Kisah Teladan – 2

Ada seorang kawan saya yang berasal daripada Indonesia menceritakan sebuah kisah benar yang berlaku di Mesir. Kawan saya mendapat cerita ini daripada kawannya yang belajar di Mesir. Ceritanya begini:
Ada seorang ustazah orang arab Mesir yang menolak peraturan poligami dan yang lebih dahsyat lagi dia menyebut ketidakpuasan hatinya tentang poligami di dalam ceramah-ceramahnya. Waktu itu umurnya lebih kurang 27 tahun. Keadaan ini berlarutan selama lebih kurang 7 tahun dan ustazah ini masih lagi belum dilamar orang. Memandangkan umurnya sudah mencecah 34 tahun tapi masih belum berkahwin maka timbullah di hatinya keinsafan tentang apa yang telah dilakukannya yang akhirnya dia menerima peraturan poligami sebagaimana yang disyari’atkan oleh Islam.
Pada satu hari datang seorang kaya yang ingin melamarnya untuk menjadikannya isteri kedua dan maka pergilah orang kaya itu dengan niat untuk melamar ustazah tersebut berjumpa  dengan kakaknya. Oleh kerana kakaknya tidak mengetahui yang adiknya sudah berubah iaitu sudah menerima hukum poligami maka dia mengatakan kepada orang kaya itu supaya membatalkan sahaja niatnya untuk berkahwin dengan adiknya kerana adiknya adalah seorang yang menolak peraturan poligami. Orang kaya itu tidak jadi memperisterikan ustazah itu. Kakaknya memberitahu kepada adiknya tentang peristiwa itu. Ustazah itu terkejut lantas memberitahu kakaknya yang dia telah insaf dan tidak lagi menolak peraturan poligami seperti mana yang dilakukannya dahulu. Ustazah itu mengatakan kepada kakaknya yang sekiranya dia menjadi isteri kedua dia ikhlas membenarkan suaminya berkahwin untuk isteri yang ketiga. Wallahu a’lam.

Masa Itu Kehidupan

Masa. Ramai orang bercakap tentang masa. Ada pepatah mengatakan “Masa Itu Emas”. Maknanya betapa mahalnya harga masa itu sehingga dinisbahkan dengan nilai emas. Jam di tangan kita, tidak kira samada di kiri atau kanan tangan kita akan sentiasa berdetik walaupun kita tidak menghiraukannya. Masa tetap berlalu.Kesenangan dunia hanya sementara...

Bagi pelumba F1, masa yang dihabiskan di “pit stop” amat berharga bagi mereka kerana masa yang digunakan untuk mengisi minyak, menukar tayar atau apa-apa keperluan kereta F1 itu menentukan mereka berada di nombor 1 ataupun hanya berpuas hati dengan nombor 7 atau nombor 10.

Dalam peperiksaan penting bagi seseorang pelajar pula masa menjadi ukuran samada pelajar itu berjaya dengan cemerlang ataupun tidak. Ya. Itulah masa. Amat penting di dalam kehidupan kita. Pepatah arab mengatakan al-waqtu hayah bermakna “masa itu kehidupan”. Setiap detik masa yang berlalu itulah kehidupan yang kita lalui di dunia ini. Manusia hidup lebih kurang 60 atau 70 tahun. Ada yang umur panjang sampai 80, 90 tahun. Tapi ada meninggal dunia semasa muda remaja 20an, 30an atau 40an. Walaubagaimana panjang atau pendek sekalipun umur yang manusia ‘spend’ di dunia ini ianya hanya sekejap jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat nanti. Satu hari di akhirat adalah 1000 tahun di dunia. Jadi sekiranya manusia hidup 60 tahun di dunia maka di akhirat hanyalah 60/1000 hari atau 0.06 hari sahaja di akhirat. Sangat pendek masanya.

