MilkyWay27

Believe, Steadfast, Success

Bicara Poligami… (2)

Tinggalkan komen

Penulis ingin menyatakan pandangan tentang isu poligami yang dibenarkan di dalam Islam. Apabila penulis membaca akhbar-akhbar tempatan (Malaysia), menonton TV, perbualan di kedai-kedai kopi, apa yang penulis dapat lihat ialah isu ini menjadi suatu topik kegemaran segolongan lelaki peringkat umur 35 tahun ke atas.  Penulis tidak pasti kenapa golongan lelaki 35 tahun ke atas ini berminat untuk membicarakan isu ini. Mungkin kematangan mereka di dalam mengharungi alam perkahwinan; kebanyakan lelaki berkahwin ketika berumur 25-26 tahun, jadi setelah berkahwin selama 9-10 tahun mereka boleh memahami hakikat peri pentingnya poligami di dalam kehidupan mereka yang mendatang.

Bercakap tentang isu poligami atau ta’addud al-zaujah penulis berkata:

Apa sahaja yang diturunkan oleh Allah Taala di dalam Al-Quran mengandungi hikmah yang besar bagi kehidupan manusia secara keseluruhannya. Manusia diciptakan oleh Allah Taala terdiri dari lelaki dan wanita. Masing-masing, lelaki dan wanita tadi, mempunyai karakter, sifat, naluri yang ada yang sama dan ada yang berbeza. Itu adalah menunjukkan kebijaksanaan Allah Taala di dalam apa yang dicipta olehNya. Kita berasal dari Nabi Adam. Nabi Adam berkahwin dengan Hawa dan manusia bertambah ramai sehinggalah sekarang ini. Hikmah diizinkan poligami di dalam Islam ialah dengan ramainya ummat Nabi Muhammad yang mengikuti ajarannya di hari kiamat kelak. Sekiranya ummat Islam tidak mengamalkan poligami bermakna kuranglah ummat Islam.

Apa yang membimbangkan penulis sekarang ialah ramainya di kalangan ummat Islam sendiri yang telah menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pensyariatan poligami ini. Penulis tersangat bimbang kerana setengah-setengah mereka yang menyatakan ketidakpuasan dan ketidakselesaan terhadap pensyariatan poligami adalah di kalangan yang terpelajar atau mempunyai pendidikan Islam. Ini kerana ianya adalah sesuatu yang sangat berlawanan dengan apa yang mereka perjuangkan. Mereka mahu menegakkan Islam di muka bumi tetapi sebahagian dari syariat hendak diabaikan seperti pensyariatan poligami yang kita sedang bincangkan sekarang. Aneh, sungguh aneh mereka mahu meninggikan agama Islam tapi bila ada sesuatu yang tidak disenangi hati mereka (seperti pensyariatan poligami) lantas mereka mengenepikannya. Perlu diingat apa yang Allah Taala suruh itu ialah apa yang tidak disenangi oleh hawa nafsu dan apa yang dilarang itu adalah apa yang disenangi oleh hawa nafsu. Sama-samalah kita fikir-fikirkan bersama. Kita sedang berada di tahap mana.

Bagi penulis, sesuatu yang sangat rugi sekiranya kita telah banyak berkorban untuk agama Islam dengan mencurahkan wang ringgit, tenaga dan masa kita untuk menegakkan agama Islam di muka bumi ini tetapi kerana pensyariatan poligami kita tidak boleh menerimanya di dalam kehidupan kita. Rugi. Sangat rugi.

Satu perkara lagi ialah beratnya sikap ummat Islam untuk mencontohi para sahabat Rasulullah SAW. Majoriti di kalangan sahabat Rasulullah SAW mengamalkan poligami di dalam kehidupan mereka dan mereka sebagaimana yang kita ketahui adalah generasi yang hebat dari segi penghayatan Islam. Penulis yakin wanita-wanita pada masa itu menerima pensyariatan poligami ini dengan penuh redha dan kerelaan kerana itu datangnya dari syariat Islam.

Apa yang menjadi permasalahan sekarang ialah ada wanita-wanita di zaman sekarang sudah banyak dipengaruhi oleh ideologi dan pemikiran barat. Mereka menolak pensyariatan poligami sebagaimana yang ditolak oleh pemikiran barat. Pemikiran barat mengatakan pensyariatan poligami tidak mengiktiraf hak kesaksamaan gender – dalam erti kata lain dalam Islam dibenarkan lelaki berkahwin sehingga empat tetapi perempuan dibenarkan berkahwin seorang sahaja. Sebenarnya isu yang dimainkan oleh pemikir barat ini banyak dipengaruhi oleh desakan nafsu semata-mata. Mereka sebenarnya tidak suka institusi perkahwinan Islam diikuti, apa yang dipraktikkan oleh mereka hanyalah bersekedudukan, zina, lesbian, homoseks, biseksual dan penulis tegaskan sekali lagi kehidupan yang mereka lalui sekarang adalah menolak kehidupan beragama dan mengamalkan kehidupan seks bebas. Adakah kita sebagai seorang yang mengaku beriman kepada Allah Taala dan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan ikutan kita mahu menerima pendapat mereka (pemikir barat) yang telah jauh dari norma-norma hidup seorang manusia? Adakah kita yang Al-Quran dan Sunnah ada di hadapan kita sekarang mahu menerima pendapat mereka yang semata-mata mengikut hawa nafsu dan mahu mengajak kita ke neraka? Nau’dzubillahi min dzaalik. Penulis yakin bahawa pemikir barat sekarang sudah boleh duduk bergoyang kaki kerana usaha-usaha mereka untuk menghapuskan pensyariatan poligami telah diambilalih oleh setengah-setengah orang Islam sendiri. Ingatlah bahawa pemikir barat tidak akan menghapuskan Islam secara keseluruhannya kerana mereka tahu sekiranya Islam ditentang secara terang-terangan ummat Islam akan bangkit dengan segera menentang mereka. Jadi mereka merosakkan agama Islam secara perlahan-lahan seperti isu poligami ini supaya niat mereka hendak merosakkan Islam tidak disedari oleh ummat Islam. Lebih-lebih lagi isu poligami melibatkan kaum wanita di mana mereka membayangkan yang isu poligami lebih menguntungkan orang lelaki berbanding kaum wanita. Ianya seolah-olah diperlakukan secara tidak adil. Wahai saudariku seIslam, Allah Taala adalah Maha Mengetahui akan apa yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dengan menyatakan adil sebagai syarat poligami.

Penulis menyeru kepada mereka-mereka yang menolak, yang kurang yakin, yang menghalang, yang mengwar-warkan keburukan pensyariatan poligami kembalilah…kembalilah menjadi seorang Muslim yang menerima, yang yakin, yang memperjuangkan, yang mengwar-warkan kebaikan pensyariatan poligami kepada masyarakat kerana itu adalah tanggungjawab kita semua sebagai seorang Muslim/Muslimah iaitu memberi penerangan tentang agama Islam yang sebenar.

Penulis akhiri dengan segala yang baik itu datangnya dari taufiq dan hidayah Allah Taala dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan/kesalahan penulis sendiri.

Author: milkyway27

Aku adalah seorang insan yang hanya mengharapkan keredhaan Allah di dalam mengharungi kehidupan dunia yang sementara ini. Namun aku menyedari bahawa untuk mendapat kasih dan rahmah Allah itu memerlukan pengorbanan yang tinggi yang datang dari hati nurani yang ikhlas yang beribadat semata-mata kerana Allah, Rabbul 'Alamin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s