar berita kawan kepada kawan penulis baru sahaja meninggal dunia. Umurnya belum sampai 40 tahun. Beberapa orang di pantai timur mati akibat banjir. Begitu juga kemalangan maut di lebuhraya melibatkan beberapa orang tua dan muda. Kawan penulis pernah memberitahu kepada penulis yang kita akan mati bila-bila masa. Walaupun kata-kata itu “simple” tapi maknanya cukup “power”. Setiap kita akan menghadapinya. Apa yang penting sekarang ialah tindakan kita, our action, sebelum hari yang akan tiba bila-bila masa itu. Cukupkah muhasabah yang telah kita lakukan? Atau kita rasa tak perlu lagi muhasabah kerana kita rasa masih ada banyak masa? Banyak masa dengan bila-bila masa tentulah dua makna yang berbeza. Sekiranya dirujuk kepada pakar bahasa Melayu tentulah mereka mengatakan yang banyak masa dengan bila-bila masa tidak sama.

Sujud kepada Allah Yang Maha Esa

Orang yang mengatakan dia masih ada banyak lagi masa pun tak tahu berapa banyak masa yang dia ada. Apakah muhasabah yang kita kena lakukan setiap hari? Pernahkah kita mendengar kata-kata “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab?” Walaupun umur semakin bertambah hari demi hari, manusia tetap mencintai dunia dan melupakan akhirat. Ada yang hendak membesarkan rumah, nak tambah dapur, nak tukar kereta baru, dari pakai kereta nak tukar ke MPV, ada yang nak kahwin lagi dan bermacam-macam lagi yang kebiasaan kesenangan yang ada. Tetapi manusia tidak sedar yang setiap detik masa yang diperuntukkan di dunia ini adalah supaya manusia beribadat kepada Pencipta mereka.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Al-Zariaat:56).

Keseronokan, kesenangan dunia memang sudah menjadi idaman manusia sejak dahulu lagi; zaman dulu atau zaman moden, miskin atau kaya, tua atau muda.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali ‘Imran:14).

Pertama-tama kita perlu lihat diri kita sendiri sebelum kita melihat orang lain. Adakah kita termasuk di dalam senarai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Taala di dalam ayat di atas? Cintakah kita kepada kesenangan hidup di dunia seperti yang disebut; wanita-wanita, anak-pinak, kuda pilihan, binatang ternakan, ladang, emas, perak dan banyak lagi kesenangan-kesenangan yang lain sehingga melupakan diri kita dari menyembah Allah Yang Maha Esa? Na’uzubillaahi min zaalik.

Drama Lakonan Aziz Singah

Tanah GersangAda satu drama di TV dalam tahun 1980an lakonan Aziz Singah yang masih dalam ingatan. Ceritanya tentang kematian. Dalam drama itu digambarkan yang si mati melihat suasana pada masa mayatnya masih berada di dalam rumah ketika menunggu masa untuk dikebumikan di tanah perkuburan. Maka ada suara (si mati) yang bercakap pada masa itu, Aziz Singah, mengatakan rakan-rakan yang menziarahi jenazahnya pada masa itu ada yang berbual-bual, bergelak ketawa seolah-olah tidak mengendahkan mayat di sisi mereka. Seperti perkara lazim yang berlaku pada hari itu. Padahal hari itu adalah hari kematian rakan mereka. Selepas itu jenazah di bawa ke tanah perkuburan dan kubur ditimbus sedikit demi sedikit sehingga menjadi gelap. Apa yang menarik ketika itu suara si mati mengatakan yang dirinya sudah tinggal berseorangan dan suasana kegelapan yang dialaminya di dalam kubur. Cerita itu habis di situ.

Bagi penulis cerita ini sangat bagus dan berkesan kerana sehingga kini, sudah lebih 20 tahun, penulis masih mengingatinya. Setiap orang akan merasai satu saat yang dinamakan mati. Itu adalah satu hakikat. Setiap hari kita mendengar dari radio & televisyen berkenaan dengan orang yang mati kemalangan, puting beliung, lemas dan lain-lain lagi. Orang yang mati itu orang lain bukan kita. Satu hari nanti, kita tidak tahu bila, di mana dan bagaimana, lambat-laun kita akan menghadapinya juga.