Sehubungan dengan itu, adakah kita asyik mengejar keseronokan dunia sahaja sehingga melupakan bekalan yang perlu kita bawa untuk ke akhirat kelak. Penulis menggunakan perkataan bekalan kerana kita di dunia ini adalah seperti pengembara yang singgah sekejap di kawasan rehat kerana untuk berehat seketika sebelum menyambung perjalanan yang jauh. Cuma berbeza di kawasan rehat kita berehat untuk makan dan minum atau melelapkan mata sekejap tetapi pada hakikatnya di dunia ini kita tidak ada masa rehat yang panjang bila mengenangkan bekalan yang belum mencukupi iaitu merupakan amal ibadat dan pengabdian kita kepada Allah Taala. Pengabdian atau ubudiah kita kepada Allah Taala itulah sebenarnya menjadi tujuan kita hidup di dunia ini. Allah Taala tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaNya semata-mata. Sebab itu Allah Taala menjadikan kita bukan untuk bermain-main tetapi untuk kita beribadat kepadaNya semata-mata dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatupun.

Bekalan apakah yang patut kita sediakan untuk perjalanan kita di negeri akhirat nanti? Tentulah banyak perkara yang boleh kita lakukan. Di antaranya ialah:-

  1. Menunaikan segala yang fardhu dan wajib ke atas diri kita seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya,
  2. Berusaha melakukan perkara-perkara sunat seperti solat sunat, puasa sunat, bersedekah, menolong fakir dan miskin dll,
  3. Solat berjemaah di masjid atau surau terutama solat subuh,
  4. Memperbanyakkan membaca Al-Qur’an. Berusaha mengkhatamkan Al-Qur’an dalam masa sebulan,
  5. Infaq di jalan Allah. Memberi bantuan kewangan untuk kerja-kerja yang berfaedah kepada masyarakat terutama orang-orang yang memerlukan pertolongan,
  6. Merenung dan memikirkan tentang alam semesta. Mengkagumi kehebatan Allah sebagai Pencipta alam semesta,
  7. Berusaha mendalami dan memahami fikrah atau ideologi Islam yang sebenar sebagaimana yang Zikrullahdikehendaki oleh Allah Taala.
  8. Semoga Allah Taala memberi kita taufiq dan hidayahNya untuk kita mengamalkan semuanya kerana kita tidak tahu bilakah kita akan dipanggil bertemu denganNya. Amin.

 

Satu hari…

Pada hari Sabtu lepas, penulis menerima sebuah sms daripada rakan sekerja penulis. Berita sedih. Salah seorang rakan sekerja penulis telah meninggal dunia akibat diserang sakit strok. Beberapa hari sebelum itu, penulis sempat minum petang bersama-sama dengan arwah di cafeteria. Sungguh tak disangka. Memang begitulah lumrah hidup, kematian akan datang pada bila-bila masa. Tidak dilewatkan dan tidak dipercepatkan. Masanya sudah ditentukan. Tak kira apa penyakit yang menimpa sekalipun kematian pasti datang mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh yang Maha Berkuasa. Apa yang penting bagi kita ialah bersiap siaga sepanjang masa. Maksud penulis bersiap untuk kita menghadapi kematian. Yang selalu kita dengar ialah orang lain yang meninggal dunia bukan kita. Bukan lagi kita.

Bayi baru lahir pun ada yang meninggal dunia. Remaja belasan tahun ada yang mati. Orang yang baru mendirikan rumahtangga bersama pasangan yang sangat dicintai pun ada yang meninggal dunia. Orang yang baru dinaikkan pangkat, orang yang ada kereta BMW, Merc, Kanc (kancil), pun meninggal dunia. Orang yang umur baru 40 tahun-baru memulai hidup-pun ada yang mati. Orang yang lanjut usia, pencen pun ada. Bagaimana dengan diri kita? Bersediakah kita untuk menghadapi saat-saat kematian? Cukupkah amalan baik yang telah kita lakukan setiap hari? Ayuh! Kita bangkit melawan nafsu kita yang sentiasa hendak hidup seronok-seronok dengan mengabaikan suruhan Allah Taala. Kita bangun dari tidur lena dan kuatkan semangat untuk mengislah diri supaya menjadi insan soleh. Ayuh! Sama-sama kita berlumba mengejar syurga yang kekal abadi. Ya Allah! Berilah kekuatan kepada hamba-hambaMu ini untuk mematuhi segala perintah-perintahMu dan menjauhi segala larangan-laranganMu. Amin ya rabbal ‘alamin.

