Talbis Iblis – (4)

28 12 2007

Kemudian datang lagi Iblis membisik pula: “Kalau engkau masuk ke dalam pondok itu untuk bercakap-cakap dengannya, dan biarkan dia di dalam pondok saja, sehingga wajahnya tidak dapat dilihat oleh orang lain selain engkau saja, tentulah itu lebih bagus!” Maka demikianlah yang dilakukan oleh si abid tadi, duduk bercakap-cakap dengan sang perawan itu hingga tengahari, maka kembalilah dia ke rumah ibadatnya.

 

 Kemudian datang lagi Iblis untuk menggoda si abid itu dengan mengkhayalkan keindahan wajah si perawan itu sehingga akhirnya sang abid hilang pegangan, maka dia pun datang mendapatkan sang perawan itu serta memaut tubuhnya dan menciumnya. Iblis pun terus memperindahkan wajah perawan itu di mata sang abid dan mengharunya, sehingga akhirnya dia pun bersatu dengannya dan membuntingkannya. Hasil dari perbuatan serong tadi, perawan itu pun melahirkan seorang anak daripada si abid itu.

 

Sekarang datanglah Iblis menjelma seraya mengatakan: Hai abid! Jika saudara si perawan ini datang melihat semua ini, apakah yang hendak engkau katakan? Tentu engkau akan pecah tembelang, ataupun mereka akan menceritakan perkaramu itu kepada orang. Lebih baik engkau bunuh saja anak haram ini dan tanam dia lekas-lekas sebelum orang tahu, dan si perawan itu tentu akan menyembunyikan rahsiamu kerana takutkan saudara-saudaranya mendapat tahu rahsia kamu berdua. Maka si abid itu lalu membunuh anak itu.

 

Kemudian Iblis mengatakan kepada si abid lagi: Apakah engkau percaya bahawa si perawan itu akan menutup mulutnya dari hal apa yang sudah engkau lakukan terhadap dirinya, dan sesudah engkau membunuh anaknya? Lebih baik engkau bunuh saja perawan itu dan tanamkan sekali bersama-sama dengan anaknya. Si abid itu terpaksa ikut bisikan Iblis itu, sehingga dia membunuh ibu anak itu juga, lalu kedua-duanya diluntarkan ke dalam lubang, serta ditindihkannya dengan sebuah batu besar, kemudian dikambus dengan tanah, lalu dia kembali ke rumah ibadatnya masuk ke dalam tempat khalwatnya beribadat.

bersambung…

      





Talbis Iblis – (3)

28 12 2007

Begitulah yang dibuat sang abid tadi untuk beberapa waktu. Kemudian datang lagi syaitan membisikkan sesuatu yang lebih baik daripada itu dan akan membuahkan pahala yang lebih besar lagi, seraya menghasutnya seterusnya: “Kalau engkau tambah sedikit, lalu engkau bawakan makanan itu ke dalam rumah perawan itu, tentu itu akan melebihkan pahalamu!” Maka dia pun membawa makanan itu dan meletakkannya sekali di dalam rumah.

 

Sesudah berlalu beberapa waktu, maka syaitan pun menghasutnya lagi, seraya membisikkan: “Engkau sudah masuk di dalam rumah, mengapa engkau tidak bertegur sapa dan bercakap sekali kepadanya, bukankah itu akan menimbulkan kemesraan kepadanya, kerana perawan itu duduk seorang diri tiada siapa yang dapat bercakap-cakap kepadanya, tentu dia merasa bosan duduk keseorangan begitu!”

 

Maka sang abid pun berbicaralah kepada si perawan itu dari atas rumah ibadatnya serta melihatnya dari situ untuk beberapa waktu.

 

Kemudian datang pula iblis seraya membisikkan: “Kalau engkau berbicara kepadanya dari pintu rumah ibadatmu, dan dia pula dari pintu pondoknya, bukankah itu lebih baik dan lebih mesra?” Maka sang abid itu terpujuk untuk mahu turun dari tempat khalwatnya duduk di pintu rumah ibadatnya berbicara kepada si perawan itu yang duduk di pintu pondoknya. Demikianlah keadaan mereka berdua untuk beberapa waktu.

 

Kemudian datang lagi iblis untuk mengajar sang rahib menambah kebajikan dan pahala, bisiknya: “Apa salahnya kalau engkau pergi sekali ke pintu pondoknya dan bercakap-cakap dengannya di situ, tentulah itu lebih menggembirakannya!” Dan demikianlah yang dilakukan oleh si abid itu untuk beberapa waktu.

 

 Kemudian datang lagi iblis dan menggalakkannya untuk duduk di pintu pondok itu, dan biar si perawan itu duduk di dalam rumahnya, bukankah itu lebih baik? Lalu si abid tadi pun tunduk kepada bisikan itu, duduklah di pintu pondok itu, manakala si perawan duduk di dalam pondoknya.

bersambung…





Muhasabah Diri – 2

28 12 2007

Golongan yang beriman dan mendapat petunjuk mengetahui bahawa kematian bukanlah pengkalan terakhir tetapi ia merupakan permulaan. Ia bukanlah tidur, tetapi merupakan bangun daripada tidur, sebagaimana dikata orang: “Manusia semuanya tidur. Apabila mati barulah mereka sedar. “Mereka mengetahui bahawa di sebalik kematian ada kehidupan yang lebih panjang; kehidupan yang tidak akan berakhir. Di dalam kehidupan tersebut, yang ada hanyalah nikmat yang berkekalan atau azab yang pedih.

