MilkyWay27

Believe, Steadfast, Success

Cinta

Tinggalkan komen

 

 

Mahabbah dalam ertikata yang sebenarnya ialah kasih dan sayang di antara satu dengan lain semata-mata kerana Allah swt. Ini adalah sepertimana firman Allah swt dalam hadis Qudsi yang bermaksud:-

“Mahabbah itu wajib bagi mereka yang berkasih sayang di antara satu dengan lain keranaKu, pada jalanKu, dan orang yang menziarahi pada jalanKu dan mereka yang berkorban keranaKu, maka mereka-mereka inilah yang Aku kasih.”

Dalam satu riwayat lain pula Rasulullah saw pernah bersabda: “Ada di kalangan hamba, mereka ini bukan Nabi-Nabi, bukan pula golongan mati syahid, tetapi mereka ini disukai oleh para syuhada dan Nabi-Nabi. Mereka ini tinggi kedudukannya di sisi Allah swt.

Lantaran itu di kalangan sahabat-sahabat ada yang bertanya:
“Ya Rasulullah, siapakah mereka itu?
Maka jawab Rasulullah:-

“Mereka itu satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah swt. Mereka melaksanakan perintah Allah swt. Mereka itu tidak ada sangkutan adik-beradik atau saudara mara. Dan bukan pula kerana harta, mereka berkasih sayang.”

Jadi dari riwayat di atas, dapatlah kita fahamkan tentang betapa pentingnya kita berkasih sayang di antara satu dengan lain tidak kerana yang lain tetapi adalah kerana Allah swt semata-mata. Inilah apa yang dikatakan kasih sayang yang hakiki yang merupakan ciri yang penting bagi membentuk masyarakat Islam.

Di sini ada diceritakan tentang kisah seorang wanita yang hidup di zaman Saidina Ali r.a. Masyhur wanita ini adalah kerana kasihnya kepada Saidina Ali sebab beliau adalah seorang yang beriman kepada Allah swt dan tidak pernah tamakkan harta dan sebagainya. Manakala Saidina Ali telah meninggal dunia, wanita itupun dipanggil oleh Muawiyah yang telah menggantikan Saidina Ali sebagai Khalifah ketika itu. Kata Muawiyah kepada wanita itu:-

“Sekiranya aku anugerahkan kepada engkau segala apa yang engkau mahu, dapatkah engkau kasihkan aku sebagaimana engkau kasihkan Ali?

Maka wanita itupun meminta seratus ekor unta untuk dipergunakan pada jalan Allah. Kata Muawiyah:-

“ Adakah dapat engkau kasihkan aku jika aku berikan engkau seratus ekor unta tersebut. Maka jawab wanita itu, “Ali tidak dapat memberikan aku walaupun sehelai bulu untapun tetapi aku tetap kasihkan Ali.”

Ini menunjukkan bahawa kasih kerana Allah itu tidak dapat ditukarganti dengan harta kekayaan. Sesungguhnya orang yang kasih dan cinta kepada Allah, muka mereka akan bersinar dan bercahaya. Jadi sekiranya seseorang itu tidak kasih kepada Allah dan RasulNya maka walaupun kita mempunyai pertalian darah sekalipun kita tidak akan melahirkan kasih sayang terhadapnya walaupun mereka itu keluarga kita sendiri.

Rasulullah saw pernah bersabda bahawa sekiranya ada tiga sifat ini kepada seseorang barulah dia dikira sebagai seorang yang beriman:-

(1) Orang yang kasihkan Allah dan RasulNya lebih dari yang lain,
(2) Orang yang kasihkan saudaranya sepertimana dia kasihkan dirinya sendiri,
(3) Orang yang benci untuk kembali kepada kufur sepertimana bencinya dicampak ke dalam api neraka.

Rasulullah saw pernah bersabda:

“Tiadalah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terlebih dikasihi Allah dari kedua mereka ialah orang yang terlebih kasih terhadap sahabatnya.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim dari Anas).