Tiga Persoalan Asas Yang Mesti Dijawab

Ada tiga persoalan asas yang perlu kita tanya diri kita sendiri.

  1. Dari mana kita datang?
  2. Kenapa kita datang ke muka bumi ini?
  3. Ke manakah kita akan dikembalikan?

Mari kita renung diri kita. Adakah kita pernah terfikir untuk mengeluarkan persoalan yang begitu asas ini di dalam hati kita? Bagi seorang jurutera, dia mungkin pernah menjawab soalan rumit termodinamik atau jet combustion. Bagi seorang doktor, dia mungkin pernah menyelesaikan masalah pengaliran darah di dalam otak atau soalan anatomi yang kompleks. Seorang jurutera nuklear pula mungkin pernah menemui formula atom yang sofistikated. Seorang pakar matematik pula mungkin pernah menjawab soalan kalkulus yang memerlukan super komputer untuk mencari penyelesaiannya. Tidak kurang juga seorang ahli astronomi membuat pengiraan yang panjang bagi kedudukan sesuatu bintang atau galaksi.

Walaupun soalan-soalan kompleks atau penemuan-penemuan yang canggih yang dijumpai oleh manusia di zaman ini, namun kita mesti kembali kepada tiga persoalan asas seperti di atas. Supaya kita mengenal siapa kita sebenarnya. Apa tujuan hidup kita di dunia ini. Adakah matinya kita sama seperti matinya kucing atau anjing di jalanan. Cuba kita lihat ke langit! Bagaimana burung-burung terbang Solat...salah satu ibadah kepada Allah Yang Maha Esa.di angkasa. Bagaimana jet direka. Kenapa turunnya hujan. Untuk apa. Untuk siapa. Berapa besar langit di hadapan kita. Berapa luas. Berapa jauh. Betapa cantiknya langit, awan, bulan, matahari, bintang, galaksi, dan bermacam-macam lagi yang kita lihat dengan mata kita atau dengan bantuan teleskop.

Ya Allah apa-apa yang Engkau jadikan ini tidaklah dengan sia-sia! Itulah ungkapan yang keluar dari lidah kita. Subhanallah.

 

Syukur

Penulis ingin mengajak pembaca semua merenung sejenak akan isu pengangguran di negara kita. Penulis tidak begitu memahami kenapa isu pengangguran kurang mendapat sambutan ramai. Masyarakat lebih suka bercakap isu politik, isu pilihanraya tapi memandang sepi isu ini – pengangguran (unemployment). Pembaca diminta jangan salah anggap terhadap penulis. Penulis tidak bermaksud hendak mengenepikan isu politik, ketuanan Melayu, kedaulatan Raja-raja dan yang sewaktu dengannya tetapi perkara-perkara tersebut di luar kemampuan kita untuk menyelesaikannya.

Cuba kita renung, fikir, perhati, teliti, amat-amati, bagaimana sekiranya kita tidak mempunyai pekerjaan yang kita nikmati sekarang. Kawan-kawan kita di luar sana ada yang sudah lama tidak menikmati gaji atau bagi yang tidak pernah memasuki alam pekerjaan pula tidak pernah merasai gaji. Alangkah bernasib baiknya kita dan patut bersyukur kepada Allah yang memberi kita nikmat adanya pekerjaan.

