MilkyWay27

Believe, Steadfast, Success

Poligami dan zina

1 Komen

SOALAN: Kaki kanan saya seumpama terpelesuk dalam lubang, yang sukar hendak ditarik keluar, biarpun kaki kiri masih di permukaan bumi, tetapi semakin tidak bermaya longlai.

Saya mempunyai isteri yang terpelajar dan berpendidikan agama. Rumah tangga kami asalnya begitu bahagia, tetapi setelah hampir 11 tahun, saya seumpama tidak sedar, macam mana saya boleh jatuh cinta dengan seorang gadis.

Secara berterangan saya memberitahu isteri yang saya ingin mengahwininya. Isteri saya tidak membantah atau setuju, tetapi menyuruh saya menceraikannya.

Masalah besar ialah apabila ibu saya tidak mengaku saya anaknya, kalau saya meneruskan hasrat untuk mengahwini gadis ini. Ibu bersikap demikian mungkin kerana ia merasa betapa akrabnya hubungan kami dua keluarga.

Saya mencari jalan keluar, memutuskan hubungan dengan gadis ini dan rasa amat kesal serta kecewa. Saya mula berjinak-jinak dengan dunia hiburan, tetapi berakhir dengan kehidupan yang langsung tidak saya duga sama sekali selama ini, iaitu melanggani pelacur kelas atasan.

Saya tahu dosa-dosa besar melakukan zina, tetapi saya benar-benar kecewa, kerana masyarakat memandang serong dan ganjil sesuatu yang halal, iaitu poligami. Tetapi menganggap sebagai “perkara biasa” terhadap dunia pelacuran atau persundalan. Masyarakat Islam perlu memahami hukum Islam yang berkaitan dengan poligami, sebagai satu jalan keluar mengatasi masalah zina. Pendapatan saya lebih daripada sembilan ribu ringgit setiap bulan.

– Lazim, KL

Jawapan: Islam mengharuskan poligami dengan syarat si suami berlaku adil terhadap isteri-isteri yang dikahwini. Adil yang berkaitan dengan harta seperti nafkah, urusan tempat tinggal, makanan, pakaian, giliran bermalam dan sebagainya termasuk yang berkaitan dengan anak. Lumrahnya, tanggungjawab ini di dalam keupayaan manusia.

Masalah utama yang saudara hadapi ialah isteri yang meminta diceraikan kalau mahu berkahwin lagi, manakala keluarga terutama kedua-dua ibu bapa menganggap saudara anak derhaka kalau berkahwin lagi satu.

Islam tidak mensyaratkan poligami mesti dengan izin isteri. Namun adalah sukar biarpun bukan mustahil untuk menyatakan adanya isteri yang boleh memberi izin kepada suaminya berkahwin lagi, biarpun seorang ustazah yang memahami bahawa Islam mengharuskan poligami. Tabiat semula jadi manusia, tidak mahu berkongsi kasih.

Tergambar dalam fikiran bagaimana si suami memadu kasih dengan madunya. Mungkin dalam mengingatinya kepala berdetap menjadi sakit, dunia gelap gelita.

Tindakan suami mungkin boleh dianggap mencabar kesetiaannya selama ini, seolah-olah si suami telah “menduakannya” biarpun poligami itu diharuskan oleh Islam.

Islam tidak menggalakkan berpoligami, tetapi mengharuskannya sebagai salah satu jalan keluar mengatasi masalah seperti ketika isteri uzur, sakit dan tidak berupaya melayani naluri suami. Suami kuat nafsu dan sebagainya.

Namun tanpa alasan seperti ini, sekiranya seorang lelaki itu bernikah lagi, pernikahan itu tetap sah, asalkan semua syarat dan rukun perkahwinan itu dipenuhi.

Banyak orang berkahwin tanpa ada alasan seperti yang dijelaskan atau dorongan seperti ini, lebih-lebih lagi orang yang mempunyai banyak wang seperti saudara. Ia tetap sah dan tidak berdosa andainya sifat adil itu, ada pada diri dan berkeyakinan berupaya melaksanakannya.

Mungkin sukar untuk menyokong sikap seorang suami yang dikatakan menyintai isteri dan anak-anaknya, tetapi dalam masa yang sama bercinta dengan perempuan lain.