 Sifat panjang angan-angan sememangnya tertanam di dalam diri manusia. Oleh itu, walaupun kematian adalah perkara yang paling hampir kepada pancaindera kita, tetapi ia merupakan perkara yang paling jauh daripada pemikiran kita. Setiap hari kita melihat gerombolan yang membawa keranda melalui rumah kita, tetapi kita tetap merasa bahawa kita kekal. Setiap hari kita mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, tetapi kita masih berbicara tentang dunia. Kita sentiasa melihat tanah-tanah perkuburan memenuhi pelusuk dunia, tetapi kita tidak pernah berfikir bahawa suatu hari kita akan menjadi salah seorang penghuninya. AstaghfirulLah. Tanah-tanah perkuburan itu akan menjadi kediaman tubuh badan kita. Adakah kita mengetahui apakah sebenarnya tubuh badan kita? Kita melihat seseorang memakai pakaian dan akan menanggalkannya jika kotor. Kita juga melihat apabila seseorang kanak-kanak dilahirkan, maka dia akan meninggalkan dan keluar daripada urinya. Kita juga melihat seseorang meninggal dunia lalu rohnya berpisah daripada jasadnya. Jasad hanyalah pakaian yang boleh dipakai dan ditanggalkan. Dan jasad itulah juga yang diletakkan di dalam tanah.

Manusia sentiasa melupakan kematian. Tetapi orang mukmin sentiasa mengingatinya dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapinya. Dia bersiap sedia dengan melakukan taubat, istighfar dan mengembalikan semua hak orang lain yang ada padanya. Setiap pagi dan petang dia sentiasa memuhasabah diri. Dia bersyukur kepada Allah jika diberikan taufiq untuk melakukan kebaikan. Dia beristighfar meminta ampun jika melakukan kejahatan. Dia mengingati akhirat. Dia takut untuk menghadapi hari yang akan membalik-balikkan muka dan membeliakkan pandangan manusia. Dia bimbangkan azab yang akan berlaku selepas kematian. Dia mengharapkan pahala dan balasan baik selepas kematian. Dia menjadikan sifat sabar dan solat sebagai penolong. Dia melakukan kebaikan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan apa yang ada di sisi-Nya.

  





Muhasabah Diri

28 12 2007

Indahnya dunia, tapi ianya tidak kekal...Semalam penulis mendengar berita kawan kepada kawan penulis baru sahaja meninggal dunia. Umurnya belum sampai 40 tahun. Beberapa orang di pantai timur mati akibat banjir. Begitu juga kemalangan maut di lebuhraya melibatkan beberapa orang tua dan muda. Kawan penulis pernah memberitahu kepada penulis yang kita akan mati bila-bila masa. Walaupun kata-kata itu “simple” tapi maknanya cukup “power”. Setiap kita akan menghadapinya. Apa yang penting sekarang ialah tindakan kita, our action, sebelum hari yang akan tiba bila-bila masa itu. Cukupkah muhasabah yang telah kita lakukan? Atau kita rasa tak perlu lagi muhasabah kerana kita rasa masih ada banyak masa? Banyak masa dengan bila-bila masa tentulah dua makna yang berbeza. Sekiranya dirujuk kepada pakar bahasa Melayu tentulah mereka mengatakan yang banyak masa dengan bila-bila masa tidak sama.

Sujud kepada Allah Yang Maha Esa

Orang yang mengatakan dia masih ada banyak lagi masa pun tak tahu berapa banyak masa yang dia ada. Apakah muhasabah yang kita kena lakukan setiap hari? Pernahkah kita mendengar kata-kata “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab?” Walaupun umur semakin bertambah hari demi hari, manusia tetap mencintai dunia dan melupakan akhirat. Ada yang hendak membesarkan rumah, nak tambah dapur, nak tukar kereta baru, dari pakai kereta nak tukar ke MPV, ada yang nak kahwin lagi dan bermacam-macam lagi yang kebiasaan kesenangan yang ada. Tetapi manusia tidak sedar yang setiap detik masa yang diperuntukkan di dunia ini adalah supaya manusia beribadat kepada Pencipta mereka.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Al-Zariaat:56).

Keseronokan, kesenangan dunia memang sudah menjadi idaman manusia sejak dahulu lagi; zaman dulu atau zaman moden, miskin atau kaya, tua atau muda.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali ‘Imran:14).

Pertama-tama kita perlu lihat diri kita sendiri sebelum kita melihat orang lain. Adakah kita termasuk di dalam senarai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Taala di dalam ayat di atas? Cintakah kita kepada kesenangan hidup di dunia seperti yang disebut; wanita-wanita, anak-pinak, kuda pilihan, binatang ternakan, ladang, emas, perak dan banyak lagi kesenangan-kesenangan yang lain sehingga melupakan diri kita dari menyembah Allah Yang Maha Esa? Na’uzubillaahi min zaalik.