Kita tidak sepatutnya menyalahkan keadaan ekonomi semata-mata dalam soal pekerjaan sekarang ini, yang lebih mustahak bagaimana kita hendak menghadapi dunia tanpa pekerjaan dan menangani dengan cara yang lebih baik dan mencari jalan untuk keluar dari kemelut yang payah ini. Di Amerika atau negara-negara maju kerajaan mereka menanggung rakyat mereka yang tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mempunyai rumah, homeless,  dengan memberi elaun atau shelter – tempat perlindungan – bagi mengurangkan bebanan yang mereka hadapi.

Penulis ingin menyentuh sedikit tentang zakat di mana zakat adalah senjata yang paling ampuh bagi mengatasi isu pengangguran dan mengurangkan kemiskinan. Memang tidak dapat dinafikan, ada golongan fakir dan miskin di dalam setiap masyarakat dahulu dan sekarang. So, Islam telah menunjukkan jalan bagaimana hendak solve this problem iaitu dengan memungut zakat daripada orang-orang kaya dan berada kerana harta zakat yang berupa wang, barang perniagaan, emas dan perak, wang simpanan, binatang ternakan, tanaman itu semua adalah milik kepada si miskin, si fakir, si muallaf dan asnaf (orang yang layak menerima zakat – 8 kategori semuanya).

The problem is sekiranya ada orang-orang yang miskin dan fakir di dalam masyarakat mereka selalu di cop oleh orang-orang yang mempunyai pekerjaan atau pendapatan sebagai pemalas, terlalu memilih pekerjaan, hanya suka meminta-minta dari orang lain tanpa berusaha sendiri. Inilah yang menjadi permasalahan kita iaitu sikap kita yang suka menuding jari kepada orang lain sedangkan mereka – si miskin, si fakir – benar-benar tertekan kehidupan mereka. Ini lahir tidak lain dan tidak bukan adalah kerana sikap arrogant kita yang tidak mahu meneliti sesuatu perkara itu dan tidak mahu usul periksa terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu judgement. Sekarang bolehlah kita meninggi hidung dan bersikap bongkak, bagaimana nanti suatu hari kita sendiri duduk di dalam situasi si miskin dan si fakir itu. Barulah kita tahu betapa susahnya anak isteri kita tidak dapat makan, minum, berpakaian seperti yang kita ada sekarang ini.

Oleh itu marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana telah memberi kita nikmat hidup sekarang ini kerana masih ada ramai lagi yang menghadapi ujian kesusahan, kesakitan, kehilangan orang yang tersayang dan sebagainya. Jadilah kita hamba yang bersyukur dan redha dengan ketentuanNya.

Ingat hadis Nabi yang mengatakan kemiskinan itu hampir kepada kekufuran. Doa di dalam al-ma’turat di mana kita berdoa agar dijauhkan dari pengecut, bakhil, beban hutang, kufur, fakir dan agar dijauhkan dari azab api neraka.