Persoalannya adakah kita sudah membawa bekalan yang cukup untuk menghadapi situasi itu? Bagaimana nasib kita nanti ketika berada di alam barzakh? Adakah kita sudah bersedia dengan soalan-soalan yang akan ditanya oleh Munkar & Nakir? Walaupun kita sudah mengetahui apakah soalannya tapi mampukah kita menjawabnya di situasi yang dahsyat itu? Apakah yang akan kita tempuhi di padang Mahsyar nanti, bahagiakah atau sebaliknya? Di padang Mahsyar, kita sudah tidak boleh kembali ke dunia lagi untuk melakukan amal soleh? Berbeza dengan peperiksaan yang kita lalui di universiti. Sekiranya gagal dalam sesuatu subjek, kita masih dibenarkan mengulang dan diberi peluang untuk mencuba bagi kali kedua, ketiga dan seterusnya. Tetapi di sana, di padang Mahsyar, tidak ada lagi peluang untuk memperbaiki amalan kita di dunia ini. Hidup ini hanya sekali, peluang beramal soleh hanya sekali di dunia ini. Tidakkah kita mahu merebutnya? Ingat kita hanya ada satu nyawa di dunia ini.

Sudah pasti sekiranya kita memahami dan menyedari dengan bersungguh-sungguh akan dahsyatnya keadaan di akhirat kelak, maka kita akan melakukan segala amal-amal soleh di dunia ini mengikut sedaya upaya yang kita ada. Kata orang full swing. Kita tidak mahu berhasad dengki dengan rakan-rakan sekerja kita dengan melakukan fitnah, memburuk-burukkan orang lain untuk kepentingan peribadi kita, tidak mahu bercakap perkara-perkara yang tidak memberi menafaat kepada kita, tidak mahu merebut pangkat dan harta dengan cara yang tidak halal kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh anggota badan, kaki & tangan, akan menjadi saksi di akhirat. Kita tidak mahu untuk tidak menghormati orang-orang tua, tidak mengasihi orang-orang muda dan kanak-kanak. Kita tidak mahu untuk tidak menghormati guru-guru yang telah mendidik dan membimbing kita. Juga kita tidak mahu merebut jawatan dalam organisasi atau di tempat kerja dengan menindas orang lain atau menjatuhkan maruah orang lain atau dengan apa cara sekalipun yang tidak betul.

Jadi natijah dari kesedaran inilah yang akan mengubah perlakuan, pemikiran dan syakhsiyah diri kita. Kita akan menjadi seorang yang baik. Ya, tepat sekali kita akan menjadi orang baik. Malukah kita dipanggil orang baik? Tidak. Kita tidak malu dicop sebagai orang baik kerana itu adalah kehendak yang lahir dari dalam diri kita sendiri. Kerana menjadi orang baik adalah pilihan hati kita, our own choice. Kerana itu juga bertepatan dengan kehendak agama Islam yang suci. Tidak rugi kita menjadi orang baik. Mungkin setengah-setengah pendapat orang ramai jadi orang baik tidak standard, tidak mengikut peredaran zaman, kolot, atau apa-apa sahaja gelaran yang diberi kita tetap dengan pendirian kita. Itu pandangan orang ramai, apa yang kita hendak ialah pandangan agama Islam. Pandangan orang ramai tidak ke mana. Kalau ada kebaikan bolehlah ikut tapi kalau tidak sehaluan dengan ajaran Islam maka yang Islam itu yang kita ikut. Acuan yang disukai oleh Islam itulah yang terbaik sebab yang akan menghadapi mati dan seterusnya yang akan melalui pengembaraan ke alam akhirat ialah diri kita sendiri, we are alone, nobody is going to help us at that time, yeah we are going to face it alone. So, let’s think about it.