Namun begitu, ia bukan mustahil berlaku lebih-lebih lagi bagi orang yang mempunyai selera tinggi, sukakan yang cantik dan muda. Orang seperti ini kadang-kadang pada peringkat awal tidak minat sangat untuk berkahwin lagi, lebih-lebih lagi bagi yang banyak tugas dan sibuk, tetapi kerana naluri dalamannya tanpa disedari bila bermula, dia akhirnya terjebak ketika ‘bermain dengan api atau ombak’, menyebabkan jatuh kasih atau rasa simpati atau ihsan kerana kasih itu tidak ubah seumpama sekam dalam api.

Dalam masa yang sama dia tetap mengasihi isteri yang ada, sayang rumah tangga yang begitu lama dibina, juga anak-anak di rumah.

Izin isteri bukan merupakan syarat kesahihan pernikahan lelaki berpoligami. Bagi orang lelaki yang berusaha untuk berkahwin lagi, tetapi tertahan kerana sebab tertentu, terutamanya untuk mendapatkan keizinan isteri, akan melakukan pelbagia cara untuk melaksanakannya.

Terdapat kes suami menipu isteri untuk menurunkan tanda tangan, kahwin lari ke sempadan, kahwin yang dinikahkan oleh wali perempuan tanpa merujuk ke pejabat kadi dan sebagainya, termasuk melalui sindiket palsu.

Saudara mempunyai keupayaan untuk berkahwin lagi, tetapi terhalang kerana isteri meminta cerai, manakala ibu bapa menganggap saudara anak derhaka.

Tanpa melihat, sama ada pro atau kontra lelaki berpoligami, ketika berhadapan dengan situasi seperti yang saudara hadapi, seseorang itu mesti menghulurkan mesej syarie yang hakiki. Saudara mempunyai keupayaan dari segi kebendaan, seorang yang terpelajar dan mempunyai ciri-ciri sifat adil serta yakin untuk melaksanakannya.

Kerana itu, jalan keluar bagi saudara ialah berkahwin lagi. Dalam kes ini, mungkin dengan kekasih saudara.

Namun, untuk mengelakkan keadaan rumah tangga yang bercelaru dan dianggap anak derhaka, saudara mencari jalan sesat dengan melanggani perempuan jalang dan sehingga sekarang, saudara merasakan amalan itu sebahagian daripada rutin hidup, sebagai budaya mingguan.

Tidak ada statistik membuktikan 99 peratus pelanggan pelacur adalah lelaki yang beristeri. Mungkin anggapan saudara itu ada lojiknya berdasarkan pemerhatian saudara. Dalam masa yang sama, bukan mudah untuk membuktikan anggapan seperti ini benar dan tepat.

Walaupun demikian pemerhatian saudara terhadap apa yang berlaku tidak boleh dijadikan satu hujah atau sokongan terhadap apa yang saudara lakukan, ataupun dijadikan alasan menghilangkan rasa berdosa melanggani pelacur.

Saya tidak membicarakan dosa zina kerana saudara sedia memahaminya, tetapi saudara perlu ingat bahawa berzina itu dosa. Dosa itu najis dan najis itu kotor, yang kotor itu lumrahnya busuk. Bagi orang terlibat dengan dosa zina buat kali pertama dia akan menyesal sama seperti dengan orang yang bersentuh atau terhidu najis.

Dia menjadi tidak menentu, merasa loya atau muntah, tetapi kalau terus berulang, ia menjadi sebahagian hidup, berasa tidak janggal dan tidak seronok kalau tidak melakukan dosa atau berasa asing tidak terhidu najis. Begitu juga dengan peri laku zina yang menjadi rutin.

Saudara terlalu malang andainya mengakhiri sisa-sisa hidup dalam maksiat, ketika menapak kaki melanggani kupu-kupu malam atau menghembuskan nafas di pangkuannya, pada hal saudara seorang yang pernah taat sembahyang, puasa, tidak minum arak dan tidak menerima rasuah. Salah satu ciri insan bertakwa yang tidak mudah dimenangi oleh semua orang.

Kalau benar ada isteri yang lebih rela suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suami dapat memenuhi tuntutan berpoligami, ini bererti secara langsung atau tidak langsung dia adalah terlibat dengan peri laku si suami.