SPAQ 1

Program spaq ini memang bagus. Alhamdulillah, penulis telah berjaya menamatkan pengajian spaq secara modul ini lebih kurang dua tahun yang lalu dengan izin Allah. Baru-baru ini penulis telah menghadiri konvokesyen bagi meraikan kejayaan pelajar-pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian samada dengan memperolehi sijil penuh atau sijil penyertaan.
Dalam program ini, pelajar tidak perlu malu untuk duduk sama-sama di dalam kelas walaupun rakan-rakan sekelas jauh lebih tua dan senior. Atau rakan-rakan yang mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat seperti pensyarah universiti dan sebagainya. Apa yang penting ialah konsep menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad diikuti. Penulis melihat pengajian Al-Quran secara formal begini memberi peluang kepada yang sibuk dengan kerjaya ataupun mungkin yang telah pencen belajar mendalami ilmu Al-Quran dan seterusnya mempraktikkan di dalam kehidupan seharian. Inilah yang diucapkan oleh Pengarah APIUM semasa majlis konvo tersebut.
Pelajar juga didedahkan dengan latihan secara praktikal dengan tenaga pengajar yang berpengalaman seperti imam-imam hafiz di masjid-masjid. Tidak perlu rasa malu kerana itulah belajar namanya. Tidak kira muda atau tua kita masih boleh excel atau cemerlang di dalam menuntut ilmu Al-Quran, yang terpenting keazaman kita untuk menghadiri kelas-kelas spaq tanpa segan silu.
Ada soalan daripada pelajar bertanya kepada ustaz berkenaan dengan hafazan. Adakah faktor pemakanan menjadi isu utama di dalam menghafaz Al-Quran? Ustaz menjawab, cuba lihat orientalis barat mereka minum arak, mereka makan khinzir dan bermacam-macam maksiat lagi yang mereka lakukan tetapi mereka boleh membaca Al-Quran dan memdalami bahasa Arab. Begitulah yang penting kita mahu ke tak mahu mempelajari Al-Quran, kalau begitu sikap orang bukan Islam mempelajari Al-Quran mereka berjaya menguasai ilmu tersebut tetapi mereka tidak mendapat hidayah daripada Allah atau hidayah belum sampai kepada mereka.
Jadi tunggu apa lagi angkat telefon dan berhubunglah dengan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya untuk mendaftarkan diri anda bagi mengikuti SPAQ. Semoga kita diberi taufiq dan hidayah oleh Allah untuk terus beramal dengan ajaran-ajaranNya.

Tiga ta’

Kereta mewah kebanggaan manusia...Kebanyakan manusia hidup di dunia ini mengejar tiga perkara ini. Penulis namakan dengan 3 ta; wanita, harta & takhta. Kecuali orang-orang yang benar-benar beriman dengan yakin, mereka menjadikan 3 perkara ini untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Wanita, penulis meletakkannya di tangga teratas kerana banyak sebab. Di antara sebab-sebabnya ialah godaan wanita adalah sesuatu cubaan yang berat bagi kaum lelaki. Banyak sejarah yang diketahui dari dahulu sehingga sekarang adalah berkaitan dengan cubaan wanita. Sila rujuk ayat Al-Quran surah ali-imran ayat 14.

Harta juga menjadi rebutan manusia kerana dengan harta manusia memperolehi pelbagai nikmat hidup di dunia. Dengan harta yang banyak melimpah-ruah manusia disanjungi dan dihormati oleh orang lain. Dengan harta yang banyak juga manusia boleh memiliki rumah besar, kereta besar, isteri yang cantik, makanan dan minuman yang enak. Harta dan wang ringgit menjadi rebutan kerana dengannya manusia boleh memilWanita solehah hiasan dunia paling baikiki segala-galanya; kesenangan hidup dan memenuhi tuntutan hawa nafsu.

Takhta atau pangkat satu lagi perkara yang menjadi rebutan manusia. Ada yang sanggup berpecah-belah, bermusuhan sesama saudara, dan sebagainya kerana hendakkan pangkat kedudukan di sisi masyarakat.

Cubalah kita ingat balik ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa yang bermaksud pada hari tidak ada menafaat (faedah) harta dan anak-pinak kecuali sesiapa yang kembali kepada Allah dengan jiwa yang tenang.Kejar pangkat kerana harta...

Sama-sama kita renungkan. Adakah kita termasuk di dalam golongan jiwa-jiwa yang tenang? Atau kita masih belum puas mengejar tiga ta kerana memenuhi tuntutan nafsu syahwat? Bersediakah kita untuk bertemu dengan Allah dalam keadaan kita sekarang ini? Sama-sama kita fikirkan.

SPAQ

Al-Quran adalah panduan hidup bagi orang-orang yang beriman. Kitab Al-Quran adalah dustur (perlembagaan) bagi orang-orang yang beriman.

“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa” (Surah Al-Baqarah:2).

Sebagai seorang yang beriman dengan kitab suci Al-Quran, adakah kita mencintai dan menghayati akan isi kandungannya? Kita sedar Al-Quran adalah ayat-ayat Allah untuk menjadi pedoman kepada manusia mengharungi kehidupan di dunia ini.