Coretanku Buat Remaja

Aku dibesarkan di sebuah kawasan perkampungan. Suasana yang jauh dari kesibukan ibukota sungguh nyaman dan tenang. Aku bersekolah di peringkat rendah berhampiran dengan rumahku. Seronok rasanya dapat belajar dan bermain dengan rakan-rakan sebayaku. Ayahku meninggal dunia semasa aku masih bersekolah rendah. Maka hiduplah aku di bawahRemaja harapan generasi akan datangjagaan ibu yang tercinta. Aku melihat pengorbanan ibuku yang terpaksa bekerja untuk menampung kehidupanku sekeluarga sehari-hari. Penat lelah ibuku pergi kerja dan pulang dari kerja jelas terbayang di wajahnya. Itulah sebuah pengorbanan seorang ibu untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Pada masa itu aku belum memahami erti kehidupan. Hari-hari yang berlalu aku hanya tahu untuk memenuhi keperluan makan, minum dan menghabiskan masa bermain-main dengan kawan-kawan. Itulah kehidupanku di zaman peringkat kanak-kanak sehingga menempuh zaman remaja. Kini baru ku sedar bahawa titik peluh dan pahit getir untuk mencari rezeki Allah di muka bumi ini adalah tanggungjawab sebagai seorang insan kerana Allah akan memberi rezeki kepada sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh dan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.

Kekuatan fizikal tidak diabaikan

Manusia kena berusaha dan Allahlah yang mengurniakan rezeki kepada makhlukNya mengikut kadar yang telah ditetapkan. Semoga Allah membalas jasa ibu dan ayahku kerana kesusahan demi kesusahan yang telah ditempuhi mereka selama mereka mendidik dan membesarkanku. Dan semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan merahmati mereka yang telah mendidikku sejak dari kecil. Sekiranya ada kecantikan pada wajah kita ini tidak lain dan tidak bukan adalah apa yang kita warisi dari ayah dan ibu kita. Sekiranya ada kecerdikan pada akal kita ianya adalah apa yang diwarisi dari ayah dan ibu kita.

Zaman remaja semasa di peringkat sekolah menengah, aku bersekolah berhampiran dengan rumahku. Seperti remaja-remaja lain aku menghabiskan masa lapangku bermain bolasepak dan turun ke padang untuk mengail ikan. Masa remaja memang begitu suka bermain dan tidak tahu sangat dunia luar. Alhamdulillah aku tamat mengaji Al-Quran semasa di sekolah menengah yang menjadi bekalanku untuk hidup di kemudian hari. Dengan izin Allah aku menjadi minat terhadap ilmu-ilmu Islam semasa di sekolah menengah. Aku sentiasa menghadiri kuliah-kuliah di surau berdekatan dengan rumah boleh dikatakan saban hari. Suasana beginiku rasakan sungguh seronok dan ketenangan jiwa yang aku nikmati setiap kali aku melangkah kakiku ke surau untuk solat berjemaah dan mendengar pengajian di waktu maghrib. Walaupun pada masa itu ramai yang hadir di surau terdiri dari orang-orang yang telah tua dan pencen tetapi aku tidak berasa malu atau segan untuk duduk bersama-sama dengan mereka. Apa yang aku pelajari adalah perkara-perkara asas mengenai Islam seperti aqidah ahli-sunnah wal jamaah, bab toharah, solat, dan sebagainya. Itulah Islam yang aku fahami pada masa itu ditambah dengan pelajaran agama Islam di sekolah. Satu perasaan yang dirasai iaitu kawanku yang bersekolah di sekolah agama lebih beruntung kerana dapat mendalami ajaran Islam dengan lebih luas dan mempelajari bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran. Mengapakah pada masa itu aku berfikir demikian? Ilmu Allah sangat luas di mana-mana kita boleh mencarinya. Asalkan ada kemahuan yang tulen. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dan yang terpenting adalah dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah Taala semata-mata.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat menengah, aku berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Saat ini adalah sangat-sangat diimpikan oleh setiap remaja sebayaku. Inilah peluang untuk menjelajah, mengenal dan melihat negara orang. Aku tidak menyangka yang perjalanan hidupku begitu seronok sekali semasa zaman remaja. Taqdir telah menentukan yang aku akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Di sana aku mengenal adat, budaya dan agama bangsa-bangsa lain. Kehidupan mereka sangat jauh berbeza dengan kita. Segala puji-pujian kepada Allah kerana memberi petunjuk dan hidayah ke jalan yang benar. Jalan yang diredhaiNya. Jalan para anbiya’. Jalan orang-orang yang soleh. Alhamdulillah. Di sana ku melihat kehidupan mereka tidak mempunyai matlamat yang jauh. Mereka hanya tahu memuaskan hawa nafsu. Makan. Minum. Berpesta. Pendek kata hanya mahu berseronok dengan hidup di dunia ini. Tidak mahu memikirkan akan nasib di kemudian hari. Sungguh jauh kesesatan yang telah mereka lalui. Bersyukur kita kerana dikurniakan Allah dengan nikmat iman dan Islam. Nikmat hidup di bawah petunjuk dan pedoman Allah. Nikmat memahami Al-Quran. Nikmat mendapat panduan dan tunjukajar dari RasulNya bagi mengharungi liku-liku hidup di dunia yang fana ini. Kehidupan di dunia hanya sekejap jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat. Satu hari di akhirat adalah sama dengan seribu tahun di dunia. Akhirat adalah tempat yang kekal abadi. Dunia hanya sementara. Dunia tempat beramal mencari keredhaan Allah. Akhirat ialah tempat pembalasan di atas apa yang dilakukan di dunia ini. Dunia tempat berusaha. Akhirat tempat menuai hasil. Dunia ini fana. Akhirat kekal selama-lamanya. Syukur di atas jalan Islam yang mana akan selamat sesiapa yang mengimani dan melaluinya.