Pada hakikatnya, keharusan poligami dan cara penyelesaiannya lebih tertakluk kepada kes yang berbeza. Tuntutan isteri agar diceraikan untuk membolehkan suami berkahwin lagi memang banyak berlaku, memperlihatkan protes atas keinginan suami tadi.

Walaupun demikian mungkin tidak berlaku pada semua orang, terutamanya pada isteri yang uzur, tua, sakit, mempunyai ramai anak dan tidak bekerja. Seperkara lain, biarpun tuntutan cerai itu banyak berlaku, kata putus yang ditetapkan oleh syarak ialah di tangan suami. Mereka yang beriman dan takutkan Allah menggunakan kuasa ini sebaik mungkin kerana isteri itu amanah Allah, yang dihalalkan baginya dengan ikatan perkahwinan.

Biarpun poligami seumpama mencabar kesetiaan seorang isteri, pendapat saudara, poligami sebagai pengorbanan terhadap wanita yang dikahwini terutamanya yang menghadapi masalah anak banyak, keselamatan diri, maruah dan sebagainya memang ada logiknya.

Kerana itu dalam keadaan seumpama itu, ada perempuan yang rela dijadikan isteri kedua. Walaupun, bagi yang meminati gadis muda dan cantik, sukar sedikit untuk merangkumkan perkahwinan seperti ini termasuk dalam kategori pengorbanan, biarpun tidak dinafikan ianya melibatkan pengorbanan.

Perilaku saudara juga seumpama bertindak balas terhadap sikap isteri dan keluarga. Biarpun mereka mempunyai kaitan terhadap tindak-tanduk saudara, dosa yang dilakukan seseorang, tidak akan ditanggung orang lain.

Memang benar seperti yang saudara jelaskan bahawa masyarakat memandang amalan berpoligami itu sebagai sesuatu yang halal tetapi dianggap “janggal” atas sebab-sebab yang saling berkait. Berbanding dengan lelaki yang melanggani pelacur-pelacur, bersekedudukan atau perempuan simpanan kadang-kadang dirasakan orang yang berpoligami itu seolah-olah merobek naluri budaya hidup.

Keadaan ini berlaku atas sebab yang saling berkait, di antaranya ialah kerana penyalahgunaan keharusan poligami. Selain dari itu, poligami diamalkan secara berterangan, secara rasmi pada hal amalan melanggani pelacur, bersekedudukan atau menyimpan perempuan simpanan itu dilakukan secara tersembunyi. Walaupun demikian saya berkeyakinan, masyarakat umum tidak akan memandang serong terhadap suami yang berpoligami yang bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya,

Manusia dalam banyak hal lebih mudah malu kepada jiran-jiran, kawan sekerja dan masyarakat sekeliling berbanding dengan Tuhan yang sentiasa memerhatikan tingkah laku mereka, sama ada malam atau ketika sunyi sepi.

Tidak mudah untuk menyatakan isteri lebih rela suaminya melanggani perempuan jalang, mempunyai perempuan simpanan atau bersekedudukan daripada suaminya berkahwin lagi. Bagi isteri yang terpelajar, berilmu dan menyayangi suaminya, begitu juga ibu bapa atau keluarga akan merelakan seorang suami itu berkahwin lagi daripada terlibat dengan kancah maksiat.

Masyarakat Melayu Islam tahu, poligami adalah sesuatu yang diharuskan, tetapi sesetengah orang tidak gemarkan amalan poligami kerana sikap atau kelakuan sebahagian daripada mereka yang melakukan poligami atau beristeri lebih daripada satu tidak berlaku adil. Ramai yang berpoligami tetapi kewangannya tidak mencukupi. Ada yang tidak mempunyai kerja tetap malahan hidup di atas tulang empat kerat isteri-isteri yang dikahwini. Ketidakadilan itu juga sering berlaku kerana suami yang berkahwin semata-mata kerana nafsu. Mereka inilah yang menyalahgunakan keharusan yang diberi atau ditetapkan oleh Islam.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila aduan yang dilakukan oleh isteri yang terlibat ke pejabat-pejabat kadi kurang mendapat perhatian kerana kekurangan kakitangan yang terlatih, menyebabkan isteri-isteri terus menerus menderita mencari nafkah diri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Lebih rumit apabila ketetapan yang diputuskan oleh mahkamah syariah tidak dilaksanakan. Terlalu banyak punca menyebabkan keharusan poligami menjadi sebagai sesuatu yang menakutkan.