Sesiapa yang berminat untuk mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran seperti ulum ul-quran, tajwid, wirid al-quran, ayat-ayat ahkam ul-quran, al-quran di dalam pembinaan syakhsiyah dan masyarakat bolehlah mendaftar dengan Universiti Malaya bagi menyertai program yang dinamakan Sijil Pengajian Al-Quran (SPAQ) yang dijalankan pada hujung minggu dan kursus dirangka untuk kesesuaian semua lapisan masyarakat dan dari berbagai-bagai latarbelakang samada profesional ataupun bukan profesional. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia.

Anda kedekut! Bila…

Apakah perasaan anda bila penulis memberi tajuk di atas? Marah? Geram? Benci? Anda tidak sepatutnya bersikap sedemikian! Anda tidak sepatutnya marah, geram, benci atau apa-apa saja perasaan buruk yang terlintas di dalam dada anda terhadap penulis. Pada hakikatnya anda sememangnya seorang yang kedekut. Bahkan orang yang paling kedekut di atas dunia ini (pen.). Mungkin lebih kedekut daripada Hj Bakhil di dalam filem P. Ramlee. Sekurang-kurangnya Hj Bakhil beri juga sedekah walaupun niatnya kerana wanita.

Anda kedekut bila terdapat ciri-ciri seperti yang penulis hendak bentangkan di bawah ini. Ciri-ciri tersebut ialah:

  1. Bila anda meluangkan masa beribadat kepada Allah pada masa-masa terluang anda sahaja, iaitu masa-masa lebih anda sahaja – “spare time”,
  2. Bila anda terlalu sibuk dengan urusan “routine” harian anda sehingga anda mengabaikan tanggungjawab anda untuk beribadat kepada Allah,
  3. Bila anda memperuntukkan sedikit sahaja dari tenaga, masa, wang atau harta benda anda untuk beribadat kepada Allah,
  4. Bila anda tidak sanggup untuk membelanjakan wang anda untuk beribadat kepada Allah.

Sudah jelas sekarang bagaimana status anda. Anda mahu menduduki syurga bahkan syurga firdaus, syurga tertinggi, tetapi anda kedekut untuk beribadat kepada Allah. Harapan anda tidak seiring dengan tindakan anda.

Pesanan ini adalah terutamanya untuk diri penulis sendiri dan sekiranya ada kebaikan di dalamnya ianya untuk anda juga. Sekiranya ada yang baik itu adalah datangnya dari taufiq dan hidayah Allah, manakala sekiranya ada kelemahan itu adalah datangnya dari kelemahan dan kesilapan penulis jua.

Bersyukur Kerana Apa?

Alhamdulillah penulis diberi taufiq dan hidayah oleh Allah untuk menghadiri satu kuliah subuh pada hari ini. Penulis berasa kagum dengan kemampuan penceramah menyampaikan kuliahnya tanpa menggunakan teks. Dia berjaya menyampaikan dengan lancar dengan bersandarkan petikan-petikan dari Al-Quran dan Hadis di dalam kuliahnya yang lebih kurang satu jam itu. Berikut adalah lebih kurang penyampaian yang disampaikan yang dapat penulis ingat.

 

Kita bersyukur bukan kerana kita masih hidup, kerana binatang pun masih hidup. Kita bersyukur bukan kerana kita dapat makan, kerana binatang pun dapat makan. Kita bersyukur kerana kita masih dapat melaksanakan ibadat kepada Allah. Iradat atau kehendak Allah ada dua bahagian menurut Sheikh Said Ramadhan Al-Buthi iaitu iradat takwiniyyah dan iradat tasyri’iyyah. Iradat takwiniyyah contohnya seperti manusia dijadikan oleh Allah ada lelaki dan ada perempuan – tiada pilihan. Bentuk rupa paras – hidung mancung, hidung kemek dan sebagainya – juga tiada pilihan bagi manusia. Juga seperti kita dijadikan oleh Allah berbangsa Melayu bukannya bangsa lain seperti Arab, China, India dan sebagainya – tiada pilihan. Iradat yang kedua ialah iradat tasyri’iyyah bermaksud Allah menetapkan syariat Islam mengikut kehendaknya seperti solat, puasa, zakat, haji, bab-bab munakahat seperti perkahwinan lelaki dan perempuan di dalam Islam, poligami (sila rujuk Surah Al-Nisa’ ayat 3), suami tidak dibenarkan bergaul dengan isterinya sekiranya isteri di dalam haidh dan lain-lain hukum yang bersangkutan dengan munakahat atau nikah-kahwin. Di dalam menetapkan syariat Islam juga adalah kehendak Allah yang tidak boleh ditolak oleh manusia. Manusia hendaklah menerima iradat Allah ini dengan terpaksa.