Rasulullah saw juga pernah bersabda dalam sebuah hadis lain bahawa satu dari tujuh orang yang mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat ketika matahari berhampiran dengan kepala di mana manusia tidak tertanggung menahan kepanasan ialah manusia yang bersaudara sehingga ia tidak berkumpul kecuali kerana Allah dan tidak berpisah kecuali kerana menunaikan tugas kerana Allah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:-

“Tujuh macam orang yang bakal dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan Allah; imam (pemimpin /ketua) yang adil, pemuda yag tetap taat beribadat kepada Allah swt, seorang yang hatinya selalu bergantung kepada masjid (iaitu memerhatikan waktu solat berjemaah di masjid), dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah baik ketika bertemu atau berpisah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan yang cantik tetapi ia menolak dengan berkata, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dirahsiakan sehingga tidak diketahui oleh kiri apa yang dilakukan oleh kanannya, seseorang yang berzikir ingat kepada Allah bersendirian sehingga bercucuran airmatanya.”

(Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim).

Rasulullah saw menjelaskan maksud dua orang yang bersaudara kerana Allah itu dengan satu cerita:-
“Seorang pemuda pergi menziarahi saudaranya, lalu Allah menyuruh Malaikat menantinya di jalan.

Malaikat: Anda ke mana?
Pemuda: Aku hendak mengunjungi saudara si anu.
Malaikat: Apa hajatmu kepadanya?
Pemuda: Tak ada.
Malaikat: Apakah kerana hubungan kerabat dengan dia?
Pemuda: Juga tidak.
Malaikat: Kerana ada sesuatu pemberian kepadanya?
Pemuda: Tidak sekali-kali.
Malaikat: Mengapa engkau mengunjunginya?
Pemuda: Aku mengasihinya kerana Allah.

Kemudian Malaikat menjelaskan , sebenarnya Allah mengutusku untuk menyampaikan kepadamu bahawa Allah kasih kepadamu disebabkan anda kasih kepadanya dan kamu berhak memiliki syurga.”
(Riwayat Muslim dan Abu Hurairah).

Satu lagi contoh yang disebutkan oleh ahli sejarah ialah kisah persaudaraan tentera-tentera Islam. Setelah tamat perang Yarmuk, seorang tentera Islam berjalan di tengah-tengah mayat para syuhada’ yang bergelimpangan untuk mempastikan samada hidup atau mati. Abu Jahm bin Huzaifah r.a. meriwayatkan: “Semasa peperangan Yarmuk bermula aku telah pergi mencari suadara sepupuku yang ketika itu berada di bahagian hadapan di dalam pertempuran itu. Aku juga telah membawa sedikit air bersamaku untuknya. Aku dapati bahawa beliau luka parah di dalam pertempuran yang hebat itu. Aku cuba menghampirinya untuk memberikan pertolongan dengan sedikit air yang ada padaku itu. Dengan tiba-tiba aku mendengar rintihan seorang tentera yang luka parah di sisinya. Apabila sepupuku memandang keadaan demikian lalu ia memalingkan mukanya dan mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu dan memberikan kepada askar itu. Akupun pergilah kepada askar itu dengan membawa air tersebut bersama-samaku. Aku dapati dia ialah Hisham bin Abilah. Sebelum sempat aku sampai di sisinya , terdengar pula teriakan dari seorang yang terbaring tidak jauh dari tempat dia berada itu, Hisham juga telah mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu kepada orang yang berteriak itu. Akhir sekali sebelum sempat aku dapat menghampirinya dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kemudian aku berkejar kembali ke tempat Hisham, juga didapati beliau sudah meninggal dunia. Ketika itu juga dengan cepatnya aku pergi ke tempat saudara sepupuku berada, tetapi dia juga telah mengikuti kedua-dua mereka itu.”

Author: milkyway27

Aku adalah seorang insan yang hanya mengharapkan keredhaan Allah di dalam mengharungi kehidupan dunia yang sementara ini. Namun aku menyedari bahawa untuk mendapat kasih dan rahmah Allah itu memerlukan pengorbanan yang tinggi yang datang dari hati nurani yang ikhlas yang beribadat semata-mata kerana Allah, Rabbul 'Alamin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s