Author: milkyway27

Aku adalah seorang insan yang hanya mengharapkan keredhaan Allah di dalam mengharungi kehidupan dunia yang sementara ini. Namun aku menyedari bahawa untuk mendapat kasih dan rahmah Allah itu memerlukan pengorbanan yang tinggi yang datang dari hati nurani yang ikhlas yang beribadat semata-mata kerana Allah, Rabbul 'Alamin.

One thought on “Poligami dan zina

  1. en. lazim, saya amat kasihan dengan saudara, punyai kemampuan, tetapi tidak di sanggup.

    walaubagaimana pun, saya ingin mencadangkan agar en lazim belajarlah ilmu agama dengan lebih mendalam dan didiklah isteri anda supaya dia dapat menerima polgami dan kehadhiran orang ketiga didalam rumah tangga anda.

    kerana sungguhpun anda mempunyai kelebihan (material, zahir dan bathin) tetapi oleh kerana kekurangan ilmu (terutama dari segi mendidik isteri dan bakal isteri serta diri sendiri untuk menerima poligami mestilah di dahului dengan kefahaman yang lebih mendalam mengenai poligami bagi diri en. lazim sendiri) dan sebb itu en sendiri tidak dapat meyakinkan isteri en maka beliau tidak dapt /bersedia untuk bermadu.

    pendek kata, kelemahan ilmu itu terletak pada diri org lelaki spt en. lazim sendiri. saya sendiri mempunyai teman lelaki yang mempunyai nasib yang sama dengan en. lazim, tetapi tidaklah sampai terpesong perbuatan (masih boleh kontrol) dan beliau sentiasa meminta nasihat saya bagaimana untuk meneruskan hasratnya, saya cadangkan padanya supaya banyak membaca bahan2 ilmiah terutama mengenai poligami (supaya dari ilmu pengetahuan itu dia akan dapat bukan sahaja berhujah dan meyakinkan isterinya tetapi mendidik dirinya supaya menjadi suami dan bapa yg bertanggungjawab), dia juga berusaha mendidik isterinya memahami tentang agama islam lebih mendalam, belajar berusaha mencintai yang sepatutnya (bukan hanya kpd suaminya shj, kepada rasulullah, Allah dan alquran).

    dan saya lihat banyak perubahan di dalam kehidupannya, dari seorang yang biasa-biasa, frust tak dapat nak kahwin kepada seorang lelaki yang lebih berpengetahuan (pandai menasihati kawan2 dan berhemah ketika bercakap), kalau dulu kerja pun biasa2 jer, sekarang lebih bersemangat, anak2 pun lebih menghormati, isterinya dah tak boleh nak bising2 atau komplen banyak2 sebab semua tanggungjawab sebagai suami dan ayah dijalankan dengan baik walaupun tidak selengkap 100%.

    pernah suatu ketika, dia beritahu isteri dia nak gi ambik kekasih (janda duk bersendirian) utk gi klinik (kekasih dia tak sihat, demam), dan wife dia report kat seluruh keluarga wife dia, dan dia di panggil untuk menghadap selepas kejadian itu, dia dengan berani pergi berhadapan dengan keluarga isterinya, dia juga bagitahu saya, dia sungguh tidak menyangka bahwa dia sebegitu berani berhadapan dgn keluarga mertuanya bersendirian, dan keadaan berjalan dengan lancar (tanpa pergaduhan) walaupun wife dia masih tidak dapat menerima poligami. beliau tidak menyangka beliau begitu berani. baginya walau baru berhasrat begini dan beliau telah dapat rasakan banyak kebaikan yang diperolehinya. dan kini dia rasa lebih bahagia tenang dan masih ingin meneruskan hasratnya mengambil kekasih hatinya sebagai isteri. katanya dia akan tetap berusaha mendidik isterinya untuk turut belajar sepertinya selain belajar fardhu ain, kifayah, mengaji dll.

    saya nasihatkan en. lazim belajarlah lagi dlm soal agama terutamanya poligami, rumah tangga, tunjukkan kepada isteri en. bahwa encik mampu memperbaiki dan mendidik diri sendiri dan menjadi contoh suami serta ayah terbaik serta mampu menjaga dan membela wanita lain selain dari isteri en.

    selamat berusaha.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s