Diizinkan Allah aku menghadapi ujian yang amat berat setelah beberapa bulan aku berada di rantau orang. Ibuku telah pergi buat selama-lamanya. Saat kegembiraanku menjejaki kaki di luar negara menjadi murang kerana aku hanya mempunyai seorang saja ibu di dunia ini. Tidak ada penggantinya. Insan yang telah melahirkanku ke dunia ini. Aku menitiskan air mata di tengah malam mengenangkan peristiwa-peristiwa silam bersamanya. Masih lagiku ingat wajahnya yang sedih bercampur gembira semasa dia menghantarku ke lapangan terbang. Sekarang peristiwa itu hanya kenangan yang tersemat di hatiku. Dalam umur remaKekuatan mindajaku aku telah kehilangan ibu yang tercinta, orang yang selama ini telah menyara hidupku semasa kecil sehinggalah remaja. Aku berserah kepada Allah dengan banyak bersabar di atas dugaan yang hebat ini yang aku tempuhi keseorangan di rantau orang.

Rakan-rakan seangkatanku telah menjadi penawar luka di hati. Sesungguhnya jasa mereka semasa aku kesusahan sangatlah besar. Mereka yang telah menenangkan kembali kedukaanku. Merekalah yang mengajakku solat bersama-sama, bermain bola bersama-sama sehingga aku merasakan bahawa dunia ini masih cerah buatku. Mereka jugalah yang menunjuk ajar kepadaku erti kehidupan sebenar. Matlamat hidup sebenar di muka bumi ini. Dari mana kita datang? Kenapa kita dijadikan? Ke manakah kita akan dikembalikan? Merekalah yang mengajarku mengenal Islam dalam bentuk yang lebih luas, bukannya seperti yang ku fahami selama ini. Mereka jugalah yang menunjukkan cara berukhuwwah sesama rakan-rakan yang mana belum pernahku alami selama ini. Mereka juga yang menunjukkan contoh teladan bukan sahaja ucapan manis di bibir. Ini kurasakan satu anugerah yang besar iaitu dapat mengenali Islam secara menyeluruh dan dapat mengenali rakan-rakan yang mahu mengajakku ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup.

Akhir kata kehidupan di zaman remaja adalah sesuatu yang mencabar sekiranya kita tidak mendapat bimbingan dan petunjuk ke jalan yang benar sebagaimana yang ditunjuk ajar oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu laluilah zaman remajamu dengan mendapat bimbingan dan petunjuk dari orang-orang yang soleh yang ikhlas menyayangimu semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah Taala.

1 Ramadhan 1428H = 13 Oktober 2007