 

Kalau hendak dihitung ibadat yang kita lakukan sepanjang tahun sangat sedikit. Contohnya kalau dicongak solat lima waktu sehari semalam masa yang diambil cuma lebih kurang 6 min satu solat, lima waktu jadi lebih kurang 30 min sahaja, puasa wajib di bulan Ramadhan sahaja, zakat harta diwajibkan bila ada kemampuan, haji ke tanah suci bagi sesiapa yang mampu sahaja yang wajib menunaikannya. Kita banyak mendapat rahmat daripada Allah. Ada batas-batas yang telah ditentukan oleh Allah untuk orang-orang yang beriman seperti perkahwinan dibenarkan 2, 3, atau 4 dan tidak boleh lebih daripada 4. Orang yang beriman akan patuh kepada ketentuan Allah tanpa mempersoalkannya.

 

Di akhirat nanti kita tidak akan ditanya oleh Allah kenapa dengan rupa paras kamu seperti hidung kemek, mata sepet, kulit hitam atau apa sahaja bentuk fizikal kita tetapi yang akan ditanya nanti oleh Allah ialah harta kamu perolehi dari mana, ke mana kamu membelanjakan harta-harta kamu di dunia ini, dan sebagainya yang berkaitan dengan amalan baik dan buruk kita semasa hidup. Mata sepet, hidung kemek, mata biru tak hitam itu semua adalah iradat takwiniyyah Allah yang mana tiada pilihan untuk kita. Tapi solat, puasa, zakat, haji dan ibadat-ibadat yang lain adalah sesuatu yang boleh kita pilih samada hendak buat atau tidak. Kalau kita tak buat maka kita sendirilah yang menanggung akibatnya – menerima balasannya. Contoh rahmat Allah ialah orang yang melanggar suruhan Allah dan bertaubat kepada jalan yang benar selepas itu melakukan ibadat kepada Allah selama 3 tahun dan meninggal dunia dan Allah memasukkannya ke dalam syurga dengan izinNya selama-lamanya bukan sekadar 3 tahun tempoh dia melakukan kebaikan di dunia ini. Sekiranya kita beribadat selama tiga tahun dan masuk syurga pun tiga tahun selepas itu dikeluarkan dari syurga dan masuk neraka pula apa perasaan kita agaknya.  Alangkah sengsaranya jiwa kerana setelah mengetahui nikmat syurga kemudian disuruh pula duduk di dalam neraka. Nikmat yang Allah berikan kepada hambaNya yang beriman ialah walaupun beribadat selama tiga tahun sahaja dan amalannya diterima oleh Allah jadi masuklah dia ke dalam syurga selama-lamanya.

 

Kebahagiaan sesebuah rumahtangga bukanlah hanya terletak kepada kesenangan hidup seperti rumah yang besar, kereta besar, isteri, duit banyak tetapi kebahagiaan yang sebenar ialah di saat berjumpa dengan Allah di akhirat kelak dalam keadaan ‘qalbun salim’ (jiwa yang tenang).   Jiwa yang tidak tenang adalah akibat dari tidak mengingati Allah. Dengan tidak berzikir atau mengingati Allah jiwa menjadi sempit.